Budaya

Mengenali Thirukkural – Bahagian 2

Bahagian pertama Thirukkural adalah aram (dharma atau virtue) yang membicarakan tentang kebajikan, pentadbiran negara dan cara mencapai moksha (bersatu dengan Tuhan) menerusi 380 kural yang dibahagikan pula kepada 38 bab (athikaram).

Bab 1 membicarakan tentang kebesaran Tuhan. Kata-kata pujian ini masih bersifat universal, dan bukannya berunsur ajaran Hindu (Sanatana Dharma) seperti dalam kitab-kitab veda.

Kalau diperhatikan, prinsip pertama dalam Rukun Negara yang diperkenalkan pada tahun 1970 adalah “Kepercayaan Kepada Tuhan”. Sama ada seseorang individu beragama Islam, Hindu, Kristian, Buddha, Sikh atau sebagainya, prinsip ini masih terpakai.

Atas dasar itulah juga Bab 1 dalam Thirukkural sesuai dibaca, difahami dan dihayati masyarakat pelbagai kaum, etnik, agama dan latar budaya di Malaysia.

Tan Sri Ismail Hussein yang menterjemahkan teks Thirukkural dan terbit dengan judul Thirukkural: Sastera Kelasik Tamil Yang Agong (1967) memberikan terjemahan seperti berikut bagi Kural 1:

“A adalah permulaan segala dunia bunyi; begitu juga Dewata Mulia Yang Utama adalah permulaan segala hidup.”

Manakala, versi terjemahan oleh Dr Singaravelu Sachithanantham (2013) memberikan terjemahan ini:

“Semua huruf adalah mempunyai huruf A sebagai huruf pertama; alam adalah mempunyai Athipakavan (Tuhan purbakala) sebagai perwujudan pertama sekali.”

Abaikan nilai keindahan bahasa yang mungkin terjejas dalam terjemahan. Sebaliknya, tumpukan kepada makna yang cuba disampaikan. Tambahan pula, bukan mudah mahu melakukan terjemahan tepat dan indah ambil tetap berpegang kepada ciri-ciri (bentuk) penulisan kural.

Sebagaimana perkataan “Tamil” tidak muncul langsung dalam Thirukkural, begitulah juga tiada istilah khusus berciri agama diberikan apabila merujuk kepada Tuhan.

Mengakui Kuasa Tuhan

Athipakavan merujuk kepada “Tuhan purbakala” iaitu Tuhan yang wujud sejak azali. Sebagai agama tauhid yang pertama dan tertua di dunia, ajaran Hindu juga mengakui keesaan Tuhan menerusi konsep Ekan Anekan.

Maka, kural pertama dalam Thirukkural sudah mengangkat serta mengesahkan kebesaran Tuhan.

Apalah gunanya segala ilmu dan pengetahuan yang dimiliki sekiranya seseorang individu tidak tunduk menyembah Tuhan?

Demikian ditanya menerusi Kural 2 yang ternyata cuba menguatkan lagi hujah dalam kural terdahulu.

Setiap agama dan tamadun besar mengajar orang ramai supaya tidak taksub, angkuh, bermegah diri, atau lupa diri. Walau sebanyak manapun ilmu di dada, kita perlu sentiasa sedar bahawa ilmu itu hanya umpama setitis air di lautan maha luas.

Maka, manusia perlu selalu merendah diri dan menyedari Tuhan sebagai sumber segala ilmu pengetahuan. Menyedari hakikat itulah maka Thiruvalluvar memberikan peringatan ini, hampir 2,500 tahun dahulu.

Ditegaskan menerusi Kural 3 bahawa seseorang yang menyembah Tuhan – sekali gus tidak bongkak dengan ilmu yang dimiliki – akan hidup lama di muka bumi.

Kehidupan yang lama tentu sahaja turut dimaksudkan hidup yang bahagia. Malah, bagi seseorang yang berpekerti mulia, namanya akan terus disebut dan dikenang jauh selepas jasad dikandung tanah.

Sekiranya diperhatikan, individu yang berpegang kepada tiga kural di atas akan hidup bahagia, tanpa sebarang kedukaan atau perasaan negatif. Hal ini boleh diperhatikan dalam kehidupan seharian. Dan perkara inilah juga dinyatakan menerusi Kural 4.

Dihuraikan dalam Kural 5 pula, orang berilmu yang menyedari kebesaran Tuhan, serta sentiasa melakukan perkara baik demi rahmat Tuhan, tidak akan berdepan sebarang masalah. Hal ini tidaklah menghairankan kerana pemikiran, tutur kata dan perbuatannya sentiasa terpelihara.

Thiruvalluvar menerangkan menerusi Kural 6 bahawa individu yang mengakui kuasa Tuhan dan mampu mengawal pancaindera – sekali gus, mengawal segala nafsu yang boleh dinikmati menerusi kelima-lima indera itu – akan hidup lama dan bahagia.

Ternyata pandangan, hujah dan nasihat yang diberikan menerusi Thirukkural tidak berciri dakwah – atau dakyah – seperti mungkin disangka selama ini oleh golongan yang belum berpeluang membaca teks berkenaan.

Sebaliknya, segala kandungan dalam teks ini berciri universal dan sesuai diamalkan oleh sesiapa sahaja yang mementingkan moral, nilai dan etika dalam kehidupan.

Kekuatan Fizikal, Mental dan Rohani

Hakikat yang diketahui umum adalah bahawa seseorang yang sentiasa mendekatkan diri kepada Tuhan – tanpa mengira agama – selalu kelihatan tenang dan aman.

Kural 7 menjelaskan, individu seperti itu akan terhindar daripada segala masalah dan serangan unsur-unsur negatif. Tentu sahaja semua agama mengajar mesej yang sama.

Malah, begitu ramai pakar motivasi dan kaunseling menggesa individu yang “bermasalah” (fikiran tidak tenang) supaya melakukan meditasi. Ini juga sebenarnya satu cara mendekatkan diri kepada Pencipta.

Kehidupan di dunia memang penuh dengan godaan berbentuk kebendaan (material dan kekayaan) serta nikmat (khususnya nafsu yang terlarang).

Perkara ini bukanlah sesuatu yang baharu. Tidak usah kita menuding jari dan menyalahkan “budaya barat” sedangkan semua ini wujud di mana-mana.

Dalam hal ini, Kural 8 mengakui realiti tarikan kebendaan dan nikmat duniawi, lalu menasihatkan orang ramai mengakui kuasa Tuhan serta mendekatkan diri kepada-Nya.

Dengan cara itu, diri kita akan terpelihara dan terselamat daripada karam dalam lautan nikmat, nafsu, godaan dan kebendaan. Bukankah ini juga intipati rata-rata agama yang kita ketahui?

Bagaimana jika ada individu yang tidak mempercayai Tuhan dan mengaku tidak beragama? Pertanyaan ini bukanlah sesuatu yang baharu.

Dalam hal ini, menurut Thiruvalluvar, seseorang yang tidak menyedari kuasa Tuhan samalah seperti orang yang ada telinga tetapi tidak mampu mendengar, ada mata tetapi tidak mampu melihat, dan sebagainya.

Apa yang dimaksudkan menerusi Kural 9 adalah hakikat kerugian yang ditanggung sesiapa yang cuba menafikan kuasa dan kewujudan Tuhan; seperti dikisahkan menerusi cerpen “Siru Kambatil” (Kisah Dari Siru Kambam, 2013).

Individu seperti ini dikatakan bakal menghadapi masalah dalam menyeberang lautan hidup yang penuh cabaran dan gelora.

Manakala, menurut Kural 10, golongan yang beragama – “Kepercayaan Kepada Tuhan” – akan mendapat kekuatan fizikal, mental dan rohani untuk mengharungi lautan kehidupan.

Amat jelas, sepuluh kural dalam Bab 1 teks Thirukkural menyampaikan mesej universal mengenai kebesaran dan kuasa Tuhan. – Roketkini.com

* Uthaya Sankar SB memblog di www.uthayasb.blogspot.my