Berita

Menteri disoal tentang janji bebaskan SPRM daripada kuasa Jabatan Perdana Menteri

KUALA LUMPUR, 5 SEP: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low diingatkan agar mengotakan janji untuk memastikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak lagi tertakluk di bawah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri agar kebebasan dan ketelusan badan itu dijamin.

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng turut mengingatkan Paul tentang ucapannya semasa Persidangan Antirasuah Antarabangsa (IACC) kali ke-16 di Putrajaya pada September lalu tentang rancangan untuk meletakkan pejabat Ketua Audit Negara di bawah Parlimen.

Paul katanya malah pernah mendakwa beliau rela menggadaikan nyawa, kerjaya dan reputasinya untuk melindungi institusi-institusi penting negara.

“Setahun sudah berlalu, kita tidak pernah mendengar apa-apa berita mengenai kedua-dua janji ini.

“Adakah Paul telah dibohongi oleh bosnya sendiri, Datuk Seri Najib Razak apabila Perdana Menteri menolak cadangan beliau untuk memperkukuh kedudukan dan kebebasan dua institusi negara yang penting ini? Jika tidak, wujudkah kemajuan dalam perancangan beliau?” soalnya.

Lip Eng yang juga Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur turut mempersoalkan berapa banyak lagi masa yang Paul perlukan untuk mengemukakan cadangan tersebut agar dapat diluluskan di Parlimen.

“Malah selain dua rancangan ini, saya berminat untuk tahu apa yang telah dikerjakan oleh Paul Low dalam jangkamasa 365 hari sejak 2 September lepas.

“Sebelum Belanjawan 2017 dibahaskan di Parlimen bulan depan, beliau mesti menjelaskan kepada orang ramai kenapa beliau harus dibenarkan untuk terus menjadi menteri dan menerima bajet negara untuk jabatannya,” ujarnya.

Paul telah dilantik sebagai ahli Kabinet selepas Pilihanraya Umum ke-13 yang lalu, dengan ditugaskan untuk memegang portfolio integriti dan tadbir urus. – Roketkini.com