Wawancara

Syerleena, ‘Shit’ Shahnon Ahmad dan kesedaran politik – Bahagian 1

Ketika itu Datuk Seri Anwar Ibrahim telah ditahan sebagai tahanan politik. 1998, menjadi tahun keramat tercetusnya fenomena ‘Reformasi’ di seluruh pelusuk negara.

Ribuan rakyat Malaysia yang kian muak dengan pemerintahan Tun Mahathir Mohamad pada waktu itu telah turun ke jalan raya mengacungkan genggam ke udara sambil melaungkan Reformasi. Ia adalah tindakan yang dianggap songsang malahan pelik ketika itu.

Antara tuntutan mereka adalah untuk membebaskan Anwar yang dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri daripada hukuman penjara dengan tuduhan-tuduhan yang dianggap ramai pihak sebagai dangkal dan palsu.

Rakyat sekaligus mahu regim UMNO/mahathirisme yang telah memerintah terlalu lama, hampir puluhan tahun sejak merdeka, diturunkan.

Tidak perlu disenaraikan di sini segala macam kebobrokan yang telah dilakukan pemerintahan UMNO ketika itu, semua sedia maklum bahawa sehingga kini, pemimpin-pemimpin mereka mengulangi skrip yang sama demi mempertahankan kerusi.

Demi kuasa. Rasuah antaranya, telah menjadi darah daging UMNO, sehingga kita terlupa membezakannya dek terbuai dengan naratif yang diciptakan parti itu.

Namun tidak pada anak muda ini. “Pada waktu itu, tahun 1998 yang telah saya lalui itu adalah merupakan satu kesedaran politik kepada saya. Kita semua umum sedia maklum apa yang berlaku,” imbau Syerleena Abdul Rashid yang ketika itu baru sahaja menamatkan Sijil Pendidikan Malaysia (SPM).

“Jadi saya ingat lagi masa tu, saya ada sekumpulan rakan, dan apa yang kami lakukan adalah bercerita mengenai politik,” ujarnya menjelaskan bagaimana beliau mula-mula mendapat kesedaran mengenai politik.

Selain gerakan Reformasi yang membangkitkan minat beliau untuk menjejakkan kaki kanan ke lapangan politik, Syerleena yang merupakan anak jati Pulau Mutiara itu turut meminati bacaan dan disemai dengan perkara yang berunsurkan politik sejak dibangku sekolah lagi.

shahnon“Saya bermula minat dalam politik memang sudah lama telah disemai sejak waktu kecil dulu. Sebab ibu bapa saya sangat aktif dalam dalam hal-hal politik walaupun tidak ikut serta atau menjadi ahli parti politik.

“Waktu itu ibu saya masih lagi bekerja di Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai pensyarah. Bapa pula guru sekolah. Jadi kedua-dua ibu bapa saya menggalakkan saya aktif dalam sesi persoalan, debat and perbincangan.

“Dan bila saya dah mula dewasa sikit timbul pula minat dalam membaca buku-buku, terutamanya buku-buku bertajuk politik,” katanya.

Novel Shit yang merupakan hasil karya Sasterawan Negara, Datuk Shahnon Ahmad, setahun selepas Reformasi antara karya sastera yang menjentik kesedaran beliau terhadap senario politik tempatan, khususnya melibatkan UMNO.

“Masa baca buku itu, saya rasa itu adalah salah satu buku Bahasa Melayu yang agak memberontak, lebih-lebih lagi dengan apa yang berlaku (situasi politik) ketika itu. Anwar kena pecat. Kita boleh merasakan kemarahan dan rasa tidak puas hati (terhadap) kerajaan waktu itu.

“Bila saya habis baca, saya terus terfikir, wow this actually make sense,” ujarnya yang juga merupakan graduan Multimedia Universiti dalam bidang Komunikasi Media.

Novel Shit yang kemudiannya diharamkan Kementerian Dalam Negeri daripada beredar dan diulang cetak menceritakan mengenai kebusukan PM (Perdana Menteri) yang dituju kepada Mahathir ketika itu berkisar sekitar real-politik UMNO dalam sepak terajang dan pergelutan dalaman parti itu untuk terus berada di tampuk kuasa tertinggi negara.

Mengapa pilih DAP, dan bukan PKR dan lain-lain parti politik?

Adalah logik untuk Syerleena menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) misalnya kerana minat beliau dalam bidang politik sedikit sebanyak dipengaruhi oleh peristiwa Reformasi yang dicetuskan Anwar, namun mengapa beliau memilih DAP?

“Soalan tu banyak kali orang tanya, saya sebenarnya melakukan sedikit kajian untuk mengetahui apa nilai-nilai (yang dibawa parti politik). Seperti contohnya, apakah prinsip-prinsip, apakah perjuangan sebuah parti politik.

“Lebih kurang dalam tahun 2008 saya telah berkawan dengan seorang ahli parti DAP, yang juga merupakan salah seorang ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

“Pada waktu itu beliau lah merupakan seorang rakan yang baik dan boleh dikatakan di situ lah tersemainya minat untuk mengetahui dengan lebih dalam apakah perjuangan dan prinsip-prinsip yang ditegakkan dalam DAP,” katanya menceritakan serba sedikit penglibatan awal dalam DAP.

 

syerleena2DAP parti untuk kaum Cina?

Syerleena mengakui, media yang dikawal parti pemerintah sepenuhnya pada era akhir 80-an dan awal 90-an dan ketiadaan akses internet seperti sekarang telah membantutkan usaha untuk mengekang persepsi seumpama itu.

“Terus teranglah masa itu susah. Zaman dulu lebih susah untuk menghakis tanggapan seumpama itu. Sebabnya ,media.

“Seperti sekarang ini kita ada internet dan platform berbentuk media sosial. Namun, waktu itu memang susah sebab benda-benda ini tak wujud lagi, jadi maklumat hanya dapat di media tradisional.

“Dan kita tahu media tradisional itu adalah kepunyaan parti pemerintah. Jadi informasi dapat diubah suai untuk memberi manfaat lebih kepada satu pihak,” katanya sambil menegaskan ia adalah masalah yang masih membelenggu DAP sehingga ke hari ini.

Cabaran sukar sebagai Melayu DAP?

Kesan daripada menyertai DAP, menurutnya, kaum Melayu, khususnya telah dilabel dengan pelbagai tohmahan seperti yang paling terbaru: kafir harbi.

“Orang Melayu yang masuk DAP ni, selalunya digelar sebagai orang Melayu yang sudah murtad.

“Terutamanya apabila kami mahu mengadakan perbincangan, tidak semestinya dalam hal-hal melibatkan agama, misalnya macam baru-baru ini – Rang Undang-undang 355, (bagi saya) tidak salah bawa berbincang dengan cara yang rasional, yang logik dan berasaskan fakta.

“Tapi setiap kali kita nak cuba nak melakukan sesi dialog, ataupun bertukar-tukar pendapat, apabila kita menyoal, mereka akan marah balik kepada kita dan kata: siapa kamu untuk menyoal, siapa bagi kamu autoriti dalam bercakap mengenai hal ini?

“Walhal dalam isu-isu seperti ini, kita tidak boleh melihat dari segi agama (semata-mata), tetapi kita kena lihat dari segi Perlembagaan untuk keseluruhan negara,” katanya.

Lebih mengecewakan, katanya, ketika sebahagian besar negara sedang mengalami dan cuba mengekang aktiviti keganasan, mufti di negara ini pula lebih sibuk untuk menggelar sesama muslim sebagai kafir harbi yang menurut definisi umum sebagai darah yang halal untuk dibunuh.

Syerleena: Bekerja untuk Malaysia – Bahagian 2 – Roketkini.com