Rencana

Pemimpin UMNO rompak duit rakyat sebenarnya anti-Melayu

Yang sebenar-benarnya anti-Melayu adalah pemimpin-pemimpin UMNO yang mencuri wang rakyat, bukannya DAP yang ingin supaya wang yang dirompak dipulangkan dan para perompak dipenjarakan

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyerang Parti Bersatu Malaysia (BERSATU) yang ditubuhkan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana bekerjasama dengan DAP yang dituduh sebagai anti-Melayu dan anti-Islam.

Nampaknya Dato’ Seri Najib Razak akan terus menggunakan tuduhan-tuduhan liar yang berbaur perkauman untuk mengkaburkan krisis utama yang melanda Malaysia hari ini iaitu skandal 1MDB. Sehingga hari ini, Dato Seri Najib tidak mampu memberikan sebarang bukti bahawa DAP telah menentang hak dan kepentingan orang Melayu.

Malah di bawah kepimpinan Setiausaha Agung Lim Guan Eng sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, kami telah membuktikan bahawa semua rakyat tanpa mengira bangsa telah dilayan secara adil dan saksama. Misalnya, kerajaan Pakatan di Pulau Pinang telah meningkatkan peruntukan tahunan untuk hal-ehwal Islam daripada hanya RM13 juta di bawah Barisan Nasional pada 2008 sehingga melebihi RM50 juta hari ini.

Yang menjadi ironi, pemimpin-pemimpin MCA pula kini menyerang DAP kerana terlampau berat sebelah kepada masyarakat Melayu dan Islam.

Hakikatnya, pengkhianat Melayu yang paling besar ialah Datuk Seri Najib Razak dan UMNO kerana mereka telah mengkhianati amanah yang telah diberikan oleh rakyat, terutamanya orang Melayu.

UMNO hari ini merupakan contoh peribahasa “harapkan pegar, pegar makan padi”. Kerajaan BN yang diketuai oleh UMNO dan Perdana Menteri Dato Seri Najib telah menyalahgunakan kuasa mereka untuk memperkayakan saudara-mara, kroni-kroni dan diri mereka sendiri.

Sehingga hari ini, Dato Seri Najib Razak gagal menjelaskan sebab USD731 juta telah diselewengkan daripada 1MDB ke dalam akaun bank peribadinya. Perkara ini telah dibongkarkan oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat.

Selain itu, Peguam Negara Amerika Syarikat juga mendakwa rakyat Malaysia telah ditipu oleh pegawai-pegawai 1MDB dan pihak berkuasa di Malaysia sebanyak USD3.5 bilion. Antaranya, anak tiri Dato Seri Najib Razak, Riza Aziz telah menerima USD238 juta untuk menerbitkan filem Hollywood, membeli rumah-rumah mewah di Los Angeles, New York dan London.

Yang paling memalukan Malaysia ialah bahawa beratus-ratus juta ringgit wang 1MDB telah digunakan untuk membayar hutang judi kroni Dato’ Seri Najib, Jho Low dan Riza Aziz.

Kesemua perkara yang disebut di atas langsung tidak dinafikan oleh Dato Seri Najib yang juga merupakan Presiden UMNO.

DAP bersama-sama rakan-rakan seperjuangan yang lain telah bekerja berhempas-pulas untuk membongkarkan dan menyebarkan skandal ini supaya rakyat akan mengenali wajah sebenar Dato’ Seri Najib dan UMNO-Barisan Nasional.

Itulah sebabnya Dato’ Seri Najib dan penyokong-penyokong beliau akan terus menyerang DAP sebagai parti anti-Melayu. Mereka akan terus mengkaburkan realiti untuk memperbodohkan rakyat, mempertahankan jawatan-jawatan mereka, terus menikmati rezeki haram yang telah diperolehi dan mengelak sebarang tindakan undang-undang terhadap mereka.

DAP akan terus bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mengutamakan perjuangan dasar melawan rasuah, menegakkan keadilan dan membina sebuah kerajaan yang cekap, akauntabel dan telus, termasuklah parti yang baru, Bersatu. – Roketkini.com