Berita

Apa salah Melayu sertai DAP dan bercita-cita jadi pemimpin?

KUCHING, 1 SEP: Adakah salah jika anak muda Melayu menyertai DAP dan bercita-cita menjadi pemimpin suatu masa kelak?

Begitu persoalan yang dilontarkan Setiausaha Publisiti Sosialis Muda DAP Petra Jaya, Sarawak Abdul Aziz Isa memberi respon kepada tohmahan semberono Ahli majlis Tertinggi UMNO Datuk Bung Mokhtar Radin yang sebelum ini menuduh anak muda Melayu menyertai DAP kerana terlalu gilakan jawatan.

Kata Aziz, pemimpin UMNO yang mengeluarkan kenyataan dangkal itu sebenarnya risau kerana semakin ramai orang Melayu khususnya anak muda semakin menjauhi UMNO dan mula mendekati DAP.

“Untuk pengetahuan Bung Mokhtar, tidak salah untuk Melayu bercita-cita menjadi pemimpin, tetapi cita-cita tersebut diiringi dengan usaha dan tanggungjawab yang besar.

“Sekurang-kurangnya Melayu yang masuk DAP mempunyai misi dan visi berbanding dengan Melayu yang masuk UMNO.

“Melayu masuk DAP mahu jadi pemimpin yang adil, bersih, berkaliber dan berwawasan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebaliknya, Melayu di dalam UMNO-lah yang jelas ‘kegilaannya’ untuk mengaut kemewahan dan mengayakan ahli keluarga sendiri dengan menjadi kroni dan tukang bodek, jelas beliau yang bertanding di kerusi DUN Batu Kitang pada pilihanraya negeri yang lalu.

“Mereka hanya mementingkan poket sendiri, kemewahan duniawi dan sibuk memperkayakan anak bini mereka. Mereka gagal memperbaiki sosio-ekonomi orang Melayu, gagal menyelamatkan sahsiah anak Melayu dan gagal mengangkat taraf hidup Melayu.

“Melayu dalam DAP tidak curi duit lembu RM250 juta, tidak makan komisyen kapal selam RM500 juta, tidak songlap RM100 juta duit KBS, tidak berjudi di Las Vegas, tidak beli cincin RM2.4 juta, tidak rogol anak gadis Melayu di Melaka, tidak luluskan lesen radioaktif Lynas, tidak kacau tanah kubur Pengerang, malah Melayu dalam DAP lebih bermaruah kerana mampu berdikari tanpa mengharapkan derma RM4.2 billion,” ujarnya.

Aziz berkata sepatutnya Bung Mokhtar malu menjadi ahli UMNO kerana parti yang kononnya mengaku memperjuangkan kepentingan Melayu itu gagal membela nasib orang Melayu khususnya golongan belia sehingga menyebabkan taraf hidup Melayu masih belum mencapai tahap yang sepatutnya.

“Kepada Bung Mokhtar, tidak malukah orang Melayu dari Sabah menyertai UMNO sedangkan parti itulah yang membiarkan Sabah menjadi negeri termiskin di Malaysia biarpun kaya dengan hasil petroleum?

“UMNO jugalah yang membenarkan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) membanjiri Sabah dan menjadi warganegara Malaysia melalui Projek IC. UMNO jugalah yang menafikan hak-hak dan kuasa autonomi Sabah dan Sarawak. Bahkan, UMNO jugalah yang sehingga sekarang gagal memajukan kawasan Parlimen Kinabatangan dan Kota Belud,” jelasnya.

Dengan segala kemelut ekonomi dan sosial yang melanda masyarakat Melayu saat itu, ia jelas Aziz lagi membuktikan laungan ‘Hidup Melayu’ dalam UMNO ujar Aziz hanyalah retorik dan dongeng semata-mata. – Roketkini.com