Berita

Sekolah vernakular bukan punca perpecahan kaum – M Kula

IPOH, 9 SEPT: Sistem pendidikan sekolah yang berbeza tidak menjadi halangan kepada perpaduan kaum negara ini malah telah terbukti, selepas 53 tahun Malaysia terbentuk, rakyat pelbagai kaum negara ini boleh bertoleransi antara satu sama lain.

Namun, ancaman kepada keharmonian ini tergugat berpunca daripada politik perkauman, dasar-dasar berat sebelah dan ucapan-ucapan yang mengapi-apikan perkauman.

Mengemukakan pandangannya, Naib Pengerusi DAP Kebangsaan M.Kulasegaran, berkata cadangan perlaksanaan sekolah satu aliran di negara ini kononnya untuk membasmi perkauman bukanlah perkara baru.

Beliau merujuk kepada pendirian yang diambil bekas ahli Majlis Penasihat Pendidikan Nasional Profesor Teo Kok Seong yang menyokong cadangan Bangsa Johor berhubung cadangan sekolah satu aliran di negeri itu.

Teo, dalam kenyataannya sebelum ini, berkata cadangan sekolah satu aliran itu merupakan langkah positif dalam mengukuhkan perpaduan rakyat.

“Pendidikan tidak membiakkan perkauman. Tak semestinya perpaduan itu hanya dapat difahami apabila anak-anak belajar bersama.

“Sejak awal lagi saya menyangkal pandangan beliau itu yang dilihat tidak betul dan tidak boleh diterima. Bagaimana dengan memansuhkan sekolah pelbagai aliran negara ini boleh menyelesaikan masalah perkauman sedangkan ia bukanlan punca?” soal Kula.

Ahli Parlimen Ipoh Barat itu menegaskan, yang menjadi punca keretakan dan perpecahan di kalangan rakyat adalah akibat dari dasar-dasar dan politik perkauman.

“Punca sebenar perpecahan dikalangan rakyat negara ini tak lain tak bukan adalah kerajaan BN sendiri.

“Kenapa Profesor Teo tidak menyatakan faktor-faktor ini yang sangat ketara menjadi punca perpecahan?” soalnya lagi.

Bagaimanapun, jika beliau tidak melihat dasar-dasar dan politik perkauman BN itu bukan faktor perpecahan, Kula mencadangkan supaya professor terbabit menjalankan tinjauan bebas dan beliau akan bertemu kebenarannya.

Selain itu, Kula turut mengingatkan bahawa hak untuk pendidikan dalam bahasa ibunda adalah dilindungi dan dipelihara oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Beliau perlu tahu pemansuhan sekolah aliran vernacular yang sebenarnya bukan menjadi punca perpecahan dan perkauman akan lebih menggalakkan perpecahan dalam negara,” ujar Kula. – Roketkini.com