KUALA LUMPUR, 19 OGOS: Menteri Kewangan II Datuk Johari Abdul Ghani seharusnya mendesak kerajaan untuk mengambil tindakan segera menyiasat mereka yang dinamakan dalam saman sivil Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat.
Beliau tidak perlu menunggu sehingga pesalah dalam skandal bernilai AS$3.5 bilion melibatkan 1MDB itu dikenalpasti melakukan kesalahan tersebut oleh pihak berkuasa Amerika.
Lebih menghairankan, Johari tidak berani mengarahkan Bank Negara untuk membuka siasatan terhadap dakwaan pengubahan wang haram terhadap semua yang dinamakan termasuk individu MO1.
“Kenapa Kerajaan Malaysia hanya menunggu saman DOJ yang dikemukakan di Amerika Syarikat tanpa kita membuat sebarang tindakan yang sewajarnya terlebih dahulu?” soal Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan Tony Pua.
Sikap demikian kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu hanya akan memalukan nama negara di peringkat antarabangsa malah menunjukkan sikap menteri berkenaan mahu menutup skandal memalukan itu.
“Jelas, Datuk Johari mendapat kenaikan pangkat ke jawatan Menteri Kewangan II adalah untuk menutup skandal ini dan untuk memastikan Datuk Seri Najib Razak terus berkuasa dan tidak goyah dengan skandal itu,” kata beliau.
Jelas Tony, di sebalik segala pendedahan dan pendakwaan DOJ, sehingga saat ini, tiada sebarang tindakan konkrit diambil pihak berkuasa Malaysia untuk menyiasat skandal kewangan terbesar itu.
“Tidak ada sebarang perkembangan daripada pihak Polis yang kononnya menyiasat kes ini sejak dua tahun lalu.
“Kita juga tidak mendengar sebarang waran tangkap dikeluarkan terhadap Low Taek Jho atau Riza Aziz untuk membantu siasatan meskipun dinamakan sebagai individu yang melakukan pengubahan wang di Amerika Syarikat,” ujar Tony.
Sebelum ini, Gabenor Bank Negara yang baharu Datuk Mohamad Ibrahim juga telah bertindak ‘cuci tangan’ dengan mengisytiharkan kes 1MDB ditutup.
Malahan, bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Zakaria Jaffar pula mengisytiharkan skandal itu bukan di bawah bidangkuasa agensi tersebut. – Roketkini.com