Berita

Selepas enam minggu baru kerajaan mengaku, Malaysian Official 1 ialah Najib Razak?

 

KUALA LUMPUR, 1 SEP: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan telah mengakui bahawa karakter ‘Malaysian Official 1’ yang dirujuk sebanyak 36 kali dalam dokumen saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika (DOJ) adalah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Rahman membuat pengakuan itu dalam wawancara bersama BBC.

Mengulas perkara terbabit, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menempelak kerajaan yang telah mengambil masa enam minggu sejak saman DOJ tersebut difailkan untuk mengakui siapakah orang yang dimaksudkan sebagai ‘Malaysian Official 1’ itu.

“Berapa ramai menteri Kabinet telah tahu sejak awal lagi bahawa MO 1 adalah Najib? Boleh mereka jelaskan kenapa menteri-menteri ini telah enggan membahaskan soal MO1 dalam mesyuarat Kabinet sejak enam minggu lalu?”

“Adakah kerana para menteri tidak berani membangkitkannya, kerana ia memberi kesan langsung kepada Perdana Menteri?” soal Ahli Parlimen Gelang Patah itu dalam satu kenyataan.

Menurut beliau lagi Kabinet langsung tidak bertanggungjawab apabila ia tidak memutuskan supaya Najib berucap di Sidang Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi membersihkan reputasi negara sebagai sebuah ‘negara pencuri’ dan meyakinkan komuniti antarabangsa terhadap integriti negara.

Najib Razak dirujuk saman sivil DOJ pada 20 Julai lalu sebagai ‘Malaysian Official 1’ yang disebut mempunyai pertalian saudara dengan Riza Aziz, pemilik Red Granite pictures yang didakwa telah melakukan pengubahan wang haram melibatkan dana yang yang dicuri dari syarikat bermasalah milik negara, 1MDB.

Kebetulan, Najib Razak juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat syarikat dana berdaulat tersebut, yang kini sedang disiasat di beberapa negara atas tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram. – Roketkini.com