Wawancara

Syerleena: Bekerja untuk Malaysia – Bahagian 2

Bahagian 1: Syerleena, ‘Shit’ Shahnon Ahmad dan kesedaran politik

Dengan berbekalkan minat dan ilmu berkaitan politik yang diperolehi melalui pengajian formal dan tidak formal dalam bidang berkenaan, Syerleena mengorak selangkah lagi kehadapan dengan menjadi ahli MBPP, dengan satu niat dan tujuan yang murni, iaitu ingin membangunkan masyarakat dan komuniti yang mempunyai kesedaran terhadap kepemilikan kawasan yang didiami mereka.

“Salah satu cabaran yang saya hadapi adalah mengenai kesedaran sivik masyarakat yang saya akui masih kurang memuaskan. Aduan yang kami sering kali dapat adalah mengenai sampah. Sampah-sampah yang tidak kutip, dan macam di rumah milik perbandaran, kesedaran sivik itu masih lagi tidak baik dan perlu diperbaiki.

“Di Pulau Pinang ada Penang Women’s Development Corporation (PWDC). Mereka telah melaksanakan satu projek, Gender Responsive and Participatory Budgeting (GRBP). Projek itu dilaksanakan bagi memberi peluang kepada masyarakat untuk turut serta dalam proses membuat belanjawan bagi sesuatu projek itu.

syerleena2“Antara kawasan yang terlibat adalah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Sungai. Dulu kawasan ini sangat teruk. Jadi PWDC datang dan buat survey dan tanya penduduk di situ.

“Jadi kami menerangkan kepada mereka bahawa kami ada bajet sekian-sekian, apakah penduduk-penduduk di situ mahu gunakan dengan duit tu. Secara langsung kita menggalakkan cara bagaimana kita menggunakan wang yang ada, bukan dengan cara dari atas ke bawah, tapi dari bahawa ke atas.

“Jadi dari situ terhasilnya sikap kepemilikan antara mereka. Mereka rasa turut sama dalam perbincangan mengenai penyelesaian masalah. Jadi di situ ada perasaan tanggungjawab sesama komuniti.

“Jadi secara automatiknya, kawasan itu bersih. Orang sudah tidak buang sampah dari tingkat 16. Setakat ini, ia adalah projek yang pertama. Sekarang ini dalam fasa kedua. PPR Jalan Sungai diklasifikasikan projek yang berjaya,” katanya.

Pandangan mengenai isu rogol

Syerleena berpandangan bahawa masalah rogol dapat diatasi sekiranya penglibatan kaum wanita dalam proses pengubalan serta pelaksanaan dasar-dasar berkaitan ditingkatkan.

Malah, katanya, sistem sedia ada lebih memberi kelonggaran terhadap kaum lelaki dan meminggirkan kaum wanita.

Beliau memetik laporan agensi berita tempatan, Bernama melibatkan seorang perogol yang mengahwini mangsa rogolnya yang juga individu bawah umur dan terlepas daripada sebarang hukuman.

“Dan disinilah perlu untuk kita melakukan lebih, memasukkan wanita dalam politik, lebih-lebih lagi dalam hal yang melibatkan pengubalan polisi.

“Supaya kaum wanita dapat menyuarakan perkara-perkara tidak baik seumpama itu.

“Saya sedar bahawa banyak penggubal polisi dalam parti DAP sama ada lelaki ataupun wanita ada menyuarakan ketidakpuasan mengenai sistem dansyerleena OKK apa yang berlaku sekarang,” katanya.

Tambahnya, dasar berkaitan hak wanita dan kanak-kanak sudah hampir sempurna untuk melindungi golongan tersebut, namun pelaksanaan yang tidak berkesan membenarkan perkara seumpama itu terus berulang tanpa titik kesudahan.

“Apa yang kita perlukan sangat-sangat sekarang adalah ahli-ahli Parlimen, ADUN, atau siapa-siapa dalam posisi kepimpinan negara perlu menyuarakan masalah itu.

“Dengan kata lain, mereka perlu selalu buat ‘bising’, mereka tidak boleh biarkan benda buruk seperti itu terjadi,” katanya.

Harapan untuk melihat Malaysia baru?

Optimis. Hampir di setiap jalan penyelesaian yang tampak menemui kebuntuan, Syerleena menawarkan sikap optimis. Tidak patah semangat, dan tidak berputus asa dan terus berjuang. Dalam senario politik yang merudum, dan kepenatan berharap, beliau meminta semua rakyat bangun melawan.

“Memang perjuangan ini bukan senang, pada tahun 2013, waktu pilihanraya, rata-rata rakyat Malaysia kata kali inilah – satu pilihanraya yang kita akan lihat ada pertukaran kerajaan.

“Saya pun salah seorang yang mengatakan ‘ya, esok saya bangun memang kita akan tukar kerajaan’, namun ia tidak menjadi realiti.

“Saya pun sedih juga, tapi kita tidak boleh putus asa, sebab perjuangan ni berkekalan. Pada masa akan datang jika kita berjaya menukar kerajaan, perjuangan tidak akan terhenti di situ juga, banyak lagi yang kita perlu lakukan.

“Orang kata ‘Rome wasn’t built in a day’. Sama juga dengan Malaysia, cabaran yang kita semua sedang hadapi adalah, kepenatan politik (political fatigue), dari golongan biasa dan pemuda-pemuda. Jadi jangan berhenti berharap,” katanya. – Roketkini.com