Rencana

RUU 355: Membuka Kotak Pandora? – Bahagian 3

Bahagian 1 – RUU 355: Apa yang diragui?

Bahagian 2 – RUU 355: Analisa wacana semasa

Implikasi RUU ini cukup besar kerana terlalu luas dan tiada had. Jika diteliti enakmen jenayah syariah yang sedia ada (rujukan kepada enakmen jenayah negeri Selangor), antara kategori kesalahan yang dikanunkan adalah:

  1. kesalahan berhubungan dengan akidah,
  2. kesalahan berhubung dengan kesucian agama Islam dan institusinya,
  3. kesalahan berhubung dengan kesusilaan dan
  4. kesalahan pelbagai.

Dalam keempat-empat kategori ini antara kesalahan yang utama adalah doktrin palsu, perbuatan zina, berpakaian tidak sopan, lelaki berlagak seperti perempuan, qazaf, berjudi, minuman memabukkan, tidak menghormati Ramadhan, mengajar tanpa tauliah, pendapat yang bertentangan dengan fatwa, penerbitan agama yang bertentangan dengan syara’ dan berjudi.

Jika RUU diluluskan, maka kesalahan-kesalahan berbentuk peribadi ini berpotensi untuk dinaikkan kepada suatu hukuman yang tidak diketahui hadnya. Boleh sahaja secara hipotetikal, berpakaian tidak sopan didenda sehingga RM 10,000 dan memiliki buku yang bertentangan dengan hukum syara’ dipenjara sehingga 10 tahun!

Bahkan ia boleh disalahguna untuk kepentingan politik apabila badan fatwa boleh mengeluarkan fatwa tertentu untuk mengharamkan buku, fahaman, atau parti politik tertentu atas alasan sesat dan menyeleweng. Dan natijahnya, individu yang terlibat boleh dihukum kerana tidak mematuhi fatwa dengan hukuman yang cukup tinggi.

Hal ini bukan perkara baru, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia pernah mengeluarkan fatwa haram menyertai perhimpunan atau demonstrasi. Satu fatwa yang jelas ditujukan kepada perhimpunan BERSIH ketika itu. Walhal BERSIH cuma mengamalkan hak yang dijamin Perlembagaan. Bagaimana kalau fatwa sebegini seterusnya diikat dengan perundangan yang maha luas?

Perlu diingat, segala ketidakpuasanhati dan percanggahan berkaitan agama tidak boleh dibawa ke Mahkamah Sivil untuk disemak semula. Hal ini dinyatakan dalam Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bidang kuasa eksklusif kepada Mahkamah Syariah. Beberapa kes di Mahkamah Sivil menunjukkan keengganan Mahkamah Sivil untuk mencampuri bidang kuasa Mahkamah Syariah walaupun bersangkutan dengan isu-isu Perlembagaan.

Mahkamah Sivil mengambil pendekatan ‘subject matter’ yakni sama ada perkara tersebut merupakan bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah atau tidak. Jika ya, maka, Mahkamah Sivil tidak boleh membicarakan hal tersebut. (Kes Indira Gandhi, Haji Raimi b. Abdullah & SIS Forum)

Malah, dalam kes Fathul Bari, mengajar Islam tanpa tauliah dianggap sebagai kesalahan terhadap ajaran Islam dan Mahkamah Sivil bersetuju dengan enakmen tersebut walaupun dilihat melanggari kebebasan bersuara dan beragama. Hal sama terjadi dalam kes Ezra Zaid apabila beliau menerbitkan buku dikatakan bertentangan dengan hukum Syara’ yang turut dijenayahkan dalam enakmen.

Begitu juga dengan fatwa SIS Forum yang secara jelas campurtangan dalam perkara-perkara sivil dengan meminta SKMM dan Kementerian menyekat bahan terbitan mereka. Kes-kes sebegini menunjukkan bahawa apa sahaja yang termaktub di bawah enakmen jenayah syariah kebal daripada disemak oleh Mahkamah Sivil.

Atas senario inilah, RUU ini perlu diperhalusi dan diberi perhatian oleh orang Islam sendiri kerana ia menyekat hak asasi orang Islam, disalahgunakan atas kepentingan politik dan menimbulkan fitnah terhadap agama Islam itu sendiri.

Selain perundangan, peningkatan hukuman terhadap jenayah syariah ini bakal mengundang implikasi ekonomi dan sosial kepada umat Islam. Dalam kemelut ekonomi yang tidak berkesudahan, RUU ini akan meningkatkan kos operasi negeri untuk menjalankan hukuman tersebut dan kesan terhadap individu yang dihukum atas kesalahan peribadi. Hal ini tidak mengejutkan kerana di Kelantan, beberapa individu disaman sebanyak RM 1000 akibat ‘tidak berpakaian sopan’. Satu frasa yang cukup subjektif dan bergantung kepada takrifan penguatkuasa agama.

Seterusnya, ketidakseragaman hukuman di setiap negeri bakal menimbulkan masalah dan ketidakadilan. Walaupun hukuman jenayah syariah di bawah kuasa negeri, satu usaha penyeragaman perlu dilakukan. Jika tidak, barangkali hukuman minum arak di Kelantan jauh lebih keras berbanding di Perak. Perbezaan yang besar ini akan menimbulkan salah faham dan ketidakadilan dalam soal hukuman bagi kesalahan yang sama.

Mahkamah Syariah juga sehingga kini tiada peruntukan “security of tenure” kepada hakim-hakimnya yang dilantik oleh Sultan/Raja. Ketiadaan peruntukan ini seperti mana hakim-hakim di Mahkamah Tinggi Sivil akan menimbulkan persepsi bahawa hakim Mahkamah Syariah ini tidak bebas kerana kedudukannya tidak selamat dan boleh diberhentikan tanpa sebarang perlindungan. Hal ini cukup penting untuk memastikan ketelusan dalam membuat keputusan.

Menutup Pintu Fitnah

Barangkali ada yang berpendapat, bahawa kebimbangan dan kerisauan ini hanyalah andaian dan prasangka semata-mata. Seharusnya kita menunggu pelaksanaan RUU ini sebelum mengkritiknya.

Persoalannya, sikap tunggu dan lihat merupakan pendekatan yang sesuai dalam soal penggubalan undang-undang? Apakah dalam soal Akta Majlis Keselamatan Negara misalnya, kita perlu ambil sikap tunggu dan lihat sedangkan kita boleh congak implikasinya terhadap negara?

Pintu-pintu ketidakadilan dan salahguna kuasa perlulah ditutup lebih awal sebelum suatu perundangan itu dilaksanakan. Tambahan pula, masih banyak misteri yang belum terjawab mengenai RUU ini apatah lagi ia muncul secara tiba-tiba tanpa persetujuan JTH.

Tidak semua yang kelihatan ‘syariah’ itu semestinya mengangkat prinsip dan semangat keadilan yang dituntut ajaran Islam. Jangan sesekali lupa sentimen terhadap kes seperti Rayani Air yang mendapat sokongan ramai sewaktu permulaan operasinya kerana menawarkan sesuatu yang ‘Patuh Syariah’ dan ‘Islamik’, hanya akhirnya menjadi fitnah ke atas Islam itu sendiri apabila operasinya penuh kegagalan dan kecacatan.

Umat Islam perlu ke hadapan mempersoalkan RUU 355 dan implikasinya terhadap politik, ekonomi dan sosial. Umat Islam perlu berani untuk tidak bersetuju sekiranya RUU ini tidak mendatangkan kebaikan. Umat Islam tidak seharusnya ditakutkan dengan label sesat atau kufur seperti yang dimainkan oleh sesetengah pihak. Sesungguhnya, kuasa yang disaluti dengan agama amatlah berbahaya kerana boleh digunakan sebagai alat mengekalkan kuasa. – Roketkini.com

*Farhan Haziq adalah Pengarah Pendidikan Politik DAPSY Subang
Edry Faizal Eddy Yusof adalah Ahli Jawatankuasa DAP Selangor