Berita

Pusat judi di Johor terus beroperasi, tindakan tidak cukup keras

KLUANG, 29 SEP: Biarpun serbuan telah dibuat oleh pihak berkuasa bagi menghentikan kegiatan judi haram di sini, beberapa pusat perjudian telah kembali beroperasi kurang 48 jam dari tempoh serbuan tersebut.

Demikian kenyataan Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor, Sheikh Omar Ali, yang turut mempersoal sama ada tindakan undang-undang yang diambil ke atas pengusaha pusat-pusat perjudian itu tidak cukup ‘keras’ bagi membendung masalah terbabit.

“Adakah tindakan atau kompaun yang dikenakan oleh pihak berwajib tidak setimpal dalam memastikan pengusaha pusat perjudian menghentikan aktiviti mereka?

“Atau adakah wujud kelompangan semasa operasi, contohnya, setiap kali serbuan, mesin-mesin dirampas dan disita tetapi penggerak kepada judi haram itu bebas menghidupkan kembali aktiviti ini?” soalnya dalam satu kenyataan.

Tahun lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengakui pindaan undang-undang yang berkesan diperlukan bagi membanteras kegiatan judi haram di negara ini untuk jangka masa panjang.

Namun, seperti yang diutarakan oleh Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong baru-baru ini, masih belum ada tindakan drastik dibuat, termasuk ura-ura bahawa Ketua Balai Polis Daerah akan ditukarkan dalam tempoh 24 jam jika masih wujud kegiatan perjudian.

“Walaupun laporan media menyatakan Ketua Polis Negara meminta tindakan diambil terhadap perjudian haram, semakin banyak pusat judi baru tumbuh seperti cendawan selepas hujan walaupun operasi dan tindakan dijalankan,” katanya.
Sheikh Omar yang juga pegawai khas Chin Tong menjelaskan, kegiatan perjudian di Johor menimbulkan kerisauan dan kerunsingan di kalangan masyarakat setempat, malah hanya beberapa hari yang lalu, ada di kalangan mereka yang datang mengadu di Pusat Komuniti Kluang.

“Pihak kami akan mengadakan pertemuan-pertemuan susulan dengan pihak berwajib yang terlibat bagi mendapatkan maklumat, berkongsi pandangan dan bekerjasama.

“Aktiviti judi haram ini mesti dibanteras agar kesejahteraan rakyat terpelihara,” tegasnya. – Roketkini.com