Berita

SPRM-DAP tumpaskan sindiket penipuan beli rumah PPR

KUALA LUMPUR, 19 OGOS: Keterdesakan warga kota untuk memiliki rumah idaman di Kuala Lumpur menyebabkan mereka tertipu dalam satu sindiket penipuan jualan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan perumahan mampu milik sejak empat tahun lalu.

Namun sindiket yang berlaku di sekitar Jinjang dan Kepong itu akhirnya tumpas apabila suspek ahli sindiket berjaya dicekup Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu operasi khas dengan kerjasama DAP Segambut.

LLE2Menurut Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng, berdasarkan aduan yang diterima pihaknya, pembeli yang teruja dengan sindiket itu ditipu dengan sejumlah amaun antara RM8,000 empat tahun lalu manakala aduan terkini pula, mereka perlu membayar sehingga RM37,000.

“Kami telah bekerjasama dengan SPRM bermula bulan ini bersama 20 pegawainya, dalam operasi itu, kami berjaya menumpaskan empat orang dari suspek ahli sindiket.

“SPRM akan mendakwa empat suspek ini kerana penipuan dan seumpamanya,” kata beliau dalam sidang media.

“Datuk Bandar Kuala Lumpur telah mengesahkan kepada saya bahawa tidak ada PPR dan rumah kos mampu milik dibina buat masa ini di Jinjang Selatan, yang ada hanya di Jinjang Utara,” jelasnya.

Justeru, beliau memohon orang awam khususnya di sekitar Jinjang dan Kepong supaya berhati-hati terhadap sebarang tawaran atau skim yang mencurigakan.

“Saya menyeru mereka yang terperangkap dalam sindiket ini untuk tampil kehadapan dan membuat laporan polis supaya kita boleh banteras kegiatan sindiket ini,” tegasnya.

Turut bersama dalam sidang media itu ialah Ahli Majlis Perbandaran Selayang Yew Jia Haur.

Menurutnya, ‘agen’ berkenaan tidak menerima sebarang transaksi perbankan dan hanya menerima bayaran tunai.

“RM37,000 dibayar semasa perjanjian ditandatangani sebarang kepala surat firma guaman dan juga nama pembeli, mereka beritahu hanya menerima tunai dan tidak menerima cek atau sebarang transaksi bank, hanya tunai.

“Duit itu diserahkan pembeli kepada ‘agen’ di hadapan pejabat peguam dan bukan di dalam pejabat. Sebaik sahaja wang diterima ‘agen’, pegawai-pegawai SPRM terus menahan mereka,” kata Jia Haur. – Roketkini.com