Rencana

Sepi bulan Merdeka, Ogos tanpa suara

Kali terakhir saya pergi parti malam merdeka ialah tiga tahun lalu di sebuah pusat sosial bertempat sebelah Jalan Petaling melayan kesepian rakan-rakan, dan diri sendiri.

Tepat jam dua belas, kami melompat-lompat dan menari sambil bunyikan wisel dan menembak poppers yang entah siapa berikan. Esok pula hari cuti. Merdeka!

Tapi sudah tentu, parti menyambut malam merdeka dengan pembebasan negara dari penjajah jauh berbeza. Tak perlu dikisahkan di sini bagaimana Union Jack akhirnya diturunkan, dan bagaimana pahlawan nusa siap siaga mahu memerdekakan tanah air ini dengan api dan darah. Kita sudah tahu cerita itu seawal darjah enam lagi.

Kuala Lumpur tidak menipu. Tiap kali Ogos, DBKL akan pasang lampu aneka warna dengan deretan Jalur Gemilang di sepanjang jalan utama kota. Kita menyambut hari bersejarah ini dengan satu semangat; di atas rongga jantungmu, akan tertegak bertapak dalam, kebebasan, cinta antara kita wahyu dari Tuhan– Usman Awang 1956.

Tapi malang Merdeka Malaysia, 1 Ogos 2016 baru-baru ini kerajaan mengambil alih peranan kolonial dengan menguatkuasakan Akta Majlis Keselamatan Negara.

Maka, segala gema sorak-sorai gembira yang terakam dalam waktu di Stadium Merdeka 59 tahun lalu dihenyah hinjak, dengan undang-undang yang jauh lebih hina dari Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Ironi! Bulan merdeka negara dan rakyat dihina dengan satu lagi belenggu baharu direncana elit politik negara.

Laungan keramat tujuh kali MERDEKA oleh Tunku Abdul Rahman semacam sudah tawar tiada makna.

Apa itu Akta Majlis Keselamatan Negara?

“Kebebasan rakyat untuk mendapatkan hak sivil mereka hanya terletak atas belas ihsan seorang Perdana Menteri – Najib Razak. Beliau boleh dengan sesuka-hati mengisytiharkan sebarang kawasan sebagai “kawasan keselamatan” untuk tempoh enam bulan dan juga berkuasa untuk melanjutkan masanya,” kata satu kenyataan bersama Majlis Presiden Pakatan Harapan sejurus akta itu dikuatkuasakan.

Secara mudah, akta MKN membolehkan Perdana Menteri mengisytihar sesebuah ‘kawasan keselamatan’ – darurat, tanpa perlu melalui perkenan Duli Yang Maha Mulia Yang Di Pertuan Agong dan tidak perlu melalui Parlimen!

Akta ini antara lain memperuntukkan bidang kuasa khas melibatkan penahanan masuk dan pemindahan orang; perintah berkurung; kuasa untuk mengawal pergerakan jalan; kuasa menangkap; kuasa untuk memeriksa dan menyita; kuasa untuk menggeledah premis bagi benda berbahaya; kuasa untuk memeriksa orang bagi benda berbahaya dan kuasa untuk menyita kenderaan, vesel, pesawat udara atau pengangkut.

Benar, kerajaan melaksanakannya demi keselamatan negara yang tidak boleh dikompromi. Persoalan kini bukan terhadap kawalan keselamatan tetapi pemusatan kuasa kepada Perdana Menteri.

Ia, sudah tentu menjadi ancaman serius terhadap demokrasi dan sistem raja berperlembagaan negara ini kerana ia membolehkan Perdana Menteri menyingkirkan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat.

Dengan bidang kuasanya yang ‘meluas dan samar’, ia menjadikan Perdana Menteri berkuasa penuh terhadap badan-badan kerajaan termasuk semua kementerian dan agensi termasuk pasukan tentera dan polis.

Rata-rata pengkritik, ahli politik dan ahli akademik menganggap penguatkuasaan Akta MKN sebagai satu penderhakaan terhadap perlembagaan negara dan institusi beraja.

Bayangkan suatu ketika anda menjadi popular kerana disyaki mahu menjatuhkan kerajaan hanya gara-gara tersalah LIKE sebuah status subversif di Facebook. Pergerakan anda dikawal malah ditangkap, dan kawasan rumah anda juga dikawal geledah sita pihak berkuasa – ini mungkin sebuah andaian yang boleh berlaku.

Namun, yang lebih malang jika semua pengkritik kerajaan ‘didiamkan’ oleh si pelaku! Sebagaimana Ops Lalang yang memangsakan hampir semua pemimpin pembangkang ke dalam ISA. Saat itu, demokrasi mati. Saat itu juga mungkin tiada lagi orang, ahli politik atau pujangga boleh terlepas untuk melontar buah kritik mereka, dan di mana kita pada waktu itu?

Ogos 2016, merdeka-mu makin hilang suara, sepi mu kian dirasa. Selamat menyambut hari Merdeka ke-59 bagi Semenanjung Malaysia dan Hari Merdeka yang ke 53 bagi Sabah dan Sarawak!

Suka saya memutar semula sajak Sasterawan Negara Pak Samad Said yang mengajak kita bangkit melawan zalim penguasa.

Unggun Bersih

Semakin lara kita didera bara—
kita laungkan juga pesan merdeka:
Demokrasi sebenderang mentari
sehasrat hajat semurni harga diri.

Lama resah kita—demokrasi luka;
lama duka kita—demokrasi lara.
Demokrasi yang angkuh, kita cemuhi;
suara bebas yang utuh, kita idami!

Dua abad lalu Sam Adams berseru:
(di Boston dijirus teh ke laut biru):
Tak diperlu gempita sorak yang gebu,
diperlu hanya unggun api yang syahdu.

Kini menyalalah unggun sakti itu;
kini merebaklah nyala unggun itu.

A.Samad Said – Kuala Lumpur – 2011