Rencana

Persempadanan dilakukan SPR demi kekalkan kuasa BN

Pakatan Harapan Johor menjemput semua pengundi di kawasan-kawasan yang terlibat dalam persempadanan terbaru untuk membantah cadangan-cadangan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dengan representasi.

Pada masa yang sama, Pakatan Harapan Johor menyeru seluruh Bangsa Johor dan rakyat Malaysia bangkit dan menolak persempadanan ini yang cukup nyata bahawa ini hanya untuk mengekalkan kuasa pemerintahan Barisan Nasional.

Adalah jelas sekali bahawa SPR beroperasi dengan mengikut unjuran bahawa majoriti pengundi Melayu akan terus menyokong Barisan Nasional, maka dengan persempadanan kali ini mereka mengharap parti-parti Pakatan Harapan akan tumbang di semua kawasan berbilang kaum dan akan hanya kekal di kawasan-kawasan majoriti bukan Melayu.

Kami ingin mengingatkan SPR dan Barisan Nasional bahawa Bangsa Johor dan rakyat Malaysia sudah cerdik dan memiliki kesedaran politik yang tinggi. Mereka memahami konspirasi SPR dan Barisan Nasional dan akhirnya akan bangkit menumbangkan BN di peti-peti undi dalam gelombang politik yang akan datang.

Peranan SPR amat dikesali. Seharusnya tugas utama SPR adalah untuk memastikan badan itu berintegriti, adil dan telus dalam mengurus sistem pilihanraya negara kita.

Sebagai contoh, dalam persempadanan kali ini, Kawasan Parlimen Gelang Patah adalah kawasan yang paling ramai pengundi, iaitu 112,081, dan kawasan Skudai adalah DUN dengan paling ramai pengundi, iaitu 69,132.

DUN Bukit Kepong (nama lama Bukit Serampang) adalah DUN dengan pengundi yang paling rendah (15,795) dan kawasan Parlimen Pagoh hanya mempunyai 36,387 pengundi, berkurangan dari 46,793 pada 2013, iaitu sebanyak 22.24%.

Persempadanan kawasan Pagoh sememangnya bemotif politik. Difahamkan bahawa Pagoh mempunyai sekitar 20,000 ahli UMNO. Dengan mengurangkan pengundi di kawasan ini, UMNO harap karier politik Tan Sri Muhyiddin Yassin akan berakhir di Parlimen ini.

Ironisnya ialah, sebanyak 14 kerusi DUN mempunyai pengundi yang lebih ramai dari kawasan Parlimen Pagoh adalah seperti berikut:~

N. 48 Skudai 69,132
N. 42 Johor Jaya 59,041
N. 46 Perling 55,810
N. 44 Larkin 53,325
N. 40 Tiram 50,639
N. 43 Permas 49,115
N. 41 Puteri Wangsa 48,953
N. 23 Penggaram 45,749
N. 45 Stulang 45,026
N. 28 Mengkibol 44,506
N. 52 Senai 44,023
N. 29 Mahkota 43,706
N. 49 Iskandar Puteri 42,949
N. 47 Kempas 40,170

Jumlah pengundi di kawasan DUN Skudai (69,132 pengundi) melebihi 16 kerusi Parlimen di Johor seperti berikut:~
P. 147 Parit Sulong 56,851
P. 164 Pontian 52,660
P. 165 Tanjung Piai 50,215
P. 140 Segamat 48,681
P. 146 Muar 46,083
P. 149 Sri Gading 45,451
P. 154 Mersing 44,985
P.148 Ayer Hitam 42,962
P. 156 Kota Tinggi 42,861
P. 141 Sekijang 41,896
P. 153 Sembrong 41,629
P. 151 Simpang Renggam 41,052
P. 155 Tenggara 40,670
P. 157 Pengerang 38,338
P. 142 Labis 37,568
P. 143 Pagoh 36,387

Rakyat di kawasan terlibat diberikan tempoh sebulan untuk membuat bantahan dari tarikh notis 15hb September 2016.

Pakatan Harapan Johor meminta penglibatan rakyat secara besar-besaran dalam proses ini untuk memastikan integriti sistem pilihanraya dan hak rakyat untuk menentukan masa depan negara terjamin.

Pakatan Harapan Johor juga memberi sokongan sepenuhnya kepada gerakan BERSIH yang telah menetapkan tarikh 19hb November 2016 sebagai hari untuk Himpunan BERSIH 5.

Persempadanan kali ini mengingatkan kita semua bahawa Barisan Nasional tidak bersedia untuk menerima demokrasi yang adil tetapi hanya ingin mengekalkan kuasa dengan memanipulasi sistem dan institusi negara. – Roketkini.com