Berita

Paralimpik Rio: DAP cadang usul tahniah dan penghargaan kepada 3 wira emas negara

KUALA LUMPUR, 13 SEP: Sebagai penghargaan terhadap wira negara yang merangkul pingat emas di Sukan Paralimpik Rio de Janeiro, DAP mencadangkan satu usul tahniah dan penghargaan di Dewan Rakyat.

Pengiktirafan ini kata Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan Anthony Loke Siew Fook perlu diberi memandangkan cabaran getir yang telah ditempuhi atlet negara yang memerlukan usaha dan kesabaran yang berlipat ganda berbanding atlet-atlet biasa.

“DAP merakamkan setinggi-tinggi tahniah terhadap 3 wira negara iaitu Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, Muhammad Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly yang berjaya merangkul 3 pingat emas sekaligus dalam acara masing-masing di temasya Paralimpik Rio de Janeiro.

“Bagi pihak DAP, saya akan mencadangkan usul tahniah dan penghargaan kepada semua wira negara yang mengharumkan nama negara di temasya Paralimpik dan Olimpik Rio 2016 di permulaan Persidangan Dewan Rakyat yang akan bermula pada 17 Oktober depan,” kata beliau.

Menurutnya, jika Parlimen Singapura boleh meluluskan usul tahniah sebagai pengiktirafan terhadap pemenang pingat emas pertama mereka Joseph Schooling, tidak ada sebab mengapa Parlimen Malaysia tidak boleh menerima usul tersebut untuk dibahas dan diluluskan secara sebulat suara.

Ahli Parlimen Seremban itu menjelaskan, ia bertujuan untuk menunjukkan kepada rakyat Malaysia dan dunia bahawa sukan boleh menjadi penggerak perpaduan nasional yang merentasi perbezaan politik, kaum, agama dan wilayah.

Anthony berkata, kejayaan merangkul pingat emas, apatah lagi memecahkan rekod dunia untuk acara lontar peluru F20 bagi Muhamad Ziyad Zolkefli dan acara lompat jauh T20 bagi Abdul Latif Romly merupakan pencapaian yang cukup mengharumkan nama negara dan membanggakan rakyat Malaysia.

“Memandangkan 3 wira tersebut telah mencipta sejarah memenangi pingat emas di temasya Paralimpik buat kali pertama untuk Malaysia, mereka wajar diberikan pengiktirafan tertinggi negara melalui institusi Parlimen selain daripada ganjaran kewangan dari kerajaan,” ujar beliau.

Dalam perkara yang sama, Anthony menyatakan sokongan penuhnya terhadap dasar Kementerian Belia dan Sukan untuk memberikan ganjaran yang setimpal dengan atlet-atlet Olimpik kepada pemenang-pemenang di Paralimpik.

Beliau turut berpandangan, ketiga-tiga wira Paralimpik yang merangkul pingat emas untuk Malaysia itu juga wajar diberikan ganjaran RM1 juta setiap orang.

“Malah, saya ingin mencadangkan kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin supaya mendapatkan kelulusan dari Kabinet untuk memberikan insentif khas kepada atlet-atlet yang memecahkan rekod dunia,” ujar Anthony. –Roketkini.com