Budaya

AKAR: Pengenalan siri sejarah komuniti Malaysia

Siri ini adalah satu inisiatif pembelajaran bersama (mutual learning), dimana penulis berkongsi dan merumuskan bahan bacaan yang dikhatam. Selain dapat memberi motivasi kepada penulis untuk membaca lambakan buku mengenai topik ini yang telah lama diabaikan, proses penulisan membolehkan isi bacaan dimanfaatkan kepada orang ramai yang mungkin terlalu sibuk untuk membelek bahan bacaan mengenai sejarah komuniti-komuniti Malaysia.

Siri ini mengajak kita menziarahi sejarah komuniti-komuniti di Malaysia. Mengapa? Untuk menjawab soalan ini, kita menyemak kembali erti “sejarah” dan “komuniti”.

Peri penting sejarah dan fungsinya

Apa erti “sejarah”? Adakah ia hanya melibatkan tarikh, tokoh, dan peristiwa penting? Bagaimana dan siapakah yang menentukan apa yang cukup “penting” untuk bergelar sejarah, dan apa yang tidak? Sekian lama sejarah adalah wahyu dari atas. Maknanya, sejarah adalah rekod dan hikayat yang ditulis para cendekiawan yang berkhidmat untuk raja dan bangsawan. Di Tanah Melayu (kini Malaysia), sejarah sebelum kurun ke-20 adalah sejarah golongan atasan, sejarah elitis. Khoo Kay Kim menulis dalam bukunya, The Malay Society, “Malay historiography up to the end of the 19th century was very much elitist in conception and political in tone. It was istana- or palace-oriented and often written upon the titah or command of the ruler”.

Ada juga yang berkata, history is written by the victors. Walaupun sedap bunyinya, kenyataan ini bermasalah apabila diperincikan. Puak yang menang tidak boleh mencipta sejarah sewenang-wenangnya. Sesuatu fakta perlu berada di situ, dan fakta tidak boleh dinyahkan walaupun situasi telah berubah. Contohnya, pertukaran kerajaan negeri Pulau Pinang pada tahun 2008 tidak mengubah hakikat bahawa Gerakan telah mentadbir negeri tersebut selama empat dekad sebelum 2008.

Ada sesuatu yang tidak boleh diubah, tapi ada juga yang boleh diubah. Contohnya, naratif sejarah. Sesuatu peristiwa boleh mempunyai berbagai-bagai naratif. Apabila sesuatu pihak mempunyai kuasa, naratifnya menjadi naratif dominan. Itulah sebenarnya yang dimaksudkan dengan kenyataan “History is written by victors”, dan juga dikongsi oleh Marx dalam The German Ideology, “The ideas of the ruling class are in every epoch the ruling ideas, i.e. the class which is the ruling material force of society, is at the same time its ruling intellectual force.”

Akan tetapi, naratif dominan belum tentu benar. Antara pelbagai naratif, mana satu yang benar? Bagaimana kita menentukannya?

Antara fakta dan pemilihan, di situlah sejarawan berdiri. Sejarawan tidak boleh menafikan proses pemilihan (selection of facts) dan fokus serta sudut kajiannya. Sejarawan juga tidak boleh mencipta sejarah daripada khabar angin dan sumber yang tidak berasas. Di pertengahan itulah sejarah. Kita melihat pandangan beberapa tokoh sejarah mengenai hujah ini.

Mengikut Edward H.Carr, “The function of the historian is neither to love the past nor to emancipate himself from the past, but to master and understand it as the key to the understanding of the present.” Menurut pandangan Collingwood pula, “The philosophy of history is concerned neither with “the past by itself” nor with “the historian’s thought about it by itself”, but with the two things in their mutual relations.”

Howard Zinn pula berkata, “Responsibility in history can only have meaning in immediate activity. It is an old and useless game among historians to decide today whether Caesar was good or bad, Napoleon progressive or reactionary, Roosevelt a reformer or a revolutionist. In a recounting of past crimes, it is senseless to ask: Who was guilty then? unless it leads directly to: What is our responsibility now?”

Saya paling tertarik dengan kenyataan Benedetto Croce bahawa “all history is contemporary history”. Apa yang kita dapat simpulkan dari sini? Bukan sahaja orang ramai boleh pertikai sejarah, malah pakar sejarah turut mempunyai pemikiran dan pendapat yang berbeza tentang pengertian dan fungsi sejarah.

Imaginasi Komuniti dan Sejarah Komuniti

Bagaimana pula dengan konsep “komuniti”? Di sini saya tertarik untuk mengambil satu pendekatan yang dibawa oleh Benedict Anderson dalam karya klasiknya, Imagined Communities. Mengikut Anderson dalam kajiannya mengenai fenomena nasionalisme, beliau berkata bahawa sebuah negara dan negara bangsa adalah satu imaginasi komuniti politik. “[The nation] is an imagined political community – and imagined as both inherently limited and sovereign. It is imagined because the members of even the smallest nation will never know most of their fellow-members, meet them or even hear of them, yet in the minds of each lives the image of their communion”.

Komuniti bukanlah sesuatu yang tetap. Manusia telah hidup berkelompok sejak berzaman dulu. Pembentukan kumpulan diikuti oleh pembubaran, dan kemudian terbentuk identiti kumpulan yang baru. Penekanan terhadap identiti kumpulan ataupun komuniti berubah bergantung pada masa, tempat dan keperluan.

Ambil sahaja identiti nasional kita. Komuniti Malaysia (Malaysian community) tidak wujud sebelum 1963. Sebelumnya ada identiti komuniti yang lain-lain seperti Malaya, Sabah, Sarawak, dan Singapura. Dan entiti-entiti itu juga tidak wujud secara semulajadi. Kita membentuk (invented) Malaysia, bukannya menjumpai (discovered) Malaysia. Ini selaras dengan apa yang dikatakan Ernest Gellner, iaitu “Nationalism is not the awakening of nations to self-consciousness: it invents nations where they do not exist”.

Begitu juga dengan identiti komuniti etnik. Ia merupakan sesuatu yang kompleks dan berubah mengikut keadaan. Satu sudut pandang yang diutarakan Thomas Eriksen mengatakan bahawa pembentukan komuniti etnik tidak bergantung pada kriteria dalaman yang membolehkan seseorang itu dikira masuk dalam komuniti itu atau tidak. Sebaliknya, beliau berhujah bahawa etnik adalah lebih kepada satu hubungan (relationship), bukan ciri (property).

Namun hakikat ini tidak menghalang kita daripada menggunakan identiti komuniti (yang sering berubah) sebagai satu lensa menganalisis sesuatu isu atau fenomena.

Sejarawan tempatan, Leonard Andaya juga telah menggunakan konsep ini sebagai tujuan menyelidik sejarah komuniti Asia Tenggara dalam buku, Leaves of the Same Tree. Beliau mengetengahkan hujah sejarah komuniti yang berubah-ubah walaupun hujah itu menggunakan dan bergantung kepada wujudnya entiti komuniti tersebut.

Natijahnya, kita belajar bahawa pengertian konsep sejarah dan identiti komuniti itu adalah sesuatu yang dicipta, bukan wujud secara semulajadi. Mereka berubah mengikut peredaran masa dan situasi. Namun begitu, apabila kita mengatakan sesuatu itu dicipta dan sentiasa berubah, ini tidak menidakkan hakikat bahawa benda itu wujud dalam sesuatu masa, waktu, minda atau dimensi. Memahami bahawa konsep-konsep ini tetap berguna untuk memahami dan menganalisis sesuatu fenomena sejarah komuniti walaupun menyedari bahawa ia tidak kekal.

Maka pada itu, kita mulakan lawatan kita kepada masa silam. Kepada sejarah komuniti kita. Bukan sekadar untuk menghayati masa silam, bak kata orang putih, past for past’s sake. Tetapi untuk lebih memahami diri kita dan masyarakat kita pada hari ini. Dengan segala isu, keindahan, tragedi, dan pergelutannya.

SETERUSNYA DALAM SIRI INI: Migrasi masyarakat Cina ke Tanah Melayu dan British Malaya. Bagaimana dan mengapa mereka berhijrah dan membina penempatan di sini? Kumpulan manakah yang datang ke sini? Mereka ini dari mana? Bagaimana kehidupan sebagai komuniti migran? – Roketkini.com