Rencana

Malaysia mesti kecam jenayah perang Sri Lanka di PBB

Baru-baru ini, rakyat Malaysia meluahkan rasa marah dan tidak puas hati mereka terhadap ICAPP kerana menjemput penjenayah perang, bekas Presiden Sri Lanka Mahinda Rajapakse, serta kepada kerajaan, terutama Perdana Menteri, kerana mengalu-alukan kedatangan beliau ke sini biarpun rejim Rajapakse telah melakukan pembunuhan besar-besaran dan menafikan hak asasi rakyat negara itu.

Tangan Rajapakse berlumuran dengan darah segar rakyat Sri Lanka yang tidak bersalah, namun beliau kini bebas berjalan di kalangan masyarakat antarabangsa tanpa menunjukkan sebarang rasa terkilan atau bersalah. Memandangkan Malaysia dan Sri Lanka masing-masing tidak menandatangani serta mengesahkan Statut Rom bagi membawa mana-mana negara ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa, bagaimana lagi caranya untuk Sri Lanka boleh dipertanggungjawabkan untuk pelbagai jenayah perang yang berlaku di sana?

Bagaimana Malaysia sebagai sebuah negara, rakyat atau kerajaan boleh mengadakan hubungan dengan sebuah negara yang bertanggungjawab ke atas jenayah perang, pembunuhan serta pembersihan etnik?

Selepas 15 tahun, Malaysia akhirnya kembali ke Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) sebagai anggota tidak tetap yang mewakili rantau Asia Pasifik dari 2014 hingga 2016. Keutamaan Malaysia termasuklah mengukuhkan operasi keamanan PBB, memastikan keamanan, sebagai badan pengantaraan serta menggalakkan Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM) dan pembaharuan UNSC.

Namun begitu, keahlian Malaysia dalam UNSC akan berakhir dalam tempoh 4 bulan dan ini merupakan peluang emas untuk pentadbiran Najib memulihkan kembali reputasinya selepas membuat keputusan yang amat tidak sensitif dengan membenarkan seorang penjenayah perang Sri Lanka datang ke negara ini.

Pada masa ini, China, Perancis, Russia, United Kingdom dan Amerika Syarikat merupakan anggota tetap UNSC manakala selain Malaysia, anggota tidak tetap lain adalah Angola, Mesir, Jepun, New Zealand, Senegal, Sepanyol, Ukraine, Uruguay dan Venezuela. Oleh itu, Malaysia seharusnya menggunakan platform ini secara efektif dengan melobi – membawa rejim Sri Lanka ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa agar segala kekejaman negara itu semasa perang saudara sebelum ini dapat disiasat.

Empat jenayah yang tertakluk dalam undang-undang antarabangsa adalah pembunuhan beramai-ramai, jenayah terhadap kemanusiaan, jenayah perang serta jenayah pencerobohan. Semua ini merupakan jenayah yang telah dilakukan ‘dengan penuh jayanya’ oleh Mahinda Rajapakse semasa pemerintahan beliau dan bekas-bekas Presiden sebelum ini. Kuasa Majlis Keselamatan di bawah Piagam PBB merupakan asas undang-undang yang membolehkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa menyiasat jenayah tersebut tanpa memerlukan persetujuan negara-negara yang terlibat.

Sebagai anggota masyarakat antarabangsa yang bertanggungjawab, satu-satunya cara untuk Malaysia memperbaiki kesilapan serta mendapatkan kembali rasa hormat dan keyakinan masyarakat selepas dihina dan dikeji akibat skandal 1MDB, adalah dengan tegas menentang sebarang ekstremisme atau penjenayah perang, bermula dengan Mahinda Rajapakse. Malaysia juga harus mengenepikan sebarang profit yang diperoleh daripada hubungan dua hala dengan Sri Lanka..

Najib sebagai Perdana Menteri mesti memegang janjinya, serta tidak kehilangan kompas moral dengan menjadi juara kesederhanaan dan menolak sebarang bentuk ekstremisme dengan menggunakan kedudukan Malaysia sebagai anggota tidak tetap UNSC untuk melobi agar Sri Lanka dapat dibawa ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa atas segala jenayah perang yang dilakukannya.

Malaysia perlu memastikan agar keanggotaannya dalam UNSC berbaloi dengan melobi untuk meluluskan resolusi agar dapat membawa Sri Lanka ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa atas jenayah perang, pencerobohan, pembunuhan beramai-ramai serta jenayah terhadap kemanusiaan yang berlaku semasa peristiwa berdarah pembunuhan lebih 200,000 rakyat Tamil Hindu, Kristian dan Muslim Sri Lanka oleh rejim Rajapakse. – Roketkini.com

 

*Kasthuri Patto merupakan Ahli Parlimen Batu Kawan merangkap Setiausaha Publisiti Wanita DAP Kebangsaan