Berita

Sabah hanya akan terbela jika Kerajaan Persekutuan berubah – Stephen Wong

KENINGAU, 23 OGOS: Memulihkan semula Sabah sebagai rakan kongsi setara perlu melalui perubahan kerajaan di peringkat Persekutuan.

Tanpa perubahan kerajaan di peringkat persekutuan, perjuangan untuk menyelesaikan isu ketidakadilan yang membelenggu Sabah selama ini akan lebih sukar.

Ia terbukti dengan perubahan kerajaan negeri yang pernah berlaku beberapa kali sebelum ini yang masih belum mampu menyelesaikan masalah tersebut.

“Walaupun kerajaan negeri Sabah telah berubah, tetapi masih tidak dapat menyelesaikan ketidakadilan yang dihadapi sekian lama.

“Oleh itu, untuk Sabah berubah, Malaysia harus berubah pada masa yang sama, Sabah dan Malaysia baru akan ada harapan lagi, ” kata Pengerusi DAP Sabah Stephen Wong Tien Fatt dalam ucapan penutup kursus latihan kepimpinan DAP dekat sini baru-baru ini.

Ahli Parlimen Sandakan itu turut menyanggah tomahan pihak tertentu cuba mengelirukan orang ramai bahawa DAP sebagai ‘parti Semenanjung’ yang tidak memperjuangkan hak Sabah.

Menurut beliau, tomahan sedemikian ternyata tidak berasas kerana DAP tidak pernah mentadbir Sabah dan tidak pernah mengkhianati kepentingan rakyat Sabah.

“Mengapa orang-orang ini tidak berjuang untuk kedaulatan negeri ketika mereka memerintah sehingga autonomi Sabah dirampas?” soal beliau.

Ujar Stephen, membuat kesimpulan mudah dengan lokaliti parti adalah tidak rasional kerana selama ini DAP sentiasa prihatin dan banyak memperjuangkan isu melibatkan rakyat Sabah.

“DAP mempertahankan hak dan kepentingan rakyat Sabah, DAP pandang berat terhadap isu-isu rakyat Sabah yang prihatin. DAP merupakan Parti Politik Persekutuan kerana berjuang untuk menyelesaikan ketidakadilan yang dihadapi oleh Sabah melalui pembaharuan Kerajaan Persekutuan.

“Sebagai sebuah parti politik persekutuan, DAP Sabah berjuang secara aktif untuk sistem persekutuan, supaya Sabah mendapatkan layanan yang adil dan saksama,” tegasnya.

Perjuangan DAP untuk memartabatkan semula Sabah sebagai rakan kongsi setara dalam Persekutuan Malaysia terbukti dengan usul yang dicadangkan di Dewan Rakyat sebelum ini.

Usul pindaan Perlembagaan yang dicadangkan beliau Mei lalu mahu supaya pindaan status Sabah, Sarawak dan Semenanjung dibuat untuk mengembalikan status rakan kongsi setara dalam Persekutuan Malaysia selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963.

Menurut Stephen, kedudukan Sabah yang dianggap sebagai salah sebuah ‘negeri’ telah menjadikannya seolah-olah terabai dan terkebelakang dalam arus pembangunan negara.

Dalam satu kenyataan sebelum ini, Stephen berkata walaupun Sabah merupakan salah sebuah  punca pendapatan Persekutuan dengan hasil bumi seperti minyak dan hasil bumi yang lain, pembangunan di Sabah amat perlahan berbanding negeri-negeri lain di Semenanjung.

“Persoalannya, adakah dengan keadaan begitu kita boleh katakan bahawa Sabah dihormati? Saya nak tegaskan bahawa pindaan ini bukan sekadar kita mahu dihormati sahaja tetapi supaya Sabah dapat menikmati kemakmuran dan pembahagian ekonomi yang lebih adil,” tegas beliau.

Justeru, beliau menyeru supaya ahli-ahli DAP di Sabah khususnya tidak berputus asa dan berusaha keras untuk memberi maklumat sebenar kepada akar umbi.

“Semua ahli dan pemimpin-pemimpin DAP Sabah merupakan anak Sabah dan berbilang kaum, inilah parti politik yang sejagat.

“Saya percaya bahawa pertimbangan sebuah parti politik sama ada mementingkan rakyat atau tidak, tidak patut berdasarkan tempat ia didaftar sebaliknya ia haruslah berdasarkan perjuangan parti, pemimpin parti, prinsip dan konsep sebuah parti,” katanya.

DAP juga ujarnya memiliki barisan kepimpinan yang berdedikasi dan berintegriti.

“Sebagai contoh, Lim Kit Siang telah berulang kali dimasuk ke penjara, Lim Guan Eng juga telah dipenjara dua kali, mungkin akan ada kali ketiga.

“Walaupun kita berhadapan dengan penganiayaan politik, tetapi masih terus berjuang dan tidak akan berputus asa. Saya ingin mengulangi, DAP tegas menentang perkauman, rasuah, salah guna kuasa dan berpegang kepada kepelbagaian, perpaduan dan saling bantu-membantu antara satu sama yang lain,” kata Stephen. – Roketkini.com