Wawancara

Edry Faizal: Reformis, Sekularis, atau Islamis?

Menemubual anak kelahiran Selangor ini sedikit mengingatkan saya kepada Ahmad Wahib, seorang kawan yang tidak pernah saya bersua temu, malah sudah tidak lagi wujud, selain helaian-helaian cacatan-cacatan pendek panjangnya tentang gejolak spiritual beliau untuk pergi lebih jauh bersama idea, organisasi, cita-cita dan cinta.

Edry Faizal bin Eddy Yusof, 31, mengingatkan saya tentang Ahmad Wahib sekaligus mengheret catatannya yang dibukukan berjudul Pergolakan Pemikiran Islam penuh dengan gagasan-gagasan idea, pengalaman dan pergolakan jiwa yang kasar malah lazat pula.

Saya kata begitu kerana Edry Faizal bin Eddy Yusof, sebelum meletakkan risiko dan menanggung beban seranah politik partisan, beliau terlibat dalam sebuah NGO berdiri sebagai Islamic Renaissance Front (IRF).

Serba sedikit sama si Ahmad Wahib yang aktif berjamaah dalam Himpunan Mahasiswa Islam (HMI) ketika itu. Dalam Bahasa mudah, kedua-dua sosok ini mengembang serta meraikan pertentangan-pertentangan dalam wacana intelektual dan emosi seputar isu dan permasalahan umat Islam dalam negara berbilang budaya dan agama sesuai motto IRF; liqauminn yatafakkarun-buat mereka yang berfikir.

Ini adalah pendedahan awal beliau sebelum terdetik nawaitu untuk terjun berjuang bersama menegakkan agenda murni Malaysian Malaysia bersama Parti Tindakan Demokratik pada tahun 2012 yang lalu.

Menurut Edry, graduan ijazah dari Universiti Multimedia, program-program yang dilaksanakan IRF banyak tertumpu kepada wacana intelektual dalam mereformasi pemikiran Islam sekaligus menjebak minatnya untuk lebih mengenali politik.

Titik tolak penyertaan langsung beliau dalam gelombang politik nasional bermula setelah terlibat bersama ribuan rakyat Malaysia turun ke jalan raya dalam perhimpunan BERSIH 2.

“Aku terlibat dalam politik secara langsung dari Bersih. Kemudian, pada suatu hari terdetik untuk terus berpolitik.

“Aku mahu terlibat dan membantu dengan lebih jauh lagi, jadi aku buat keputusan menyertai parti politik dengan harapan semua kemampuan, tenaga, dan kebolehan yang ada boleh dimanfaatkan,” kata Edry.

Saat saya menemuramah Edry, negara telah pun melangkaui dua fasa gelombang kebangkitan. Pertama ialah pasca pilihanraya umum 2008 dan kedua ialah pasca pilihanraya umum 2013, malah telah beberapa kali juga perhimpunan-perhimpunan mega dianjur mengutuk sikap tempang rejim BN terhadap dasar ekonomi dan politik negara.

“Kenapa masuk parti politik untuk buat perubahan? Tak ada pilihan lain?” soal saya.

Tetapi Edry seorang yang realistik. Dia tetap mahu masuk parti politik. Dia tidak rasa keji atau mual dengan politik. Dia meneruskan niatnya mengisi borang keahlian dan rasmi menjadi ahli parti.

Katanya dalam konteks negara Malaysia yang memiliki sebuah kerajaan yang sangat berkuasa, jalan politik adalah yang terbaik untuk melakukan perubahan.

“Kita ada sebuah regim yang sangat berkuasa, dalam keadaan kuasa itu sangat berpusat kepada persekutuan. Maka aku lihat jalan yang paling realistik, yang boleh membuahkan hasil, adalah melalui parti politik tanpa menafikan sumbangan NGO atau individu kepada politik negara.edry

“Aku selalu bagi analogi seperti gelanggang tinju. Yang berada diluar menyumbang juga tapi yang betul-betul beri kesan adalah mereka yang berada dalam gelanggang,” jelas Edry.

Jawapan Edry jelas. Saya bertanya lagi, “Kenapa kau dari Islamic Renaissance Front pergi kepada DAP?”

“Daripada IRF sendiri aku sudah mula meneroka idea-idea pembaharuan dalam Islam dan terdedah dengan perbahasan-perbahasan tentang pemisahan antara negara dan agama. Maksudnya, negara tidak akan bias kepada mana-mana agama,” jelas Edry memberitahu bahawa idea bukan bermaksud anti-kepada agama, namun bertujuan mengelakkan berlakunya bias atau kecenderungan untuk menekan sesebuah kelompok-menggunakan agama atau alasan-alasan mengatasnamakan agama malah tuhan demi kepentingan kelompok!

Disoal mengapa beliau menyokong pemisahan politik dan agama, Edry berkata segalanya adalah demi keadilan setiap warganegara.

“Sebab dalam konteks Malaysia adalah kepercayaan dah jadi ideologi. Bila berkuasa, ia memiliki kecenderungan untuk memihak kepada sebelah pihak. Cenderung untuk melebihkan kepercayaan itu sahaja dan seterusnya bertukar menjadi dasar-dasar yang secara tak langsung perlahan-lahan cenderung pula untuk menekan dan menindas,” jawabnya tuntas.

Jelasnya sebagaimana ideologi-ideologi lain di luar negara, di Malaysia, ia datang dalam bentuk kepercayaan dan akhirnya ia jadi berkuasa, kemudian membentuk institusi dan perlahan-lahan cenderung menekan.

Saya cuba untuk melanjutkan perbincangan, soal saya, bukankah sekularisme juga menekan?

“Sekularisme pun menekan. Ini tidak sama dengan sekular. Sekular dalam konteks ini bermak
sud mengasingkan sahaja. Sekularisme pula adalah ideologi yang juga cenderung boleh menekan.

“Kita boleh nampak dilema ini di negara lain di mana ideologi sekular diangkat dan jadi macam agama. Ideologi ini jika tidak disemak imbang, juga cenderung menekan,” ulas Edry.

Saya belum puas dengan jawapan Edry malah dia terlepas menjawab sepenuhnya soalan yang ditanya.

“Mengapa kau memilih DAP juga sedangkan ada parti-parti lain yang mungkin lebih dekat dengan budaya. Bukankah DAP dilabel ‘cenderung kecinaan’, ‘parti Cina’ dan sebagainya?” soal saya.

Edry yang kini Ahli Jawatankuasa DAP Selangor menjawab bahawa pokok pangkal pemilihannya terhadap DAP adalah berdasarkan perjuangan DAP mengangkat isu-isu yang lebih mendasar dan substantial.

“Aku agak tertarik bila isu-isu yang dibangkitkan walaupun tak semua, kebanyakannya adalah isu-isu yang substantial mengenai dasar dan sebagainya.

“Malah apa yang dibawakan ini juga dihormati oleh musuh, orang yang tak suka DAP pun tetap setuju dengan komen bahawa DAP berjuang mengangkat dan menyentuh banyak isu-isu yang substantial,” kata beliau.

Sebagai contoh beliau mengatakan DAP banyak menerbitkan pelbagai buku-buku mengenai isu semasa, bajet, kewangan negara dan tentang dasar pembangunan masyarakat dan modal insan.

“Bukan sekadar isu-isu politik yang biasa atau isu-isu yang samar dan retorik semata-mata. Jadi itu antara penyebab pembuka minat aku menyertai DAP.

“Selain itu, DAP juga dilihat sebagai sebuah parti yang berani dan jelas mengenai perjuangannya, mengenai pensekularan negara di mana pemisahan itu perlu jelas. DAP tak sorok-sorok, tidak main-main. Jadi, kejelasan itu dan juga isu-isu substatial memang menarik perhatian aku,” kata beliau yang juga Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Selayang itu.

Saya cuba kecilkan lagi persoalan seputar DAP lantas saya bertanya tentang ‘imej Cina’ yang sering dimomokkan media arus perdana.

“Aku tak lihat label sebab aku nak tengok apa intipati parti itu sendiri.

“Boleh saja ada parti yang ramai ahli-ahli kaum Melayu tetapi itu tak menjadikannya sebuah parti ‘Melayu’. Ada parti yang ramai kaum Cina juga tetapi tak semesti menjadikannya sebuah ‘parti Cina’. Jadi aku berbalik kepada apa substantial parti. Aku nak tengok apa intipati parti sendiri dalam memilih platform,” kata Edry.

Menyemai dan menuai kader baharu DAP

Selain memegang jawatan sebagai Ahli jawatankuasa DAP Selangor dan Ahli Majlis, Edry turut terlibat langsung menyelaras Sekolah Demokrasi atau SekDem.

SekDem merupakan bengkel yang dianjurkan Biro Pendidikan Politik DAP dalam usaha untuk mendedahkan para peserta mengenai hal-hal kenegaraan, demokrasi dan politik. Sehingga saat ini, sekurang-kurangnya 300 peserta telah mengikuti modul dan bimbingan SekDem.

Ditanya mengenai penyertaan dan sambutan golongan muda terhadap SekDem, beliau berkata rata-rata yang menyertai SekDem adalah mereka yang berusia bawah 30 tahun dengan memiliki pelbagai latarbelakang, mejoriti peserta berketurunan Melayu dan bumiputera dan memiliki kepedulian terhadap masalah yang melanda negara dan mahu memberi sumbangan untuk memulihkan keadaan.

“Ramai yang sertai SekDem salah satu sebabnya adalah untuk tahu ada apa dengan DAP. Dia nak tengok sendiri. Ada yang mengaku dia rasa ingin tahu. Kedua, memang mereka minat politik dan mahu menambah pengetahuan dan ketiga, ada yang mahu cuba-cuba sertai SekDem,” beliau berkata.

“Secara umum, bagaimana penedryerimaan mereka terhadap DAP?” tanya saya.

“Biasanya akan ada anjakan, ada perbezaan. Kalau dulu dia benci, sekarang dia lebih memahami dan tak semestinya kena suka pun. Ada yang masih dengan pegangan pegangan poltik dia, sekurang-kurangnya dia tak benci, tak membabi buta.

“Ada yang pernah berubah persepsi, dia tak tau sebelumnya dan anggap DAP sebegini-sebegini padahal bilasu dah kenal, DAP tidaklah sebagaimana yang dilontarkan,” jelas ayah kepada dua orang cahaya mata ini.

Melalui SekDem juga dedah Edry, ada kalangan peserta yang membuat keputusan untuk menjadi ahli parti dan apa yang terpenting dalam SekDem ini ialah supaya peserta memahami bahawa DAP adalah parti politik biasa seperti parti lain dan tahu tentang pegangan ideologinya.

“Kedua, jika dia berminat ceburi bidang politik, DAP adalah salah satu pilihan,” jelas Edry.

Bagi anak muda Melayu dan bumiputera ujar beliau, pilihan untuk berpolitik tidak banyak dan berlegar-legar seputar beberapa parti sahaja dan kebiasaannya DAP tidak berada dalam senarai pilihan.

“Bukankah Melayu semacam berpecah sahaja pulak sebab banyak pilihan, bukankah ada UMNO, PAS, Amanah atau di Borneo, ada PBS, SAPP dan parti-parti lokal?” celah saya.

Namun bagi Edry, itu bukanlah ‘perpecahan’ seperti yang sering dimainkan propaganda Umno.

“Realitinya, jika kita guna konteks ini, bukan orang Melayu sahaja yang berpecah, semua pun berpecah. Bagi kaum Cina, ada MCA, Gerakan, malah DAP sebagai pilihan

“Jadi ini bukan isunya. Kalau nak kira berpecah, semua pun berpecah. Dan manusia tidak pernah pun dia bersatu secara homogeniknya. Manusia sentiasa ada perbezaan dan pilihan. Itu sifatnya manusia,” kata Edry. – Roketkini.com

Bersambung di Bahagian II – Edry Faizal: Radikalisme berpunca dari perut