Rencana

Tragedi Puncak Purnama, pengajaran buat pemimpin Malaysia

Selasa lalu, perkarangan pusat membeli-belah Sogo di ibu kota dibanjiri ratusan individu dengan pelbagai gaya. Ada yang memakai topeng hoki seakan Jason Friday The 13th dan Iron Man, ada juga yang menyarungkan mantel persis ahli sihir Harry Potter. Sebahagian yang lain pula membawa alat muzik, sepanduk, plakad dan kain rentang.

Tujuan mereka bukanlah untuk membeli tudung fesyen terkini di Jalan Tunku Abdul Rahman atau kasut bola Adidas di Kompleks Pertama. Niat mereka cuma satu – untuk menzahirkan rasa kesal yang tidak terhingga terhadap tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merobohkan arca warisan negara, Puncak Purnama dengan alasan kononnya ia “menyakitkan pandangan, terlalu usang dan tidak boleh dibaik pulih.”

Kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menganggap karya bersejarah itu sebagai menyakitkan mata hanya menunjukkan bagaimana sebenarnya kerajaan dipenuhi barisan jiwa yang kosong rasa terhadap seni. Tambah menyedihkan, jiwa-jiwa yang tidak menghargai seni itu pula bertindak menghancurkan salah satu simbol utama sejarah seni rupa di Malaysia.

Dan yang paling memilukan, ia dilakukan dalam sekelip mata; tanpa mempedulikan suara atau buah fikiran penggiat-penggiat seni tanah air. Puncak Purnama dirobohkan tanpa sebarang rundingan dengan mana-mana organisasi, termasuk Balai Seni Visual Negara yang merupakan penaung kesenian negara.

Di manakah sebenarnya kedudukan seniman di mata institusi kerajaan seperti DBKL? Adakah kerana mereka ini tidak dapat memberi keuntungan berjuta ringgit kepada kerajaan seperti badan-badan korporat, maka pendapat mereka tidak dianggap penting walaupun melibatkan isu-isu mustahak seperti Puncak Purnama?

Atau adakah DBKL melihat Puncak Purnama sebagai sekadar batu tanpa nyawa dan tanpa makna yang boleh dimusnahkan sesuka hati pada bila-bila masa? Jika inilah yang ada dalam fikiran Menteri Wilayah Persekutuan dan Datuk Bandar kita, maka berkecailah harapan untuk melihat Malaysia menjadi negara yang mengangkat martabat seni dan budayanya.

Puncak Purnama merupakan karya yang bukan calang-calang. Ia hasil tangan Allahyarham Datuk Syed Ahmad Jamal yang pada tahun 1995 dianugerahkan dengan Anugerah Seniman Negara, anugerah yang diiktiraf oleh Yang di-Pertuan Agong. Beliau juga pernah menjadi pengarah Balai Seni Lukis Negara pada tahun 1983 hingga 1991.

Arca itu pula mengambil perlambangan sains penerokaan angkasa lepas. Oleh itu, seramik sama untuk membuat kapal NASA telah digunakan sebagai antara bahan asas untuk membina Puncak Purnama.

Sebenarnya, keadaan Puncak Purnama yang semakin uzur itu adalah disebabkan sikap tidak bertanggungjawab DBKL sendiri. Menurut Zain Azahari, seorang patron seni yang juga merupakan pengerusi bank UMBC yang menyerahkan arca itu kepada pihak DBKL pada tahun 1986, DBKL telah berjanji akan menjaga dan memelihara karya seni itu sebaik mungkin.

Malah, arca itu sepatutnya dipulihkan, bukan dirobohkan. Jika di negara-negara maju yang menghargai budaya dan seni, Puncak Purnama tentu masih tegak berdiri, bangga menjadi simbol kepada kebudayaan dan kesenian untuk seluruh rakyat tanpa mengira bangsa. Namun sayangnya, ia terletak di Malaysia, sebuah negara yang dipimpin oleh pegawai-pegawai yang menganggap ia sebagai menyakitkan mata.

Tragedi yang melanda Puncak Purnama sekaligus telah membuka mata penggiat-penggiat seni untuk lebih tegas dan keras dalam menggesa kerajaan menjaga hak cipta dan hak moral mereka. Mereka sedar, jika karya seorang seniman hebat seperti Syed Ahmad Jamal boleh diperlakukan sedemikian rupa, bagaimana pula dengan karya-karya yang lain?

Oleh itu, dalam memorandum yang diserahkan kepada Suhakam pada hari Selasa lalu, kumpulan seniman yang diwakili oleh sembilan delegasi rasmi telah mengemukakan beberapa tuntutan, antaranya menggesa kerajaan Malaysia menandatangani Kovenan Antarabangsa Hak-hak Ekonomi, Sosial dan Budaya, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Ia bagi melindungi kepentingan dan hak moral serta material dari karya ilmiah, sastera atau seni yang telah dicipta oleh mana-mana penggiat seni.

Selain itu, memorandum itu menggesa Balai Seni Visual Negara dihormati sebagai penaung kesenian negara. Sebarang keputusan sama ada untuk memulihara, mengubah atau melupus mana-mana artifak dan karya seni awam mesti dirujuk dan tertakluk di bawah bidang kuasa yang ada pada Akta Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara 2011 dan Akta Warisan Kebangsaan 2005.

Memandangkan DBKL telah membuktikan ia satu institusi yang ‘buta seni’, memorandum tersebut turut menyatakan agar satu lembaga penasihat khas berkaitan perkara kesenian dilantik dan terdiri daripada wakil Balai Seni Visual Negara, seniman dan pereka mapan, termasuk budayawan dan tenaga akademik dari universiti tempatan untuk bekerjasama dalam sebarang rancangan berhubung kesenian dan kebudayaan.

Memang wujud suara-suara sumbang yang menganggap perarakan Deklarasi Puncak Purnama pada Selasa lalu sebagai sia-sia, namun perarakan itu sebenarnya telah membuka lebih banyak mata untuk memandang seni dan budaya sebagai antara perkara penting dalam masyarakat. Lebih ramai pihak yang kini mengenali Puncak Purnama, Syed Ahmad Jamal, dan juga karya-karya bersejarah yang lain. Lebih ramai juga pihak yang mula mahu memainkan peranan dalam menjaga dan memelihara karya-karya yang masih ada.

Malah, perarakan dan penyerahan memorandum tersebut juga sepatutnya dilihat sebagai berjaya kerana DBKL akhirnya menyatakan bahawa ia akan bertemu dengan aktivis seni berhubung perobohan Puncak Purnama. Akhirnya, DBKL terpaksa membuang sikap ego dan angkuhnya selepas melihat semangat yang ditunjukkan oleh para penggiat seni pada perarakan tersebut.

Harapan kita, semoga kerajaan dan badan korporat selepas ini lebih menghargai warisan dan karya bersejarah negara. Harapan kita, semoga pengorbanan Puncak Purnama tidak akan sia-sia.

Puncak Purnama, damailah kau di sana. – Roketkini.com