Berita

Tragedi kematian gajah kerdil Borneo: Kerajaan Negeri Sabah didesak beri penjelasan

KOTA KINABALU, 24 SEP: DAP mendesak Kerajaan Negeri Sabah memberi penjelasan sewajarnya berhubung tragedi kematian tujuh gajah kerdil Borneo selepas terperangkap di dalam kolam lumpur berdekatan Kem Pembalakan Berkat Saga di Rinukut, Sabtu lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjong, Chan Foong Hin, berkata insiden malang membabitkan hidupan liar itu bukanlah kali pertama terjadi di negeri tersebut, malah menegaskan ia berlaku kerana kecuaian pihak berkuasa.

“Kolam lumpur itu adalah buatan manusia. Kecuaian pihak-pihak tertentu dengan mengabaikan kolam tersebut tanpa sebarang pagar telah menyebabkan tragedi ini berlaku.

“Kami tidak mahu mendengar retorik lama dari Jabatan Perhutanan atau Jabatan Hidupan Liar Sabah, kononnya penyiasatan sedang dilakukan. Perkara ini pernah terjadi tiga tahun lalu, namun hingga sekarang tidak ada sebarang tindakan susulan,” tegasnya.

Beliau merujuk kepada tragedi kematian 14 gajah kerdil Borneo secara misteri di Hutan Simpan Rara berdekatan Tawau pada 2013, yang mendapat perhatian seluruh masyarakat antarabangsa, khususnya organisasi-organisasi pencinta alam sekitar.

“Media seluruh dunia melaporkan berita mengejutkan itu, dan Kerajaan Negeri Sabah berjanji akan menyiasat perkara tersebut agar pihak terlibat dikenakan tindakan.

“Tapi sampai sekarang, selepas tiga tahun berlalu dan tujuh lagi gajah telah mati, kita masih tidak tahu siapa di sebalik kematian 14 gajah kerdil itu,” ujarnya, sambil mempersoal sama ada perkara yang sama akan berulang dalam insiden kali ini.

Menurut Foong Hin, kematian tujuh gajah kali ini mungkin mempunyai kaitan dengan Yayasan Sabah, sama seperti yang berlaku dalam tragedi tiga tahun lalu.

“Siasatan saya mendapati walaupun kematian tujuh gajah itu berlaku di kawasan kem pembalakan ‘Berkat Saga’, kontraktor yang terlibat adalah Bakat Saga Sdn. Bhd yang dilantik oleh Yayasan Sabah,” jelasnya.

Yayasan Sabah pernah dicurigai ramai sebagai terlibat dengan aktiviti pembalakan haram dan penyelewengan sehingga menyebabkan kematian 14 gajah sebelum ini.

“Mengapa kolam lumpur itu boleh wujud di kawasan itu dan mengapa ia digali sebenarnya? Adakah untuk menyembunyikan balak haram di dalam hutan?

“Kami sebagai rakyat amat sedih dan marah dengan perkara ini. Pihak berkuasa yang bertanggungjawab wajib menjelaskan perkara sebenar,” tegasnya. – Roketkini.com