Berita

Guan Eng sanggah tiga fitnah BN dalam perutusan Merdeka

GEORGE TOWN, 1 SEP: Rakyat Malaysia harus kembali memperbaharui pengertian Merdeka sebagai perjuangan untuk memartabatkan kebenaran, keadilan dan kebebasan.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata semua pihak wajib menolak sebarang bentuk dominasi politik yang mengeksploitasi kebencian kaum dan agama agar Malaysia kekal sebagai satu masyarakat yang sejahtera dan bersatu-padu.

“Kita mesti terus berjuang untuk kebenaran jika kita mahu mengekalkan kebebasan kita dan mempertahankan keadilan,” ujarnya dalam ucapan sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-59 Malaysia yang berlangsung semalam.

Dalam ucapan yang sama, Setiausaha Agung DAP itu turut menempelak tiga kenyataan terkini oleh Barisan Nasional yang didakwanya ‘menyerlahkan pembohongan’ pemimpin parti itu bagi memburukkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Yang pertama adalah dakwaan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahya bahawa kerajaan Pulau Pinang merancang untuk membina Transit Aliran Ringan (LRT) ke dalam wilayah warisan George Town.

“Perkara yang sebenarnya adalah LRT yang dicadangkan akan dibina di luar kawasan warisan UNESCO itu dengan trem yang dicadangkan berada di dalam.

“Namun, tidak ada permohonan maaf dari Hilmi, yang terus mengekalkan pembohongan terang-terangan ini bagi memburukkan imej kerajaan negeri,” katanya.

Seterusnya ialah kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menjual tanah kerajaan yang bernilai RM40 bilion.

Menurut Guan Eng, tuduhan Rahman itu adalah ‘pembohongan keterlaluan’, sambil menegaskan bahawa jika ia benar, perkara itu akan dinyatakan dalam akaun kewangan kerajaan negeri yang diaudit oleh Ketua Audit Negara.

“Ketua Audit Negara telah berulang kali memuji Pulau Pinang sebagai salah satu negeri terbaik dalam pengurusan kewangan. Lagipun, dalam laporan tahunan beliau, tidak ada mana-mana hasil berjumlah RM40 bilion dari penjualan tanah,” ujarnya.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan itu turut menegaskan bahawa serangan peribadi yang dibuat oleh Gerakan Pulau Pinang ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Pinang, Lim Siew Khim sebagai langsung tidak berasas.

Gerakan Pulau Pinang baru-baru ini mendakwa bapa Siew Khim, Lim Keat Seong  terlibat dalam penipuan untuk mendapatkan perumahan awam di negeri itu, lalu menyindir bahawa rumah kos rendah boleh diperolehi dari kerajaan Pulau Pinang melalui pembayaran rasuah.

Menurut Guan Eng, Siew Khim telah menafikan terlibat dalam perkara itu serta bertegas bahawa beliau tidak mengetahui aktiviti bapanya.

Malah, sebelum ini, Exco Perumahan Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo telah menafikan dakwaan Gerakan itu serta menggesa mangsa penipuan membuat laporan polis dengan segera bagi menyelesaikan isu itu secepat mungkin.

“Tidak ada seorang pun daripada mereka yang didakwa membayar rasuah mendapat sebarang rumah kos rendah. Ini membuktikan bahawa sistem kerajaan negeri dalam memperuntukkan rumah kos rendah adalah bebas rasuah dan hanya diberi kepada mereka yang layak,” tegas Guan Eng. – Roketkini.com