Berita

Proses kelulusan rumah kos rendah Pulau Pinang sangat ketat, tak timbul isu ‘duit kopi’

GEORGE TOWN, 30 OGOS: Sebarang andaian bahawa sistem permohonan rumah kos rendah di Pulau Pinang mempunyai ruang untuk membenarkan bayaran duit kopi bagi menjamin kelulusan adalah andaian jahat dan tidak berasas.

Andaian sedemikian mesti dihapuskan supaya para pemohon sedar dan tahu bahawa kepentingan mereka terus diberi keutamaan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Bercakap dalam sidang media di KOMTAR, Exco Perumahan Jagdeep Singh Deo meminta mereka yang telah membuat sebarang bayaran duit kopi supaya membuat laporan polis agar pihak yang terlibat boleh dibawa ke muka pengadilan.

Jagdeep mengulas dakwaan wujudnya elemen rasuah melibatkan permohonan perumahan di negeri tersebut, oleh parti Gerakan dalam satu sidang media semalam

“Insiden sedemikian telah berlaku sebelum ini. Beberapa individu telah membuat laporan polis.

“Saya telah menulis surat peringatan kepada Ketua Polis Negeri Pulau Pinang, Datuk Abdul Ghafar Rajab bagi meminta klarifikasi tentang status pendakwaan ke atas individu terlibat,” ujar beliau yang juga Adun Datuk Keramat.

Menurut beliau lagi, proses permohonan perumahan awam di negeri pimpinan Pakatan Harapan itu adalah sangat ketat, sehinggakan soal duit kopi walaupun satu sen untuk menjamin kelulusan langsung tidak timbul.

“Orang ramai dinasihatkan untuk berhati-hati dengan individu yang mendakwa mereka boleh memintas proses ini.

“Jika ada kekeliruan, mereka boleh terus berkomunikasi dengan saya,” tambah Jagdeep.

Dakwaan yang dilemparkan Gerakan dalam sidang media semalam terhadap Jabatan Perumahan Negeri Pulau Pinang dipandang serius, malah andaian tersebut adalah fitnah terhadap Kerajaan Negeri, terutamanya jawatankuasa penambahbaikan proses pemilihan serta pegawai-pegawai kerajaan. – Roketkini.com