Berita

Kian serasi dengan UMNO, PAS khianati prinsip almarhum Tuan Guru Nik Aziz

RAUB, 23 SEPT: Tindakan pemimpin PAS yang semakin serasi dan mesra UMNO memperlihatkan sikap sebenar sebahagian besar pemimpin utamanya seolah-olah tidak peduli terhadap penyelewengan dan rasuah UMNO yang telah menjejaskan rakyat dan negara ini.

Sikap yang ditonjolkan pemimpin PAS itu kata Ahli Parlimen Raub Datuk Mohd Ariff Sabri jelas semakin ketara selepas pemergian Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat.

“Perubahan sikap mereka sebetulnya, mendedahkan bahawa inisiaitif bertahaluf siyasi (kerjasama politik) dengan DAP yang dahulu dilakukan oleh allahyarham Tuan Guru Nik Aziz adalah salah,” katanya kepada Roketkini.

Malah, sikap dan kebencian yang ditonjolkan pemimpin PAS terhadap DAP pada saat ini juga seolah-olah cuba untuk menunjukkan bahawa Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz telah melakukan kesilapan fundamental politik.

“Bukankah dahulunya, bekerjasama dengan DAP yang tetap sama seperti hari ini dijustifikasikan sebagai tahaluf siyasi?

“Namun jelas, dengan sikap pemimpin PAS hari ini, konsep dan prinsip tahaluf siyasi yang diperjuangkan Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz malah di sokong oleh beberapa pemimpin PAS yang berotoriti seperti ustaz Tuan Ibrahim, seolah-olah satu kesalahan besar? Adakah mereka (PAS) cuba mengatakan konsep tahaluf siyasi yang mereka pegang sebelum ini adalah konsep yang palsu?” soalnya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Pahang berkata ‘jalinan mesra’ PAS dengan UMNO dapat dilihat jelas apabila parti tersebut senada dengan musuh tradisinya itu yang tidak pernah berhenti memburuk-burukkan DAP dengan pelbagai kempen fitnah.

Lebih menyedihkan, PAS juga terperangkap dalam hegemoni perkauman dan agama dengan terikut rentak UMNO menuduh ‘DAP anti-Islam’, ‘anti-Melayu’, ‘anti-raja’ dan sebagainya, sedangkan segala tomahan ke atas DAP selama ini adalah tidak berasas ujar beliau.

Menurutnya, semakin DAP difitnah, semakin ramai kaum Melayu mendekati dan melihat DAP sebagai salah satu alternatif terbaik untuk aktif berpolitik dan berkhidmat kepada masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

“DAP 10 tahun dahulu, tetap seperti DAP sekarang. Personaliti berubah, tetapi dasar-dasar perjuangan tetap serupa.

“DAP berjuang untuk menubuhkan kerajaan yang demokratik, berperlembagaan dan adil untuk semua rakyat Malaysia, sentiasa menyebelahi mereka yang kerdil, tidak berkuasa, yang ditindas dan melindungi mereka yang dibuasi,” katanya.

Beliau berpandangan, perkembagan sikap PAS ini membuktikan parti itu sudah melupakan beberapa prinsip yang lebih asas yang mendasari sikap dan perwatakan politik.

“Benar, PAS kata mereka berjuang atas dasar dan prinsip Islam. Apakah prinsip-prinsip ini? Antaranya ialah setiakawan, saling boleh mempercayai, menjadikan diri boleh dipercayai, dan tahaluf siyasi itu sendiri.

“Sekarang, walaupun PAS tetap berkata bahawa asas mereka ialah berlandaskan agama namun, pada pandangan rakan-rakan seperjuangan yang lain, PAS sendiri telah menunjukkan mereka adalah sebuah parti yang tidak boleh dipercayai,” kata Ariff.

Akibat sikap PAS ini, ia hanya akan memberi kelebihan kepada UMNO dan Najib Razak untuk mendapat lebih sokongan.

“Najib sebetulnya tidak perlu membayar setiap pengundi untuk menang sokongan. Cukuplah dengan membeli beberapa pemimpin sahaja dan pengikut-pengikut, mereka sudah berada dalam tangan Najib,” tegasnya. – Roketkini.com