Berita

Beri alasan ‘borang habis’, SPR didakwa sabotaj proses pilihanraya

PETALING JAYA, 29 SEP: Selain pendaftaran program daftar pemilih yang dianjurkan DAP, kaunter-kaunter pendaftaran pemilih yang dibuka di pusat-pusat membeli belah sepanjang September ini berhadapan dengan masalah kekurangan borang pendaftaran.

Menurut ADUN Balakong Eddy Ng Tien Chee, salah satu program yang dilakukan awal September lalu di AEON Cheras Selatan DUN Balakong terpaksa dihentikan seawal jam 1 tengahari sahaja dari jadual asal yang sepatutnya sehingga jam 5 petang akibat kekurangan borang.

Alasan yang sama turut digunakan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) apabila kaunter pendaftaran pemilih yang dibuka di pusat-pusat membeli belah lain terpaksa ditutup awal seperti di Sunway Pyramid, IOI Puchong, AEON Taman Equine (Kinrara).

SPR juga dikritik kerana didakwa tidak memiliki sistem atas talian yang baik malah ada ketikanya tidak dapat diakses disebabkan oleh gangguan malware.

“Ini satu keadaan yang tidak sihat, SPR perlu lebih professional dan bertanggungjawab,” kata Ahli Jawatankuasa DAP Selangor Edry Faizal.

Beliau berkata, SPR seolah-olah tidak bersedia menghadapi kesedaran rakyat Malaysia khususnya golongan muda yang semakin ramai mahu berdaftar sebagai pengundi.

Prestasi SPR semakin buruk apabila agensi tersebut sejak tahun 2013 telah berhenti melantik Penolong Daftar Pemilih dari parti-parti politik yang bertujuan membantu pendaftaran pemilih baharu.

Pada tahun 2011 dan 2012, terdapat 5,720 dan 4,777 Penolong Pendaftar yang dilantik. Pada hari ini, ia telah diabaikan dan tidak digantikan dengan sebarang badan atau institusi yang melaksanakan tugas yang serupa.

Kesannya dapat dilihat dengan ketara apabila pada tahun 2011 sahaja, seramai 1,023,170 rakyat Malaysia yang layak berjaya berdaftar sebagai pemilih.

Bagaimanapun, bermula dari tahun 2013 sehingga 2015, hanya 617,254 pemilih yang berjaya didaftarkan dan keadaan bertambah parah apabila SPR ‘mengehadkan’ aktiviti pendaftaran pemilih mereka dengan pelbagai alasan yang tidak munasabah. – Roketkini.com