Berita

Datuk Bandar mesti buktikan caj parkir baru dapat sokongan warga kota

KUALA LUMPUR, 23 SEP: DAP mendesak Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abdul Aziz menjalankan satu kaji selidik secara bebas dan profesional bagi membuktikan kenaikan kadar caj tempat letak kereta di sini mendapat sokongan warga ibu kota.

Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok berkata tindakan itu wajar memandangkan kenyataan Amin semalam kononnya orang awam menyokong caj baru itu, dibuat tanpa sebarang fakta atau bukti kukuh.

“Beliau sepatutnya menyediakan butiran lengkap seperti berapa ramai penduduk yang ditemuramah serta berapa ramai di antara mereka yang menyokong.

“Sebagai ahli parlimen di Kuala Lumpur, saya percaya dan tahu bahawa orang ramai tidak menyokong kedua-dua langkah baru yang dilaksanakan oleh DBKL,” jelasnya dalam satu kenyataan.

DBKL baru-baru ini menguatkuasakan kadar caj tempat letak kereta baru yang menyaksikan kenaikan mendadak sebanyak 150 peratus.

Pada masa sama, Kementerian Wilayah Persekutuan turut menswastakan kutipan caj tempat letak kereta berkenaan kepada syarikat perkhidmatan parkir, Vista Summerose Sdn. Bhd yang didakwa ramai akan hanya menguntungkan kroni Barisan Nasional dan merugikan DBKL.

Menurut Teresa yang juga Ahli Parlimen Seputeh itu, langkah yang diambil kerajaan bagi mengurangkan kesesakan dalam bandar haruslah berkesan, praktikal, adil, munasabah serta tidak membebankan rakyat.

“Menaikkan kadar caj tempat letak kereta bukanlah penyelesaian terbaik kepada masalah yang ada pada hari ini.

“Sungguh tak adil apabila orang awam dipaksa membayar lebih, sedangkan kerajaan yang gagal menyediakan tempat letak kereta yang cukup dan sistem pengangkutan awam yang lebih baik,” tegasnya. – Roketkini.com