Berita

DAP gesa semua institusi kewangan di bawah pengawasan Bank Negara

KUALA LUMPUR, 11 SEP: Kerajaan UMNO digesa menghapuskan Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 (Pindaan 2001) yang membenarkan peminjam ‘along’ atau agensi selain bank konvensional beroperasi secara sah mengikut sistem perundangan tanpa diletakkan di bawah pengawasan Bank Negara Malaysia (BNM).

Pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaan Liew Chin Tong dalam satu kenyataan menjelaskan langkah seumpama itu perlu dilaksanakan demi memelihara sistem kewangan di negara ini daripada menghadapi risiko kebarangkalian runtuh secara sistemik.

“Perbankan bayangan (shadow banking), seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 perlu dibendung dan disekat.

“Semua institusi kewangan perlu diletakkan di bawah pengawasan ketat BNM,” katanya.

Menurut Chin Tong, kerajaan perlu batalkan kuasa sedia ada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam mengeluarkan lesen kepada pemberi pinjaman bagi mengelakkan rakyat terpaksa membayar kadar faedah yang tinggi daripada kadar faedah biasa yang ditetapkan terhadap satu-satu pinjaman (subprime).

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar untuk membenarkan pemaju perumahan memberikan pinjaman kepada pembeli.

Bagaimanapun, cadangan itu ditentang Menteri Kewangan Kedua Datuk Johari Abdul Ghani yang menyifatkan ia sebagai ‘mengarut’.

Menurut Johari, jika pembeli rumah gagal untuk mendapatkan pinjaman dari bank konvensional dengan kadar faedah biasa antara empat dan enam peratus, mereka terpaksa meminjam kepada pemaju yang menawarkan kadar faedah lebih tinggi iaitu antara 12 dan 18 peratus.

Cadangan itu turut disambut hambar Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah yang enggan mengulas mengenai perkara itu ketika ditanya mengenainya oleh pemberita.

Sehubungan itu, Chin Tong yang juga Ahli Parlimen Kluang menyeru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak secara rasmi menghentikan cadangan yang dibawa Noh Omar itu dan sekaligus menghapuskan Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 dalam sidang Parlimen yang dijangka berlangsung Oktober depan.

“(Kerajaan juga perlu) memindahkan semua kuasa berkaitan perbankan bayangan yang sekarang ini berada di bawah Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan kepada Bank Negara,” katanya.

Perbankan bayangan adalah istilah yang digunakan bagi agensi kewangan yang beroperasi di luar sistem perbankan konvensional yang diletakkan di bawah pengawasan BNM. – Roketkini.com