Berita

Dihukum penjara kerana menghasut, Ustaz Fakhrulrazi tak akan dibiar sendiri – DAPSY

KUALA LUMPUR, 25 OGOS: Hukuman penjara lapan bulan yang dijatuhkan mahkamah ke atas Naib Ketua Pemuda Amanah Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar di bawah kesalahan Akta Hasutan hari ini merupakan simbol pencabulan demokrasi dan hak asasi.

Menzahirkan solidariti terhadap Fakhrulrazi, Ketua Sosialis Muda DAP (DAPSY) Selangor Teh Hoong Keat, berkata pemenjaraan itu merupakan sebuah lagi episod hitam buat demokrasi di negara ini.

“DAPSY Selangor menyatakan solidariti bersama Ustaz Fakhrulrazi dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan berterusan pihak kerajaan yang menyalahgunakan Akta Hasutan ke atas ahli politik dan aktivis sosial.

“Kes ini adalah lambang pencabulan hak asasi dan demokrasi di negara ini. Pemenjaraan beliau akan pasti menjadi satu lagi episod hitam dalam perjuangan demokrasi di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, DAPSY yang berjuang atas prinsip keadilan, kebebasan, hak demokrasi dan perlembagaan tegas dengan pendirian bahawa Akta Hasutan perlu ditentang dan dihapuskan.

“Ia jelas merupakan satu akta yang bertentangan dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, prinsip keadilan sejagat dan konvensyen antarabangsa berkaitan hak asasi.

“DAPSY Selangor bertegas tidak akan membiarkan Ustaz Fakhrulrazi bersendirian,” ujar Hoong Keat.

Mahkamah Sesyen hari ini menjatuhkan hukuman penjara ke atas Fakhrulrazi Mohd Mokhtar selama lapan bulan atas tuduhan mengeluarkan perkataan menghasut dalam perhimpunan #KitaLawan di hadapan Kompleks Sogo pada Februari tahun lalu.

Beliau didakwa di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 (Akta 15).

Walaubagaimanapun, mahkamah telah membenarkan permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman terhadap Naib Ketua Pemuda Amanah itu sehingga pihak peguam memfailkan notis rayuan di Mahkamah Tinggi. – Roketkini.com