Rencana

Belanjawan negara, tanggungjawab kita

Malaysia mempunyai tiga jenis kerajaan, pertama adalah Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan. Setiap peringkat kerajaan ini bertanggungjawab penuh menguruskan dana awam.

Dana awam adalah dari kutipan cukai dan hasil pendapatan negara dari sumber yang lain. Akses kepada perbelanjaan dana awam bukanlah perkara yang bersifat sulit. Kerana itu ia dibentangkan setiap tahun sama ada di Parlimen, Dewan Undangan Negeri dan Mesyuarat Penuh Majlis Tempatan.

Hak Warganegara?

Sebagai warganegara yang prihatin kita harus memantau bagaimana kerajaan membelanjakan dana awam ini. Dokumen yang boleh kita dapati di ruang maya adalah Laporan Audit Negara
sama ada di peringkat persekutuan atau kerajaan negeri. Dengan meneliti dokumen ini kita boleh menilai tahap kecekapan sesebuah kerajaan.

Sebagai warganegara juga, sudah tentu kita mahu kerajaan menjalankan konsultasi awam sebelum dana awam dibawa untuk kelulusan di peringkat Parlimen, Dewan Undangan Negeri ataupun Kerajaan Tempatan. Perkara ini penting supaya perbelanjaan dana ini bersifat inklusif dan sampai kepada semua kumpulan sasar.

Belanjawan Responsif Gender dan Partisipatori (GRPB)

GRPB merupakan sebuah proses perbelanjaan yang melibatkan campur tangan kerajaan dan pa
rtisipatori (keterlibatan) rakyat supaya dana awam lebih mesra gender dan inklusif. Belanjawan ini mempunyai metodologi, dan boleh berkembang mengikut kesesuaian projek atau program.

Pulau Pinang mengambil langkah proaktif dan sekarang dalam proses menginstitusikannya di peringkat Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Perai. Sejak 2012, rakyat boleh mengakses pelbagai kejayaan dan perkara baharu yang telah dan akan diterapkan.

Rakyat Pulau Pinang juga boleh mencadang dan menilai keberkesanan belanjawan tahunan majlis tempatan melalui maklumbalas atau tinjauan belanjawan. Selain itu dialog belanjawan juga diadakan oleh kedua-dua majlis tempatan di Pulau Pinang sejak 2012.

Apa yang harus kita lakukan?

Kita akan memasuki suku keempat tahun 2016. Kebiasaannya pada waktu ini kerajaan-kerajaan akan mula membentangkan cadangan perbelanjaan bagi 2017 untuk kelulusan. Sebagai warganegara Malaysia, ayuh kita pantau dan menilai belanjawan ini sama ada ia berkesan dan menurut kehendak masyarakat. – Roketkini.com

*Hafizan Mazuki adalah Pegawai Projek Kanan Gender Responsive & Participatory Budgeting (GRPB), PWDC Pulau Pinang.