Rencana

Mengkafirkan orang juga jenayah syariah

Baru-baru ini kita digemparkan dengan video ceramah YDP PAS Kawasan Padang Serai Shaharuddin Ibrahim yang telah mengeluarkan kenyataan untuk menanam Ketua Pembangkang Malaysia, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di jirat sekiranya beliau tidak menyokong RUU 355 di Parlimen nanti. Kenyataan ini secara langsung cuba untuk mengkafirkan Datuk Seri Wan Azizah jika beliau tidak menyokong RUU 355.

Sedarkah YDP PAS ini bahawa kenyataannya itu merupakan satu jenayah syariah dan boleh disiasat dan didakwa di bawah Seksyen 24 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 1988?

Seksyen 24 menyatakan secara jelas bahawa:

(1) Mana-mana orang yang mengatakan atau mengaitkan melalui kata-kata, sama ada bertutur atau tulisan, atau melalui isyarat, atau melalui gambaran yang boleh dilihat atau melalui apa-apa perbuatan, kegiatan atau kelakuan, atau dengan mengelola, menggalak atau memperaturkan apa-apa kegiatan, atau selainnya dengan apa jua cara, bahawa mana-mana orang yang menganuti Agama Islam, atau orang-orang yang tergolong dalam mana-mana kumpulan, kelas atau perihalan orang-orang yang menganuti Agama Islam :

(i) adalah orang kafir, atau

(ii) telah berhenti menganuti Agama Islam, atau

(iii) tidak patut diterima, atau tidak dapat diterima, sebagai menganuti Agama Islam, atau

(iv) tidak mempercayai, mengikuti, menganuti, atau tergolong dalam Agama Islam,
adalah bersalah atas suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Peruntukan undang-undang mengenai takfiri ini bukan sahaja di Kedah, malah hampir kesemua enakmen jenayah syariah negeri mempunyai peruntukan yang serupa. Tujuan peruntukkan ini diwujudkan adalah untuk menghalang sikap takfiri di kalangan umat Islam apabila berlakunya perbezaan pendapat baik dari segi agama atau politik. Malangnya hari ini, YDP PAS ini sanggup mengkafirkan sesama Muslim demi kepentingan politik. Inilah bahayanya jika agama dan politik itu dicampuradukkan sesuka hati tanpa batasan.

Adalah amat ironi apabila PAS yang mahu memartabatkan mahkamah syariah, telah melakukan jenayah syariah dengan mengkafirkan orang. Adakah ini juga salah satu usaha untuk memartabatkan Islam? Lebih mengecewakan, tiada satupun pimpinan utama PAS terutamanya Tuan Guru Haji Hadi Awang yang mahu menyangkal atau menegur sikap YDP PAS ini dalam soal takfiri ini. Masing-masing diam seribu bahasa.

Hal ini bukan kali pertama malah di media sosial begitu banyak kenyataan umat Islam mudah mengkafirkan orang Islam hanya kerana mereka berbeza pendapat. Dalam kita mahu memartabatkan Islam kita lupa akhlak Islam yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad S.A.W.

Oleh itu, saya turut menyeru agar Datuk Seri Wan Azizah menggunakan saluran mahkamah syariah sedia ada agar kenyataan ini disiasat supaya sikap ini dapat dibendung daripada menular dalam komuniti umat Islam.

Saya menghormati kebebasan PAS untuk membawa RUU 355 ke Parlimen dan mempromosikannya di setiap genap dan ruang di seluruh negara. Namun, apapun yang dilakukan harus ada had dan batasnya jangan sampai ia memburukkan nama agama Islam itu sendiri dengan sikap angkuh dan “holier than thou” mereka. – Roketkini.com

* Farhan Haziq Mohamed adalah Pengarah Pendidikan Politik DAPSY Subang