Budaya

Mengenali Thirukkural – Bahagian 4

Dalam budaya India, kehidupan seorang individu – lelaki atau wanita – dianggap sempurna hanya selepas berkahwin, dan mempunyai anak.

Anak-anak dilihat sebagai kurniaan yang amat bernilai. Maka, Thiruvalluvar sendiri memperuntukkan 10 kural dalam Thirukkural khusus untuk membicarakan tentang kelebihan mempunyai anak.

Menurut Thiruvalluvar dalam Kural 61, beliau tidak melihat apa-apa rahmat atau kurniaan yang lebih besar atau lebih tinggi nilainya bagi seseorang berbanding dikurniakan anak-anak yang berbudi pekerti dan bakal menimba ilmu yang berguna.

Tentu sahaja menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk menjaga, melindungi dan membesarkan anak-anak.

Dan apabila anak-anak itu membesar menjadi insan yang bermoral, beretika dan terlepas daripada sebarang sifat negatif, maka ibu bapa dikatakan akan terlepas daripada segala seksaan bagi tujuh kelahiran.

Maksud Kural 62 di atas perlu juga disandarkan kepada pemahaman hukum karma dan tujuh kelahiran di muka bumi dalam tradisi India sejak lebih 5,000 tahun dahulu.

Perlu ditegaskan sekali lagi bahawa segala ajaran moral dalam Thirukkural bukan berciri keagamaan, walaupun konsep karma lazimnya dikaitkan dengan ajaran Hindu dan Buddha.

Sekiranya diperhatikan pada realiti, semua ajaran agama utama di dunia menyentuh mengenai hukum-hukum ini, sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Ada budaya dan agama yang mengajar bahawa doa anak-anak yang soleh akan membawa pahala kepada ibu bapa. Dalam budaya India pula, pahala dan dosa ibu bapa dikatakan akan ditanggung oleh anak-anak.

Walau bagaimanapun, seperti diingatkan sekali lagi menerusi Kural 63, anak-anak merupakan harta dan kekayaan yang dimiliki oleh ibu bapa. Hal ini demikian kerana segala perbuatan baik dan dharma yang dilakukan oleh anak-anak akan membawakan kebaikan kepada ibu bapa.

Ada beberapa kural yang memperkatakan mengenai anak-anak kecil. Misalnya, dalam Kural 64, digambarkan bagaimana bubur atau nasi yang digaul dengan tangan si anak, apabila dimakan oleh ibu bapa, maka makanan itu lebih nikmat berbanding madu kayangan (amirtham).

Perkara ini tentu dapat kita rasai dalam kehidupan seharian. Misalnya, anak-anak kecil menyuapkan nasi putih ke mulut ibu bapa. Kasih sayang yang dikongsi menjadikan nasi itu terasa begitu sedap dan penuh nikmat.

Bab 7 dalam Thirukkural memperkatakan mengenai anak-anak dan peranan mereka kepada ibu bapa. Mungkin pembaca yang sudah berkeluarga, atau mereka yang ada anak-anak saudara, akan lebih memahami kedalaman maksud yang terkandung dalam 10 kural ini.

Pelukan, sentuhan dan ciuman yang diberikan kepada anak-anak tersayang memberikan semacam nikmat kepada ibu bapa. Nikmat inilah yang disebut dalam Kural 65.

Selain daripada terhibur melihat gelagat anak-anak, ibu bapa juga biasanya akan terasa amat gembira mendengar suara dan percakapan anak-anak kecil, khususnya anak-anak yang baru mula bercakap.

Mungkin juga ada pihak yang memandang sipi pandangan Thiruvalluvar. Kononnya, apalah yang seronok, istimewa dan nikmat dalam meluangkan masa bersama anak-anak kecil.

Kural 66 boleh memberikan jawapan yang pasti dipersetujui dan disepakati mana-mana ibu bapa yang menyayangi anak-anak.

Seseorang yang tidak pernah berpeluang – atau tidak pernah meluangkan masa – mendengar suara percakapan anak kecil, tidak akan menyedari betapa merdu suara itu.

Bagi orang seperti itu, mereka mungkin akan mengatakan bunyi yang lahir daripada sebatang serunai atau muzik daripada kecapi adalah begitu merdu dan penuh nikmat.

Akan tetapi, bagi ibu bapa yang sudah berpeluang mendengar suara, percakapan atau bebelan anak kecil (bayi), maka mereka akan sedar bahawa bunyi itu jauh lebih merdu daripada mana-mana alat muzik.

Tentu sahaja peranan anak-anak bukan setakat menyumbangkan dharma dan memberikan kebahagiaan kepada ibu bapa. Tetapi ia merupakan perkara asas yang perlu diberikan perhatian.

Khususnya dalam situasi masa kini di mana kita mendengar pelbagai berita mengenai peristiwa penderaan anak-anak oleh ibu bapa kandung, serta kes pembuangan bayi.

Dalam hal ini, perlu dilihat juga perihal tugas dan tanggungjawab ibu bapa kepada anak-anak. Setiap anak memiliki hak asasi manusia, dan seharusnya ibu bapa berperanan memastikan hak-hak itu dilindungi sepenuhnya.

Menurut Kural 67, tanggungjawab seorang bapa adalah memberikan peluang pendidikan kepada anaknya, sehingga anak itu akhirnya mampu berdiri dalam majlis orang berilmu.

Dua perkara perlu dijelaskan di sini. Dalam budaya tradisi India – lebih 2,500 tahun dahulu – peranan si bapa disebut. Dalam konteks semasa, tentulah peranan itu turut dipikul si ibu.

Majlis orang berilmu yang dimaksudkan tidak semestinya merujuk kepada golongan pakar bidang seperti profesor di universiti atau kerajaan. Sebaliknya, mana-mana bidang ilmu yang sesuai, kerana setiap individu memiliki bakat dan kelebihan tersendiri.

Hasil daripada perkara yang dinyatakan dalam kural di atas bukan untuk membawa kebahagiaan, kegembiraan dan kemegahan kepada ibu bapa. Harapan setiap ibu bapa adalah agar anak-anak mereka menjadi lebih berilmu dan lebih terpelajar berbanding diri mereka.

Seperti dinyatakan dalam Kural 68, impian ibu bapa adalah agar ilmu pengetahuan yang dimiliki anak-anak bukan hanya membawa kebaikan kepada diri dan keluarga.

Lebih penting daripada itu, ilmu berkenaan perlu membawa kebaikan dan kemakmuran kepada seluruh dunia. Kural ini selaras ajaran budaya India dan agama Hindu yang mewajibkan perbuatan dan doa yang baik-baik demi kesejahteraan seluruh alam.

Seterusnya, Kural 69 secara khusus menyentuh mengenai golongan wanita. Si ibu pasti berasa amat gembira pada saat selamat melahirkan seorang bayi. Kegembiraan yang berlipat kali ganda akan dirasainya pada saat mendapat perkhabaran bahawa anaknya sudah membesar menjadi seorang yang berilmu, berbudi pekerti, dan berjasa.

Sumbangan terbesar seorang anak kepada ibu bapa adalah apabila orang ramai berkata, “Betapa bertuah ibu bapa ini kerana mempunyai seorang anak seperti ini!” seperti dirumuskan dalam Kural 70. – Roketkini.com

* Uthaya Sankar SB menulis artikel ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Yangon, Myanmar.