Rencana

RUU 355: Apa yang diragui? – Bahagian 1

Rang Undang-Undang pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) (RUU 355) kini hampir pasti akan dibahaskan di dalam sidang Parlimen pada Oktober ini. RUU 355 ini secara harfiah memberikan kuasa kepada 14 buah negeri termasuk satu Mahkamah di Wilayah Persekutuan untuk menaikkan hukuman yang sedia ada dalam enakmen jenayah syariah, berbanding apa yang sedia ada pada mahkamah syariah hari ini.

Sebelum ini Mahkamah Syariah dibenarkan untuk menjatuhkan hukuman setakat penjara 3 tahun, denda RM 5000 dan 6 kali sebatan atau lebih dikenali dengan Formula 356. Manakala jika RUU ini diluluskan, setiap negeri mempunyai hak untuk meminda enakmen jenayah syariah untuk meningkatkan hukuman yang sedia ada kepada hukuman yang lebih tinggi selain daripada hukuman mati. Sekiranya pindaan itu diluluskan, Mahkamah Syariah kini mempunyai kuasa hukuman setara dengan hukuman di Mahkamah Sesyen.

Walau bagaimanapun, RUU ini tidak sekadar memberikan hak kepada negeri untuk meningkatkan hukuman malah menentukan bentuk hukuman selain daripada hukuman penjara, denda dan sebatan. Setiap negeri berhak untuk menentukan hukuman-hukuman baru, selain daripada hukuman yang sedia ada terhadap kesalahan jenayah syariah. Dalam erti kata lain, RUU 355 adalah ‘blank cheque’, kebenaran tanpa had, kepada negeri untuk menentukan apa saja hukuman asalkan bukan hukuman mati.

Jika dibandingkan dengan hukuman jenayah sivil, Kanun Prosedur Jenayah menetapkan bentuk hukuman yang boleh diberikan antaranya penjara, denda, sebatan, khidmat masyarakat, bon berkelakuan baik dan hukuman gantung. Setiap hukuman ini turut mempunyai had yang ditetapkan.

Ketiadaan bentuk dan had hukuman dalam RUU 355 ini menimbulkan kebimbangan dan tanda tanya apakah yang bakal digubal oleh 14 buah negeri ini. Bukan setakat itu, malah kita juga akan tertanya-tanya kesalahan jenayah yang manakah yang akan dinaikkan hukumannya.

Road Map: Quo Vadis?

Menurut beberapa pakar perundangan Islam, RUU ini perlu untuk memperkasakan Mahkamah Syariah kerana hukuman sedia ada terlalu lekeh dan tidak sesuai dengan suasana hari ini. Malah difahamkan melalui laporan dan tulisan di beberapa media terdapat road map atau hala tuju untuk memperkasakan Mahkamah Syariah telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Teknikal Persekutuan mengenai Hudud (JTH). Serta salah satu usaha yang perlu direalisasikan tentulah pindaan kepada Akta 355 dan Perkara 76A Perlembagaan Persekutuan.

Jika RUU 355 ini terkait dengan road map yang disebutkan, persoalannya, kemanakah road map ini menuju? Jika RUU ini adalah satu daripada inisiatifnya, pastinya akan ada lagi inisiatif lain yang bakal menyusul selepas ini? Apakah Mahkamah Syariah selepas ini menjadi setara dengan Mahkamah Persekutuan lantas mengambil urusan-urusan semakan kehakiman melibatkan badan-badan agama?

Atau adakah Mahkamah Syariah selepas ini akan dibenarkan mengadili isu-isu perlembagaan? Dan seterusnya, apakah ada kemungkinan jenayah-jenayah berada di bawah bidang kuasa Persekutuan (mencuri, merompak, bunuh) yang serupa dengan jenayah di bawah hudud bakal dipindahkan ke dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah?

Satu lagi kemungkinan adalah Mahkamah Syariah akan menjadi mahkamah utama dan kuasa Mahkamah Persekutuan berkurangan? Walaupun semua ini merupakan kebarangkalian namun ia tidak mustahil terjadi jika Akta 355 dan Perlembagaan turut dipinda.

Adakah RUU Membuka Ruang Kepada Hudud?

Terdapat 6 kesalahan hudud yang dinyatakan dalam sumber perundangan Islam. 4 daripadanya telah sedia ada dalam enakmen setiap negeri iaitu zina, qazaf, minum arak dan murtad. Empat kesalahan ini tertakluk kepada formula 356. Kalau mengikut Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (Kelantan) yang cuba mencapai ideal hukuman hudud, hukuman bagi kesalahan qazaf ialah 80 sebatan. Meminum arak pula 40 sehingga 80 sebatan. Kesalahan zina bagi yang berkahwin direjam sehingga mati sementara yang tidak berkahwin 100 sebatan. Kesalahan murtad pula, harta dirampas atau penjara tiada had.

Sekiranya RUU diluluskan, pihak negeri boleh meminda hukuman bagi 4 kesalahan hudud tersebut kepada hukuman hudud kecuali hukuman mati untuk penzina yang sudah berkahwin. Setakat ini, hanya negeri Kelantan yang sudah boleh melaksanakan 4 kesalahan hudud tersebut sekiranya RUU berkuatkuasa kelak. Justeru itu, RUU ini boleh dikatakan pembuka jalan kepada sebahagian hukuman hudud.

Walau bagaimanapun, perkara ini tidak dinyatakan dengan jelas oleh para penyokong RUU 355. Sebahagiannya masih berselindung di bawah premis memperkasakan Mahkamah Syariah bertujuan menarik sokongan, mengurangkan ketegangan dengan bukan Islam dan mengaburi sentimen politik dari Sabah dan Sarawak. Sama ada ia membuka jalan kepada hudud sepenuhnya, masih lagi samar kerana sehingga hari ini, rakyat masih belum tahu mengenai road map yang dibincangkan dalam JTH.

Oleh itu amat penting sekali untuk didedahkan ke manakah titik akhir road map ini? Adakah Mahkamah Syariah yang pada awalnya hanya untuk mengadili kesalahan jenayah dan mal melibatkan urusan peribadi orang Islam kini bakal berubah menjadi satu mahkamah yang mengadili isu-isu melibatkan badan agama dan Perlembagaan? Ramai tidak tahu dan juga tertanya-tanya.

Lebih menghairankan, di manakan road map ini boleh dibaca dan dikaji? Ia seolah-olah satu konspirasi yang dibuat secara senyap-senyap tanpa pengetahuan umum dan dibimbangi bakal menghakis nilai dan prinsip yang terkandung dalam Perlembagaan.

Bahagian 2 - RUU 355: Analisa wacana semasa

Bahagian 3 - RUU 355: Membuka Kotak Pandora?

– Roketkini.com

*Farhan Haziq adalah Pengarah Pendidikan Politik DAPSY Subang
Edry Faizal Eddy Yusof adalah Ahli Jawatankuasa DAP Selangor