Berita

DAP ceriakan hari Merdeka anak-anak Johor dengan pakaian sekolah baru

JOHOR BAHRU, 1 SEP: Sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-59, DAP telah membawa beberapa keluarga yang kurang berkemampuan membeli-belah untuk keperluan seharian di sini semalam.

Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong berkata sumbangan berupa pakaian sekolah itu diberi selepas meneliti latar belakang keluarga yang dihimpit masalah kewangan akibat kos sara hidup yang semakin meningkat.

Jelasnya, sumbangan tersebut datang dari anggota-anggota masyarakat yang pemurah dan secara sukarela ingin membantu kelompok sasaran yang benar-benar memerlukan.

“Keadaan ekonomi negara yang gawat menchin tongyebabkan ibu bapa berdepan masalah sumber kewangan yang terhad. Kesannya, anak-anak amat sukar untuk menikmati lebihan dari pendapatan isi rumah bagi memenuhi keperluan.

“Selain lawatan langsung yang dibuat, pejabat Pusat Komuniti Kluang juga sering menerima kunjungan rakyat yang mengadu sedang mengalami kesempitan hidup,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Chin Tong yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAP berkata, beliau amat berharap dan berusaha keras agar hasrat anak-anak Kluang itu dapat dipenuhi walaupun wakil rakyat pembangkang dipenuhi dengan kekangan.

“Oleh itu, kali ini kami cuba sebaik mungkin untuk mendapatkan sepasang baju sekolah baru untuk mereka,” jelasnya.

Menurutnya, mesej yang ingin disampaikan adalah supaya anak-anak tersebut tahu bahawa masyarakat tidak pernah melupakan mereka walaupun nilai pemberian itu tidaklah sebesar mana.

“Kami memegang teguh kepada peribahasa berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Tidak ada seorang pun patut dibiarkan ketinggalan untuk meneruskan survival hidup dalam negara kita yang sudah merdeka ini,” tegasnya.

Chin Tong dalam kenyataan itu turut mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua anggota masyarakat yang telah menyumbang kepada projek tersebut. – Roketkini.com