Berita

Johor saksikan ‘hijrah besar-besaran’ akar umbi Melayu tolak kepimpinan Najib

JOHOR BAHRU, 26 SEP: Johor sedang menyaksikan gelombang kebangkitan dan kesedaran akar umbi Melayu apabila semakin ramai ahli-ahli UMNO negeri itu meninggalkan parti tersebut akibat hilang keyakinan terhadap parti dan kepimpinan Perdana Menteri Najib Razak.

Fenomena ini menyaksikan penghijrahan besar-besaran bekas ahli-ahli UMNO negeri ini menyertai parti baru mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Optimis dengan perkembangan ini, Ahli Jawatankuasa DAP Johor, Mahdzir Ibrahim dan Syeikh Omar Ali berkata, penghijrahan ahli-ahli UMNO negeri ini bakal menjadikan Johor sebagai pencetus kepada perubahan politik Malaysia sebagaimana yang pernah diungkapkan oleh Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang.

“Kami menyambut baik perkembangan terkini di Johor berhubung penghijrahan ahli-ahli UMNO ke parti Bersatu.

“Kami juga maklum tentang penghijrahan beberapa individu yang dianggap tokoh penting akar umbi UMNO Johor yang sedang berjalan. Kami anggap ini merupakan satu ‘hijrah besar’ bangsa Johor,” kata mereka sambil menyifatkan ia sebagai gelombang awal penjajaran semula politik Johor.

Penolakan rakyat yang semakin ketara terhadap UMNO saat ini berlaku kerana sudah muak dengan tindak-tanduk sumbang Umno selain terpalit dengan pelbagai skandal kewangan mega melibatkan Najib Razak.

Ia termasuklah kempen terdesak berbaur ‘ugutan’ dengan mendakwa mereka perlu terus berkuasa demi survival kaum Melayu.

“UMNO yang diterajui Najib penuh dengan skandal. 1MDB yang terkait langsung dengan The Malaysian Official 1 telah menjadikan Malaysia hari ini terkenal dengan politik kleptokrasi. Lebih malang, Umno telah menjadi parti Najib apabila semua kuasa dipusatkan kepada beliau.

“Elemen perkauman kononnya UMNO perlu terus berkuasa demi survival Melayu terus dijadikan helah Najib untuk mengukuhkan kedudukan beliau dan mengamalkan kleptokrasi,” ujar mereka.

Kenyataan ini dalam masa yang sama mahu supaya UMNO Johor di bawah pimpinan Datuk Seri Khaled Nordin mengambil langkah berani untuk lakukan perubahan besar-besaran.

“Dalam konteks Bangsa Johor yang bersatu padu, unik dan tersendiri, kami melihat bahawa Umno yang dikuasai Najib hari ini tidak lagi boleh menjadi tulang belakang kepada politik Bangsa Johor.

“Sikap berdiam diri UMNO Johor bermaksud setuju dengan kleptokrasi Najib yang memangsakan rakyat. Oleh itu, kami mendesak agar Khaled Nordin selaku Ketua Perhubungan UMNO Johor menunjukkan sikap, memberi respon dan menyatakan pendirian terhadap perkembangan terbaru ini,” desak mereka.

Tindak-tanduk sumbang UMNO di bawah kepimpinan Najib jelas mereka lagi hanya mampu ditumpaskan melalui gelombang besar rakyat dan kesepakatan parti-parti politik. – Roketkini.com