Budaya

Godzilla dan politik global

Amaran: Filem ini yang sedang ditayangkan di pawagan di Malaysia tidak sesuai untuk kanak-kanak yang belum cukup umur, remaja yang mudah terpesona dengan CGI atau dewasa yang cepat bosan. Ia memerlukan tumpuan dan daya fikir. Ya, memang ada raksasa mengamuk tetapi banyak adegan bercakap, berdialog dan berdebat.

Godzilla muncul semula. Kali ini ia kembali dari Jepun. Bukan lagi dari Hollywood setelah dua kali percubaan studio Amerika Syarikat untuk memuaskan hati kebanyakan peminat tidak begitu berjaya; kecuali mereka yang mudah tergoda dengan computer generated imagery (CGI).

Dengan judul Shin Gojira atau Godzilla Resurgence, atau apabila diolah pengedar filem itu di Malaysia menjadi Shin Godzilla, ia kembali sepenuhnya diterbitkan oleh Toho Co Ltd, penerbit asal francais yang sebati dengan imej budaya popular Jepun.

Yang lama

Saya tidak cukup tua untuk menonton Godzilla yang asal apabila ia dihasilkan pada tahun 1954. Hanya teknologi maklumat membolehkan saya menontonnya pada alaf baru. Sudah tentu minda dewasa sukar mengembalikan nostalgia kanak-kanak tetapi menyaksikan Godzilla 1954 arahan Ishiro Honda, walaupun di atas kaca TV yang kecil, membuktikan pada diri ini bahawa ia memang layak menjadi fenomena pada zamannya, malah masih mampu  menjadi teladan pada hari ini.

Godzilla 1954 dihasilkan tidak sampai satu dekad selepas bom atom digugurkan di Hiroshima dan Nagasaki yang menamatkan Perang Dunia Kedua (1939-45). Ia memberi kesan kepada golongan seni di Jepun yang sememangnya lebih sensitif daripada kumpulan politik dan panglima tentera mereka yang dahagakan darah sepanjang perang yang sia-sia itu. Kerana itulah lahirnya filem Godzilla yang mahu berkongsi pengalaman tentang kejamnya manusia apabila sanggup mencipta bom atom untuk membunuh manusia lain.

Filem itu memaparkan Godzilla sebagai karma yang datang menghantui manusia yang telah mencipta bom tersebut. Ini bererti dari awal lagi Godzilla memang politikal sifatnya – walaupun francais yang seterusnya bercampur-aduk dengan pelbagai genre semasa.

Walaupun niat asalnya serius, penonton yang mengikuti francais Godzilla yang seterusnya mula mengaitkannya dengan genre untuk kanak-kanak, atau lebih tepat lagi, sekadar hiburan. Sukar bagi mereka untuk menerima filem yang watak utamanya adalah seorang manusia memakai suit raksasa yang dibuat daripada getah yang memijak dan memusnahkan model bangunan, sebagai filem yang serius. Sesiapa yang pernah menonton siri TV Ultraman serta francaisnya tentu sedar tentang hal ini. Entah kenapa, saya tidak pula terjejas dengan perkara itu.

Yang baru

Apa pun Shin Godzilla arahan bersama Hideaki Anno dan Shinji Higuchi – kedua-duanya otai genre anime dan fiksyen sains Jepun – tidak lagi menggunakan pelakon berpakaian raksasa untuk memaparkan Godzilla. Tahap CGI Jepun sudah cukup baik walaupun memang ada pelakon menggayakan gerak Godzilla untuk difilemkan sebagai motion capture. Memang agak realistik penampilan Godzilla serta persekitaran yang dirosakkan atau dimusnahkannya. Malah, memang hebat jika diketahui bajet menghasilkan filem ini tidak lebih US$15 juta. Bandingkan dengan bajet filem Godzilla terbitan Hollywood pada 2014, iaitu US$160 juta.

Filem baru ini bukan sekadar kisah raksasa mengamuk. Ia juga bukan filem senario panjang berjela-jela memperlihatkan bangunan dan kenderaan dihancurkan seperti yang biasa kita tonton dalam francais bajet besar seperti X-Men, Avengers dan Superman/Batman. Malah, walaupun kesan kesan efeknya tidak sehebat filem-filem bajet besar seperti Avatar, Transformers, Titanic, Battleship, Pacific Rim dan sebagainya, ia boleh dimasukkan dalam kategori baik, iaitu tidak terlalu panjang atau pendek.

Mesej politik

Pada masa yang sama, seperti amaran di atas, ia merupakan filem yang mempunyai mesej. Apa yang disampaikan bersifat politik. Mungkin ada yang akan melihatnya sebagai satira politik.

Seperti filem pertama, ia tidak menyembunyikan apa-apa kerana mesej politiknya amat jelas, dan kadangkala ketara. Untuk menyampaikan mesej-mesej ini, memang ada banyak senario bercakap, berdialog dan berdebat. Malah, tidak cukup dengan itu, ada beberapa adegan sidang media. Selain itu, ia tidak mempunyai watak wira dan wirawati utama; hampir sedozen watak utama yang setara – kebanyakannya ahli politik, termasuk perdana menteri, para birokrat serta saintis.

Memadai dikatakan plot politik itu berkisar tentang diplomasi, birokrasi dan muslihat politik yang sedang berlaku di Jepun; tentang keselamatan negara, tentang rundingan dengan negara-negara lain, tentang tolak ansur global. Namun, ia tidak semudah mengambil sikap hitam putih. Ia memaksa penonton berfikir tentang realiti politik, dan hakikat hidup.

Antara persoalan yang timbul: Jika disyaki ada bencana besar yang akan memudaratkan, apakah rakyat perlu diberitahu serta-merta atau menyembunyikan maklumat sehingga laporan lengkap diterima? Mana lebih penting, membunuh ‘ancaman’ atau ‘menghalau’ atau ‘menangkap’nya? Jika mahu membunuh ‘ancaman’ di dalam bandar tetapi ada orang terperangkap di situ, apa yang harus pemimpin negara lakukan? Perlukah suara majoriti dalam demokrasi apabila berdepan dengan krisis yang meruncing?

Selain itu, politik yang dipaparkan termasuk hubungan tidak selesa di antara Jepun dan Amerika Syarikat walaupun dunia melihat mereka sebagai rakan karib sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua. Dialog yang ditonjolkan jelas mencerminkan keresahan rakyat Jepun dengan suasana semasa tentang hubungan dua hala itu, serta hubungan pelbagai hala dengan negara lain.

Tiada kisah cinta

Filem ini lebih banyak berkisar tentang “the bigger picture” berbanding dengan emosi peribadi yang biasanya menjadi kekuatan sesebuah filem, termasuk filem bajet besar – seperti Titanic yang menumpukan kepada percintaan dua remaja berbeza darjat atau francais awal Transformers dengan dua remaja kelas pekerja; malah francais Avengers juga menonjolkan masalah emosi, ego dan peribadi setiap watak utama. Mungkin kekurangan emosi kejiwa-jiwaan ini boleh dianggap sebagai kelemahan Shin Godzilla. Maklumlah, tiada cerita tentang dua insan bercinta.

Tetapi demi mempertahankan francais ini yang sememangnya perlu ditumpukan kepada Godzilla, tidak ada salahnya jika tiada penonjolan peribadi watak-watak yang ada. Mungkin pada sambungan atau sequel seterusnya – difahamkan siap pada tahun depan – penerbit dan pengarahnya boleh memikirkan tentang hal ini. Lagipun niat asal filem ini adalah untuk mengembalikan Godzilla setelah lama ditinggalkan secara langsung oleh Toho – sejak Godzilla: Final Wars pada 2004.

Lebih baik daripada Hollywood

Memang benar Shin Godzilla bukanlah filem yang terbaik atau terhebat, sama ada untuk tahun ini atau tahun-tahun sebelumnya. Namun, dalam francaisnya, termasuk yang dihasilkan oleh Hollywood dengan bajet yang melampau, ia adalah antara yang terbaik, sama ada di kalangan francais sendiri atau dalam genre raksasa. Asalkan anda tidak mudah bosan dengan “filem bercakap”, ia dapat menghiburkan hati dalam masa kira-kira dua jam.

Setidak-tidaknya, bagi mereka yang skema boleh mengikuti perkembangan semasa politik Jepun – dengan menonton filem ini. Apatah lagi Jepun sekarang bimbang dengan keghairahan Korea Utara yang gemar menguji senjata-senjata besar di lautan yang mereka kongsi bersama. Keresahan ini tentunya dirasai bersama oleh Amerika Syarikat, Korea Selatan dan China. Malah tempiasnya juga memberi kesan kepada Negara-negara Asia Tenggara.

Apa pun, ia bukanlah sebuah dokumentari politik. Ia tetap filem yang bertujuan menghiburkan. Saya amat teruja pada pertengahan filem ini apabila Godzilla bangkit berdiri dengan iringan muzik tema daripada filem asal 1954 karya komposer Akira Ifukube. Pada ketika itu nurani kecil saya berbisik: walaupun ada kalanya bosan juga dialog sewaktu adegan mesyuarat demi mesyuarat, apabila mendengar ngauman/jeritan Godzilla dengan muzik latar itu, ia adalah sesuatu yang amat melegakan hati.

Mungkin ini adalah kerana saya sekadar seorang pengulas amatur yang sememangnya meminati francais Godzilla. – Roketkini.com