Berita

Kerajaan perlu hormat semangat Akta Perhimpunan Aman, bukan salah guna takutkan rakyat – DAPSY

KUALA LUMPUR, 7 SEP: Ketua Sosialis Muda DAP (DAPSY) Kebangsaan Wong Kah Woh menggesa kerajaan menjunjung semangat Akta Perhimpunan Aman dengan menghormati hak rakyat untuk bersuara dan berhimpun seperti dijamin Perlembagaan Persekutuan.

Kata Kah Woh, akta itu sepatutnya digunakan sebagai pemudahcara bagi penganjuran dan perjalanan sesebuah perhimpunan aman dan tidak sepatutnya digunakan untuk menakut-nakutkan atau menghukum rakyat yang terlibat dalam sesebuah perhimpunan.

“Tetapi apa yang kita lihat selepas empat tahun akta ini diluluskan, ia telah disalah guna untuk menindas dan untuk menakut-nakutkan rakyat Malaysia yang terlibat dalam siri-siri perhimpunan aman yang diadakan.

dang wangi2

“Tidak kira perhimpunan Bersih, Bantah GST atau Himpunan Tangkap MO1, sebaik saja selepas perhimpunan, ramai yang disiasat dibawah akta perhimpunan aman,” katanya kepada pemberita di perkarangan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi.

Ahli Dewan Undangan Negeri Canning itu hadir ke IPD tersebut setelah dipanggil polis untuk direkodkan keterangan di hadapan Pegawai Penyiasat Sarjan Tapsiri sekitar jam 11 pagi tadi berhubung ucapannya dalam Himpunan Tangkap MO1 pada 27 Ogos lalu.

Turut hadir untuk diambil keterangan ialah Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad. Kedua-dua mereka ditemani peguam Ram Karpal dan Wan Anuar.

Kah Woh berkata, pihaknya memberi kerjasama sepatutnya kepada pihak polis.

“Percakapan kami telah pun direkod untuk kurang dari setengah jam, dan Pegawai Penyiasat (IO) telah memaklumkan bahawa polis akan menghantar laporan siasatan kepada Pendakwa Raya bagi tindakan selanjutnya,” jelasnya.

Siasatan dijalankan dibawah Akta Perhimpunan Aman 2012 Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan. Sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Kah Woh berkata, dalam ucapannya itu, beliau menjelaskan sekiranya wang 1MDB yang telah diseludup keluar negara itu tidak dibazirkan, ia boleh digunakan untuk tajaan biasiswa kepada pelajar-pelajar JPA yang sebelum ini biasiswa sebahagian mereka telahpun dibatalkan.

Semalam, Setiausaha Hal Ehwal Antarabangsa DAPSY Howard Lee Chuan How juga telah dipanggil untuk membantu siasatan polis berhubung ucapan dalam perhimpunan yang sama manakala Ahli Parlimen Rasah Teo Kok Seong juga telah dipanggil memberi keterangan pada awal September lalu bersama pemimpin parti politik, NGO dan mahasiswa. –  Roketkini.com