Rencana

RUU 355: Analisa wacana semasa – Bahagian 2

Bahagian 1 – RUU 355: Apa yang diragui? 

Bahagian 3 - RUU 355: Membuka Kotak Pandora?

Dalam satu wacana terkini anjuran IKRAM bertajuk ‘RUU 355: Wajarkah Bukan Islam Bimbang’, RUU 355 cuba disentuh dan dikupas dari segenap sudut pandang. Maka perlu untuk dinilai kembali wacana ini sebagai analisa tentang apakah terdapat keperluan untuk RUU 355.

Satu perkara yang harus diberi perhatian, acara ini juga menggambarkan betapa mudahnya ramai orang menganggap semua orang Islam di Malaysia turut bersetuju dengan RUU ini. Malah ahli panel daripada PAS menyatakan bahawa RUU ini adalah hak beragama umat Islam, lalu memfokuskan kepada wacana ‘orang Islam vs Bukan Islam’, membawa kepada kesimpulan bahawa bukan Islam tidak perlu risau kerana tidak tertakluk kepada mereka.

Walhal, terdapat juga umat Islam yang tidak bersetuju dengan RUU ini dalam banyak hal. Sama ada kerana pandangan mereka bahawa negara tidak perlu masuk campur urusan peribadi dan keagamaan, atau kebimbangan mereka terhadap sikap dan sifat profesionalism penguatkuasa agama yang diragui (boleh rujuk kes tangkap khalwat artis Faye Khusairi dan serbuan terhadap intelektual awam Sdr Wan Saiful Wan Jan), atau kerana RUU ini tidak akan menyelesaikan masalah utama yang berlaku kini seperti masalah penceraian, perebutan hak penjagaan anak antara pasangan bukan Islam dan Islam dan lain-lain, atau atas pandangan cara menghukum ini tidak sesuai dan perlunya cara dakwah dan kaunseling.

Oleh itu, tidak lengkap jika wacana ini difokuskan kepada Islam vs Bukan Islam sahaja. Sedangkan dalam kelompok Muslim itu, tidak ada satu dialog yang jelas untuk mengambil kira pandangan umat Islam secara keseluruhan. Harus diingat bahawa dalam masyarakat Islam, begitu banyak pola pemikirannya yang perlu diambil kira kerana merekalah pemegang taruhan (stakeholder) utama sekiranya RUU ini diluluskan. Tanpa menafikan implikasinya turut boleh memberi kesan tidak langsung kepada yang bukan Islam.

Malangnya ia gagal diperbincangkan dengan mengambil kira pelbagai pandangan. Barangkali atas kejayaan propaganda takfiri, penebaran label secara sebarangan, sehingga ada yang khuatir dilabel sesat atau kufur sekiranya mereka berhujah dan mempersoalkan keperluan dan apa rasionalnya RUU ini.

Walau bagaimanapun, dengan meneliti wacana itu, bolehlah dibuat keputusan apakah berbaloi diluluskan RUU 355. Lebih-lebih lagi apabila terdapat kebarangkalian ia menuju kepada terhakisnya nilai dan prinsip di dalam Perlembagaan serta keadilan.

Keraguan Terhadap Premis-Premis RUU 355

Daripada segi keperluan, ahli panel gagal untuk menghuraikan apakah keperluan pada hari ini untuk meningkatkan hukuman bagi jenayah syariah, yang kita sedia maklum berkaitan dengan urusan-urusan amalan keagamaan dan peribadi umat Islam. Baik melalui forum, penulisan atau laporan media, penyokong RUU 355 hampir sepakat menghujahkan bahawa sudah 30 tahun hukuman jenayah ini tidak dinaikkan. Cubaan meningkatkan sesebuah hukuman perundangan hanya atas alasan hukuman tidak pernah ditingkatkan adalah terlalu simplistik!

Tidak dinyatakan secara fakta dan statistik bahawa formula 356 gagal menangani masalah yang sedia ada sehingga perlunya kepada satu pindaan agar hukuman lebih keras dapat digubal. Negeri manakah di Malaysia ini yang jenayah syariah tinggi sehingga gagal lagi dibendung? Negeri manakah kesalahan minum araknya berleluasa? Negeri manakah kesalahan zinanya boleh sahaja dilihat di khalayak awam? Negeri manakah yang ajaran sesatnya terlalu sukar dikawal? Semuanya tidak dinyatakan oleh ahli panel mahupun penyokong RUU ini.

Logik yang mudah bagi para penyokong RUU 355 adalah dengan menaikkan hukuman akan menyelesaikan masalah. Hujah ini tidak tepat dan tidak berasas. Contohnya, dalam kesalahan mengedar dadah. Hukuman gantung sekalipun tidak boleh mengurangkan pengedaran dan penagihan dadah di Malaysia. Hal ini disokong dalam laporan War on Drugs Report of the Global Commission on Drug Policy, bulan Jun 2011 yang menyatakan negara-negara yang menggubal hukuman keras tidak mampu untuk menghalang atau mengurangkan penggunaan dadah. Kesimpulan yang sama juga sesuai dalam soal jenayah syariah ini.

Seorang ahli panel dari Amanah membawa fakta yang penting apabila membangkitkan kes-kes Mahkamah Syariah yang menimbulkan polemik antaranya kes Nyonya Tahir dan kes Moorthy dalam urusan pengebumian mayat yang menyentuh urusan bukan Islam. Bukan itu sahaja, dalam kes Deepa dan Indira Gandhi, Mahkamah Syariah telah memberi hak penjagaan anak kepada si suami walhal isu itu sepatutnya diputuskan di Mahkamah Tinggi.

Dalam polemik-polemik lain pula boleh dilihat bagaimana peranan Mahkamah Sivil sebagai tonggak sistem perundangan untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kepercayaan semakin dihimpit. Misalnya, pendakwaan syariah terhadap ZI Publication kerana menerbitkan buku Iryshad Manji, ‘Allah, Kebebasan dan Cinta’ yang kononnya bertentangan dengan hukum syara’. Kes pendakwaan syariah terhadap Nik Raina hanya kerana bertugas di Border yang menjual buku Isryad Manji. Kes SIS Forum apabila fatwa sewenang-wenangnya menamakan SIS Forum sebagai sesat dan menyeleweng.

Malah dalam forum tersebut, terdapat ahli panel yang membangkitkan isu lemahnya kekuatan anggota penguatkuasaan jenayah khalwat, perkahwinan dan penceraian, masalah ketidakseragaman undang-undang antara negeri, masalah kepatuhan terhadap keputusan Mahkamah Syariah yang terdahulu serta bayaran sara hidup anak dan isteri. Semua itu merupakan masalah yang masih berlegar dalam sistem perundangan Syariah.

RUU 355 tidak akan menyelesaikan masalah yang disebutkan tadi. Malangnya tanpa tumpuan dan memperbaiki dahulu kelemahan, dikedepankan pula RUU 355 untuk memperluaskan lagi kuasa Mahkamah Syariah. Ini boleh diibaratkan seperti sebuah kedai runcit yang mempunyai masalah kekurangan pekerja, pengurusan yang lemah dan sebagainya. Tetapi penyelesaian yang ditawarkan adalah dengan membesarkan kedai runcit tersebut.

Adakah itu langkah yang bijak atau langkah yang lebih bermasalah? Bagi yang beragama Islam, tidakkah terfikir bahawa ini satu pertaruhan bahaya terhadap imej Islam itu sendiri? – Roketkini.com

*Farhan Haziq adalah Pengarah Pendidikan Politik DAPSY Subang
Edry Faizal Eddy Yusof adalah Ahli Jawatankuasa DAP Selangor