Rencana

Peka dengan pelecehan seksual terhadap kanak-kanak

Beberapa minggu ini jiwa halus rakyat Malaysia dari segenap lapisan etnik terperangah dan tercabik seperti disergah dentuman guruh di siang bolong, ketika disuguhkan dengan pemberitaan komplotan pedofil di pusat tahfiz memangsa kanak-kanak yang masih polos dan lugu.

Pembongkaran itu akhirnya menyusul lagi lewat media sosial, netizen mendedahkan kejadian seumpamanya turut berlaku di tempat pengajian tahfiz lain, pesantren, di sekolah kesemuanya lelaki dan sekolah berasrama. Turut mengejutkan malah turut berlaku di rumah dan rumah pengasuh.

Penderaan seksual ertinya satu kekerasan seksual kepada kanak-kanak. Perlakuan itu adalah dengan paksaan supaya terhadap mangsa (kanak-kanak) dengan menggunakan kekuasaan atau otoritinya, demi mendapatkan kepuasan.

Pedofilia pula adalah suatu kelainan dan penyimpangan seksual seseorang yang mempunyai tarikan seksual terhadap kanak-kanak yang belum akil baligh. Apabila kanak-kanak tersebut telah melepasi akil baligh kesukaan dan naluri seks pedofil akan hilang dan beralih kepada kanak-kanak lain pula.

Dunia kanak-kanak kini dicemari berbagai macam fenomena negatif yang mengusik kehidupan mereka. Berbagai penyimpangan sosial yang ada dalam masyarakat kita sekarang ini kian berleluasa dan sebahagian besar menimpa anak-anak di bawah umur.

Pelaku kekerasan seksual pada kanak-kanak majoritinya adalah orang terdekat dengan mangsa, menggambarkan keadaan masyarakat kita yang sakit.

Kemiskinan kadang lebih mendekatkan kanak-kanak kepada risiko penderaan. Kerana masalah sosial ekonomi juga, menjadikan urusan perut lebih utama, sedangkan masalah lainnya termasuk pelecehan seksual, tidak mendapatkan prioriti. Malah rendahnya pendidikan dan kurangnya perhatian ibubapa kepada anak-anak turut menjadi faktor.

Masyarakat juga kurang menyedari dan tiada kepedulian bahawa pelecehan seksual terhadap kanak-kanak merupakan satu kekejaman yang perlu dibendung.

Justeru saya tidak faham kenapa ada beberapa orang dalam kalangan masyarakat maupun agamawan menggesa supaya menutup kisah ini dan jangan disebarkan aibnya, dengan menyebar hadis-hadis berkaitan tanpa peduli suruhan Tuhan yang menuntut manusia mencegah kemungkaran (nahi mungkar).

Kerana masyarakat merasa pelecehan seksual satu hal yang tabu, lalu hal ini menjadi suatu kegiatan yang disembunyikan oleh pelaku dan juga keluarga mangsa daripada masyarakat. Pelaku memiliki kesempatan yang besar untuk mengawal dan memanipulasi kanak-kanak supaya diam dan tidak membuka mulut.

Dikatakan juga bahawa dua pertiga daripada kanak-kanak yang mengalami pelecehan seksual, pelakunya adalah terdiri dari orang terdekat, yang sangat dipercayai dan dihormati masyarakat setempat selain keluarga mereka sendiri.

Bilakah kita dapat mendengar larangan, nasihat, teguran dari agamawan juga mufti secara serius berkenaan kebejatan kekerasan seksual terhadap kanak-kanak? Jika pedofilia adalah sesuatu yang kabur dari kitab-kitab ulama terdahulu maka saat inilah tugasan mufti, alim ulama untuk duduk semeja bermuzakarah, keluarkan fatwa terkini tentang gejala seks yang satu ini, hukum dan bagaimana susulan tindakan pencegahannya.

Ini kerana tidak semua hukum-hakam bersumber kitab-kitab kuning dari ulama terdahulu masih relevan untuk diterima pakai di abad ini. Itulah perlunya para alim ulama untuk mempelbagaikan ilmu tentang dunia hari Ini. Bukan sekadar berhukum dengan mencedok dari kitab jauh tertinggal zaman tanpa ada ijtihad baru yang lebih relevan dengan permasalahan masa kini.

Pemahaman tentang pelecehan seksual perlu dipelajari secara mendalam di rumah mahupun di sekolah. Malah sepatutnya masjid-masjid yang sangat lengang dengan aktiviti sosial, memainkan peranan paling besar. Turut dicadangkan juga di rumah ibadah agama lain.

Adakanlah satu kelas atau sesi khas yang diundang pakar psikologi, dengan kerjasama alim ulama, para mufti, doktor, guru-guru, orang-orang politik, badan NGO untuk memberi penerangan kepada masyarakat khususnya ibu-bapa agar dapat menyelamatkan anak-anak dari ancaman kekerasan seksual.

Keselamatan anak-anak bermula di pundak orang tuanya. Kita mungkin tidak boleh mengenali siapakah anasir pedofilia yang sedang mengintai kanak-kanak di persekitaran kita. Tetapi setidaknya, kita dapat tahu bagaimana cara menjaga anak-anak ini dari ancaman pedofil kerana ia berada di mana-mana termasuk di sekolah-sekolah agama.

Ketua negara, dari menteri sehingga wakil rakyat, keluarga, bahagian pendidikan dan masyarakat berbagai bangsa harus ikut bertanggungjawab dalam memberikan berbagai bimbingan yang tepat.

Sebagaimana diketahui, serangkaian kekerasan yang dilakukan kepada kanak-kanak akan merosak masa depan mereka, membekas dalam jiwanya sehingga berajak dewasa. Di kemudian hari pula jangan salahkan mereka, apabila mereka juga cenderung melakukan hal-hal yang menyimpang, kerana apa yang telah diperlakukan kepada mereka atau apa yang mereka saksikan dahulu.

Kanak-kanak mangsa pelecehan seksual akan menjadi paranoid, dan mengalami trauma berpanjangan. Kekerasan seksual yang diterima di zaman kanak-kanak akan melahirkan peribadi yang apatis. Apalagi jika mereka tidak mendapat didikan yang baik dan kurang penanaman nilai-nilai moral.

Kita juga perlu menggesa agar undang-undang perlindungan sesuai dengan keperluan kanak-kanak serta menjaga hak kanak-kanak diperketatkan, dan pesalah pelecehan kanak-kanak tidak hanya diberikan hukuman yang berat, malah turut juga menyelesaikan masalahnya dari peringkat akar rumput. – Roketkini.com