Berita

Apa khabar projek Taman Kekal Pengeluaran Makanan?

IPOH, 8 SEP: DAP Perak hari ini memohon supaya Jabatan Pertanian Negeri Perak membekalkan maklumat penting berhubung perkembangan terbaru program Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) yang melibatkan tanah seluas 3,255 hektar di negeri ini.

Naib Pengerusinya, V. Sivakumar menuntut agensi negeri terbabit menyediakan maklumat-maklumat berkaitan baki keluasan tanah yang masih tidak diusahakan dan diselenggarakan; jumlah peserta program yang terlibat; jumlah peserta yang berjaya mencapai sasaran pendapatan melebihi RM3,000 sebulan dan peruntukan kerajaan Persekutuan untuk projek tersebut bagi tahun 2015 hingga 2016.

Katanya, kerajaan Persekutuan pada tahun 2012 hingga 2014 telah memberikan peruntukan sejumlah RM3.92 juta untuk program tersebut, manakala tanah seluas 3,255 hektar terbabit disediakan oleh kerajaan negeri.

“Sektor penghasilan makanan adalah amat penting untuk menjamin keselamatan dan keselesaan rakyat. Kerajaan harus memberi perhatian yang serius dalam memastikan bekalan makanan mencukupi pada setiap masa.

“Usaha-usaha yang lebih giat perlu diambil untuk memastikan penggantungan negara kita kepada negara-negara lain diminimumkan dalam hal ini. Kita harus mengambil segala langkah yang mungkin untuk meningkatkan penghasilan bahan makanan.

“Justeru, saya memohon supaya Jabatan Pertanian Negeri Perak membekalkan maklumat-maklumat yang dikehendaki,” kata Ahli Parlimen Batu Gajah itu dalam satu kenyataan hari ini.

Program TKPM yang diperkenalkan dalam Rancangan Malaysia Kelapan merupakan strategi di bawah Dasar Pertanian Negara Ketiga (DPN3) untuk menggalakkan pelaksanaan projek pertanian secara berskala besar, komersial dan berteknologi tinggi.

Antara objektif utama program tersebut adalah untuk membangunkan usahawan yang berdaya maju dan mampu menjana pendapatan sekurang-kurangnya RM3,000 sebulan. – Roketkini.com