Berita

Chong Wei tetap seorang hero, kata Guan Eng

GEORGE TOWN, 21 OGOS: Walaupun hasrat atlet badminton negara, Datuk Lee Chong Wei untuk memenangi pingat emas di kejohanan Olimpik di Rio tahun ini tidak kesampaian, beliau tetap seorang ‘hero’ dan menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia.

14053699_1347872805242817_4661577524967491505_oKetua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata Chong Wei yang juga merupakan anak kelahiran negeri itu menunjukkan semangat melawan yang tinggi dan telah berjuang habis-habisan dalam perlawanan akhir perseorangan badminton lelaki malam tadi.

“Saya berharap kita tidak akan berputus asa. Satu hari nanti, kita (Malaysia) tetap akan memenangi pingat emas di Olimpik,” katanya semasa berucap di Gurney Paragon Mall malam tadi.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP turut mengetuai kira-kira 2,000 rakyat Pulau Pinang menyanyikan lagu Negaraku sejurus tamat perlawanan akhir badminton antara Chong Wei dan pemain dari China, Chen Long.

Beliau sebelum itu tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan perlawanan sengit tersebut secara siaran langsung bersama ribuan penduduk yang hadir bagi memeriahkan suasana di Festive Square, Gurney Paragon Mall di sini.

“Saya tahu ramai yang berhasrat menyanyikan lagu Negaraku atas semangat juang hebat yang ditunjukkan oleh Datuk Lee Chong Wei.

“Beliau tetap ‘hero’ di mata rakyat Pulau Pinang dan Malaysia!” ujarnya dengan penuh semangat.

Pada perlawanan akhir yang mendebarkan itu, Chen Long terpaksa berhempas-pulas untuk mengalahkan Chong Wei sebelum memenangi pingat emas dengan 21-18, 21-18.

Kemenangan pingat perak Olimpik tersebut merupakan yang ketiga buat Chong Wei. – Roketkini.com