Rencana

Solidariti buat Penggerak Mogok Lapar Palestin, Mahmoud Al-Balboul

Mahmoud Al-Balboul (21), seorang tahanan politik Palestin dan ahli Gerakan Belia Fatah dari Bethlehem, telah dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana mengalami komplikasi kesihatan yang kronik setelah 67 hari melakukan mogok kelaparan sejak 1 Julai 2016. Abangnya, Mohammad Al-Balboul, 26, dan Malek Qadi juga menyertai Mahmoud pada 4 Julai 2016.

Kesihatan Mahmoud telah merosot secara mendadak apabila dia mula lesu, kehilangan sehingga 30 kilogram dan mengalami masalah pertuturan. Walaupun ramai ahli perubatan telah memberi amaran kepada beliau tentang risiko lumpuh, laporan menyatakan bahawa Mahmoud berdegil dan enggan untuk menerima sebarang makanan, melainkan air.

Adik-beradik Balboul, yang telah ditahan pada 9 Jun dan dijatuhkan hukuman penjara selama 6 bulan sebagai tahanan politik, telah mengisytiharkan mogok kelaparan pada bulan Julai untuk tujuan memprotes polisi Israel.

Penahanan Pentadbiran telah membenarkan pihak berkuasa Israel untuk menahan aktivis politik tanpa sebarang perbicaraan, yang berdasarkan bukti-bukti yang tidak diisytiharkan kepada umum dan tanpa menikmati akses kepada hak diwakili peguam. Hal yang demikian sudah jelas salah disisi undang-undang antarabangsa dan ia sama sekali melanggar hak asasi manusia.

Kami menuntut pihak berkuasa Israel untuk bertanggungjawab terhadap nyawa adik-beradik Al-Balboul, dan Malek Qadi, serta kesemua tahanan politik Palestin. Kami menjemput dan mengalu-alukan sokongan anda semua untuk memberi tekanan kepada Israel untuk menggugurkan polisi Tahanan Pentadbiran itu. Kami juga menuntut pembebasan serta-merta kesemua tahanan politik Palestin.

Tindakan agresif yang tiada penghujung ini wujud selari dengan kekejaman dan ketidakstabilan yang bukan sahaja terjadi di Palestin dan tanah Arab, tetapi juga merentasi glob. Ini adalah waktu yang paling penting untuk kita bersuara menentang pendudukan haram, diskriminasi, kekejaman, keganasan dan apartid, dan mengambil tindakan konkrit yang membawa kita lebih dekat kepada hari-hari di mana kebebasan dan keadilan akan wujud di Palestin dan di seluruh dunia.

Pencabulan hak asasi yang sama boleh kelihatan sepertimana yang berlaku di Malaysia; selain SOSMA, terdapat tiga lagi akta zalim yang membenarkan penahanan tanpa perbicaraan iaitu Akta Pencegahan Jenayah (POCA), Akta Pencegahan Jenayah (POTA) dan Akta Dadah Berbahaya (Langkah Pencegahan Khas) 1985 (DDA). Sebagai penjelasan, Poca memperuntukkan reman 38 hari dan perintah tahanan dua tahun, Pota pula memperuntukkan 59 hari reman dan perintah tahanan dua tahun, manakala Akta Dadah Berbahaya pula boleh mengenakan tahanan 60 hari dan tahanan dua tahun.

Pemerintahan zalim seperti ini adalah sesuatu yang perlu kita semua tentang habis-habisan kerana ia berkemungkinan digunakan sebagai satu senjata untuk menumbangkan sesetengah individu, dan lebih teruk lagi, digunakan untuk mencapai matlamat politik pihak-pihak tertentu.

Resolusi ini telah diluluskan oleh Presiden International Union of Socialist Youth (IUSY), yang dipengerusikan oleh presidennya, Howard Lee, merangkap Setiausaha Antarabangsa DAPSY Malaysia dan ADUN DAP. – Roketkini.com