Berita

Menteri dinasihati semak data sebelum sangkal laporan Perak negeri kedua termiskin

KUALA LUMPUR, 5 SEP: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan dinasihati supaya menyemak data yang dikeluarkan Jabatan Statistik sebelum menyangkal laporan yang menyenarai Perak sebagai negeri kedua termiskin di negara ini.

Ahli Parlimen Serdang, Dr. Ong Kian Ming berkata, laporan yang dikeluarkan Khazanah Research Institute (KRI) itu baru-baru ini adalah berdasarkan Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2014 yang dikeluarkan Jabatan Statistik.

Berdasarkan data laporan penyiasatan berkenaan, katanya, negeri Perak mencatatkan 21.3 peratus jumlah penduduk yang memperoleh pendapatan di bawah RM2,000 selepas Kelantan (31.4 peratus).

Agensi yang mengeluarkan data berkenaan pula, kata Ahli Parlimen Sedang itu, diletakkan di bawah Unit Perancangan Ekonomi (EPU) dalam bidang kuasa Rahman Dahlan selaku menteri yang bertanggungjawab.

“Justeru itu, mempersoalkan laporan KRI yang berdasarkan statistik yang diperoleh daripada Jabatan Statistik menunjukkan tahap kejahilan dan ketidakcekapan Rahman Dahlan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Ong turut secara sinis meminta supaya Rahman Dahlan mendapatkan taklimat daripada Jabatan Perangkaan berkaitan laporan penyiasatan berkenaan bagi membolehkan Ahli Parlimen Kota Belud itu memahami statistik yang disediakan.

“Malah, saya yakin bahawa salah seorang pelajar yang sedang melakukan internship di Felo Perdana di bawah seliaan Rahman Dahlan boleh memberikan taklimat mengenai asas-asas statistik dan bagaimana untuk memahami laporan sedemikian,” tambahnya.

Rahman Dahlan seperti yang dilaporkan media semalam menyangkal laporan KRI dan mempertahankan pentadbiran Ketua Menteri Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Khalid yang kononnya didakwa membawa banyak pembangunan terhadap negeri itu.

Sehubungan itu, Rahman Dahlan meminta supaya laporan dan statistik yang tepat diberikan kepada KRI bagi memperbetulkan laporan berkenaan. – Roketkini.com