Rencana

Hayatilah Konsep Rukun Negara

 

Saya selaku rakyat Malaysia yang berpegang kepada Rukun Negara kita, ingin mengingatkan kembali Rukun Negara kita yang ke-lima: Kesopanan dan Kesusilaan.

Pada bulan ini sahaja,kita sudah melihat kebiadaban ISMA mencetuskan sentimen perkauman lalu menyerang secara peribadi kepada DAP dan Jeff Ooi yang dikatakan mencetuskan amarah orang ramai yang beragama Islam. Belum lagi dikisahkan mengenai kematian mendiang Karpal Singh yang disindir oleh Zulkifli Nordin dan orang Islam sendiri kebanyakan meraikan. Bukankah ini perbuatan yang tidak ada sopan?

Bukan sahaja perkataan yang mengguris hati orang ramai,tapi perbuatan itu sendiri juga boleh menjadi dendam kepada segelintir masyarakat. Belum lagi menyentuh perkataan kurang ajar/berlaku biadap ketika netizen Malaysia apabila menyentuh sesuatu isu politik dalam negara tercinta ini.Betapa hipokritnya kita mengangkat ikrar kononnya berjiwa Malaysia tetapi tidak menghayati untuk mencapai keharmonian dalam negara bermasyarakat majmuk ini.Maka, jelaslah, kita sebagai rakyat Malaysia, kebanyakan masih tidak memahami konsep rukun negara yang kelima ini.

Walaupun rukun negara ini diletakkan sebagai pengakhiran,tapi ini adalah satu simbolik besar bagi kita semua. Rukun Negara yang kelima ini menyatakan bahawa sifat individu yang bersopan santun dan bersusila adalah paling bermakna dan amat penting dalam konteks perhubungan antara satu sama lain dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Sikap bersopan santun dan bersusila patut diamalkan bagi membentuk seseorang individu dan masyarakat yang berdisiplin serta bermoral tinggi yang akan membantu mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni. Tatasusila ini membenci dan mengutuk tingkah laku atau perbuatan yang angkuh atau menyinggung perasaan seseorang atau sesuatu golongan.

Tingkah laku sopan juga mengandungi suatu darjah kesusilaan yang tinggi dalam kedua-dua kehidupan persendirian dan kehidupan bernegara. Prinsip ini menjadi panduan supaya perilaku masyarakat sentiasa terpelihara dan berkembang sesuai dengan keperibadian bangsa dan nilai-nilai murni.

Namun,apakah yang mengecewakan saya ialah apabila individu hilang rasa sopan kerana pertentangan ideologi politik dan perkauman. Rukun Negara ini dihasilkan untuk mengukuhkan perpaduan antara kaum dan agama. Persaingan yang sihat,maksud saya, perdebatan idea tanpa berhujah yang mengeluarkan perkataan kesat kepada pihak lawan. Bagaimana kita mahu mencapai Wawasan 2020 sekiranya kita tidak bertoleransi antara perbezaan idea,kaum dan agama?Kita seharusnya peka dengan sensitiviti yang berada di sekeliling kita selagi tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Jadi,apakah peranan kita untuk mengatasi hal yang sedemikian boleh menyinggung perasaan sesetengah atau kebanyakan manusia?

Pertama sekali,saya menyeru mana-mana pucuk pimpinan parti atau organisasi menunjukkan contoh tauladan yang baik kepada ahli-ahlinya.Hal ini demikian pemimpin tersebut dijadikan sebagai role-model kepada ahli atau orang yang disanjung oleh mereka. ISMA misalannya, seharusnya mengamalkan pimpinan terbuka dan bukan bersikap perkauman. Apabila pucuk pimpinan menyerang DAP, tidak mustahil ahli ISMA juga menyerang DAP seperti baru-baru ini mengenai isu paralimpik dan Red Bean Army.

Bukankah agama Islam itu penuh dengan kasih sayang yang menjadi contoh terbaik kepada seluruh manusia dan Melayu itu kaya dengan adab kesopanannya? ISMA sepatutnya meneladani secara lebih dalam apa itu maksud Islam dan Melayu. DAP juga harus mengajar wakil rakyat mereka yang bersikap perkauman. Kononnya menyatakan konsep kebebasan, keadilan dan solidariti namun masih memperlekehkan usaha orang Melayu dan menghina orang Melayu.

Perkara ini yang saya tidak gemar sekali. Tidak memahami psikologi Melayu itu sudah satu hal, mencabar kemelayuan dah hal lain.Namun, sekurang-kurangnya,pemimpin DAP sendiri mengambil tindakan dan menyelar pihak yang tidak bertanggungjawab dalam DAP. Sekurang-kurangnya, DAP menurunkan sifat ego untuk mencapai perpaduan rakyat dalam negara ini. Inilah perbezaan ketara antara DAP dengan ISMA. DAP menghormati ruang demokrasi pimpinan dan memahami konsep kesopanan dan kesusilaan.

Kedua, saya menyarankan pihak berwajib terutama sekali pihak pendidikan menekan sifat kesopanan dan kesusilaan dalam kalangan pelajar. Saya percaya, mendidik nilai-nilai murni secara praktikalnya mendorong anak kecil berkelakuan baik sehingga hujung nyawa.Perkara ini harus juga didorong oleh ibu bapa atau penjaga untuk memupuk anak-anak adab sopan. Melentur buluh biar dari rebungnya. Maka, tidak dinafikan toleransi anak-anak kecil dengan rakan yang berlainan bangsa dan agama ini mampu diraikan. Kita tidak mahu melahirkan anak-anak yang terikat dengan kebencian seperti yang kita hadapi sekarang ini. Kita juga tidak mahu anak-anak mengikut perkara yang melanggar adab kesopanan kita.Kelak, sekiranya anak kita terlibat dalam dunia politik, kita tidak mahu anak kita ‘mengotorkan’ mulut dan tangannya ketika mendepani pihak lawan dan rakyat.

Akhir sekali, saya ingin tekankan mengenai politik,iaitu etika politik.Saya juga menyeru mana-mana wakil rakyat mahupun ahli politik, memahami sepenuhnya etika politik.Kesopanan dan kesusilaan juga tidak terhad kepada aspek sosial,tetapi ia juga merangkumi dalam politik. Etika politik ini lebih kepada tindakan dan penilaian yang baik dan buruk dalam sesuatu politik. Saya ambil contoh mengenai isu politik wang. Bagi UMNO,ini perkara biasa dan diterima oleh rakyat,namun rakyat dan agensi pencegah rasuah menjustifikasikan bahawa politik wang adalah suatu tindakan berbentuk rasuah. Saya juga menyarankan bahawa Pengerusi Kumpulan Baju Merah mendalami etika politik. Saya terkejut bahawa kumpulan ini masih bertindak liar tanpa memikirkan kesopanan mereka dalam politik. Saya,sebagai orang Malaysia,yang berdarah Melayu, malu apabila tindakan beliau melakukan senaman punggung tanpa sebab di hadapan rumah Datuk S Ambiga empat tahun lalu.

Natijahnya, mulut dan tindakan yang penuh biadab boleh mengundang rasa tidak hormat orang awam kepada pelaku. Bermatanglah ketika berpolitik dan jaga lah tutur kata supaya tidak mengguris hati dan perasaan orang lain. Saya masih percaya,bahawa negara ini masih ada cahaya sekiranya kita menekankan konsep Kesopanan dan Kesusilaan dalam Rukun Negara. – Roketkini.com

*Melayu UBAH ialah alumni Sekolah Demokrasi.