Rencana

Jangan biar semangat sumbar itu menghina dirimu, mahasiswa


“Rudy, kamu harus jadi seperti mata air. Kalau kamu baik, pasti sekitarmu juga akan baik. Tapi kalau kamu kotor, pastinya disekelilingmu akan mati”, Alwi Abdul Jalil Habibie, filem Rudy Habibie (2016).

Rata-rata universiti awam sedang menerima kehadiran pelajar baru. Gerbang universiti kini kembali diwarnai oleh semangat baru, semangat yang gila dan luar biasa. Tetapi malang jika semangat yang gila ini gagal dipandukan ke landasan yang tulus.

Lebih malang lagi jika semangat ini dimajnunkan oleh pembesar universiti semata-mata untuk mengejar gelaran dan pangkat seperti Doktor, Prof. dan bermacam lagi gelaran pembesaran diri.

Dakyah orang besar-besar universiti di minggu orientasi sering menjadi racun yang akan mematikan nilai kesucian ilmu. Mereka berkempen kepada pelajar supaya segera menamatkan dan melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi hingga mendapat gelaran yang besar-besar.

Lebih jijik lagi apabila mereka berbangga-bangga mempromosi pakaian gelaran yang disarung mereka dihadapan sekalian pelajar. Maka fitrah pelajar sejak awal lagi dinanahkan dengan semangat hipokrit berkalungkan kebendaan.

Pendidikan menjadikan manusia bersikap luhur, membumi dan rendah diri. Pendidikan adalah tunas dan benih, maka selayaknya ia dibajai dengan semangat yang suci serta jauh dari tipu daya material. Pendidikan adalah penyembuh kepada sengsara masyarakat yang hidup dalam lembah hina kejahilan.

Ilmu adalah cinta yang tidak pernah terpuas. Ilmu seharusnya menjadikan manusia buas dan tak pernah cukup. Insan terdidik dan benar-benar memperhambakan diri kepada ilmu tidak akan terhijab dengan gelaran-gelaran yang meninggi diri pada zahir dan menghina diri jika tidak dihayati dengan jujur.

Pakaian orang berilmu itu bersulamkan semangat jiwa besar, prinsip hidup, nilai manusiawi, intergriti dan pelbagai lagi sikap yang membawa rahmat kepada alam. Maka sejak awal lagi bahtera kehidupan mahasiswa perlu dipasakkan dengan sikap kritikal, terbuka, analitikal, dan disedarkan akan bahaya bebalisme, pandirisme yang menjadi bongkah kecelakaan ditengah lautan universiti.

Zaman di universiti perlu diselimuti kegersangan untuk meneroka lautan ilmu dengan ikhlas. Dalam masa yang sama tanggungjawab terhadap masyarakat dan sikap prihatin tidak boleh dipinggirkan dan dipandang enteng. Tanggungjawab untuk memerdekakan masyarakat daripada jajahan kejahilan merupakan salah-satu daripada tanggungjawab utama mahasiswa. Mahasiswa tidak pantas hanya berbatu di kamar.

Mereka adalah jantung hati revolusi jiwa, revolusi mental. Justeru, syarahan sulung orang besar universiti sepatutnya melahirkan persoalan dan pilihan; adakah mereka mahu berdiri sebagai siswa yang mulia atau siswa yang hina ?

Mahasiswa tidak harus termakan dengan omong-omongan orang besar universiti dan termandul dengan ugutan undang-undang yang menumpulkan semangat. Mereka harus berani mempertahankan apa yang mereka percaya dengan cara yang cermat dan hikmah.

Singkapilah sejarah mahasiswa barat sekitar tahun 1960 yang bangun dan protes Perang Vietnam dan akhirnya terlahirlah beberapa protes di Georgia. Seterusnya diikuti pada akhir tahun 1960 dan awal 1970 memperlihatkan pelbagai demonstrasi anti-perang berlaku di Atlanta.

Sejarah di nusantara pula, sejak tahun 1908 lagi organisasi Boedi Oetomo -juga disebut Budi Utomo- telah dibangunkan oleh Dr. Wahidin Sudirohusodo dan mahasiswa School tot Opleiding van Indische Artsen (STOVIA) berpusat di Belanda dengan bermatlamatkan pendiskusian dan memperjuangkan nasionalisme bangsa Indonesia.

Mahasiswa indonesia terus menerus bangun memperjuangkan kepercayaan mereka hingga tercetus “Sumpah Pemuda” pada tanggal 28 Oktober 1928 dimana ikrar itu telah menjadikan seluruh pemuda di Indonesia mengakui bahwa hanya ada satu bangsa, satu tanah air, dan satu bahasa, yakni Indonesia. Mengapa mereka berani untuk bangun?

Kerana di dalam jiwa hati mereka terdapat pintu yang bernama pintu kemanusiaan, pintu keprihatinan, pintu perjuangan, pintu kesatuan dan pelbagai lagi pintu tulus yang membawa kepada perubahan. Jangan kita lupa bahawa perubahan itu tidak sesekali terhasil jika kita hanya berkhalwat bersama kitab di kamar. Perubahan butuhkan tindakan.

Perubahan dan tindakan yang agung dan tulen itu terpancar daripada kesedaran. Kesedaran yang tumbuh mekar daripada liang-liang hati manusia yang berjiwa besar. Akan tetapi malangnya, tindakan yang sering dizahirkan oleh mahasiswa selalunya berkait rapat dengan isu-isu yang dimainkan oleh parti politik. Usah bicara soal perjuangan, persatuan di universiti pun kadangkala hanya sekadar menjadi kambing hitam parti atau “jemaah” diluar kampus. Apakah mahasiswa terlalu lekeh dan lemah untuk berdiri sendiri dan menentukan hala tuju perjuangan mereka.

Mahasiswa tidak perlu menunggang isu yang dimainkan parti politik hanya sekadar memperlihatkan bahawa mereka ini progresif. Misalnya, jika benar mereka memperjuangkan kebebasan akademik, adakah diskusi kritikal telah disuburkan di taman ilmu mereka, di taman jiwa mereka ? Adakah mereka benar-benar berjiwa kritis atau sekadar bersikap hipotikal ?

Mahasiswa adalah kilauan cahaya gemerlapan yang menyinari kegelitaan gelapnya langit kehidupan. Hidupnya di universiti bukanlah untuk mencari gelaran. Jauh sekali mengejar perhatian. Tangungjawab mereka terlalu besar, melebihi besarnya bulan dan mentari. Pemikiran mereka harus luas, melebihi luas cakarawala yang tidak pernah terjangka keluasannya.

Tiangsari hidup mereka pula adalah ketekunan dan keseriusan berpaksikan kebenaran. Hadirnya mereka membawa manfaat kepada masyarakat. Itulah bancuhan dalam melahirkan mahasiswa yang baik daripada rahim universiti yang murni.

Kehidupan di universiti bagaikan hamparan sekanvas kesempatan untuk manusia melukis takdir perubahan. Omongan orang besar universiti jika benar difahami, kita akan dapati bahawa universiti hanya mengajar kita untuk menjadi orang besar, bukannya menjadi orang berjiwa besar.

Ayuh sepantas mungkin kita melupakan dakyah orang besar universiti, dan mula menyusun batu-bata pembaharuan bermula daripada diri kita sendiri. Jangan biar semangat sumbar itu menghina dirimu, mahasiswa !

Pesan Horace Mann: “Seek not greatness, but seek truth and you will find both.”

*Hafizol Hakami adalah Pelajar tahun 1 jurusan Arab Komunikasi untuk Antarabangsa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Beliau juga seorang Alumni Sekolah Demokrasi.