Berita

Kabinet digesa sokong pengakuan Rahman Dahlan bahawa ‘MO1’ itu Najib

KUALA LUMPUR, 7 SEPTEMBER: Mesyuarat Kabinet yang berlangsung hari ini digesa menyokong pengakuan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Rahman Dahlan bahawa identiti “Malaysian Official 1” (MO1) adalah merujuk kepada Datuk Seri Najib Razak.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dalam satu kenyataan hari ini berkata, masih terdapat menteri yang disifatkannya sebagai ‘jahil’ apabila disoal mengenai pengakuan yang dibuat Abdul Rahman itu dalam wawancara eksklusif bersama media penyiaran antarangbangsa, BBC, baru- baru ini.

Katanya lagi, pengakuan rasmi kerajaan itu juga telah memudahkan beliau untuk mengenal pasti indentiti “1MDB Officers 1”, “1MDB Officers 2” dan “1MDB Officers 3” yang turut dinamakan dalam saman sivil Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat yang dikemukakan agensi itu dua bulan lalu.

“Kerajaan melalui Abdul Rahman telah mengakui bahawa ‘MO1’ adalah Najib.

“Identiti ‘1MDB Officers 1, 2 dan 3’ juga mudah untuk dikenalpasti, iaitu Casey Tang Keng Chee yang berkhidmat sebagai pengarah eksekutif 1MDB dari masa ia ditubuhkan sehingga Mac 2011 sebagai ‘1MDB Officers 1’.

“Datuk Shahrol Halmi yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB dari awal hingga Mac 2013 sebagai ‘1MDB Officers 2’ dan Jasmine Loo Ai Swan, sebelum ini peguam am 1MDB dan pengarah eksekutif strategi kumpulan, sebagai ‘1MDB Officers 3’,” katanya.

DOJ dengan usaha Inisiatif Pemulihan Aset Kleptokrasi telah memfailkan saman sivil bagi merampas aset bernilai hampir AS$1 bilion yang dipercayai diperolehi beberapa individu melalui pengubahan wang haram milik 1MDB.

Selain MO1 yang diulang sebut sebanyak 36 kali dalam dokumen saman tersebut, “1MDB Officers 1”, “1MDB Officers 2” dan “1MDB Officers 3” turut dinamakan antara individu yang terkait dengan skandal kewangan terbesar dunia terbabit.

Agensi kehakiman Amerika itu juga mendedahkan bahawa ratusan juta dolar AS telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi milik MO1 atau Najib melalui beberapa transaksi rumit.

Dalam pada itu, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah turut menggesa supaya kabinet membenarkan Ketua Polis, Tan Sri Khalid Abu Bakar membuka semula kertas siasatan berhubung skandal syarikat milik penuh kerajaan itu selaras dengan pendedahan dokumen DOJ tersebut.

Katanya, alasan Abdul Rahman bahawa Najib tidak dinamakan dalam saman tersebut kerana tidak terlibat secara langsung sebagai dangkal dan seharusnya tidak diguna pakai polis untuk menutup segala salah laku jenayah yang dilakukan individu-individu terbabit, khususnya MO1. – Roketkini.com