Berita

‘Lompatan’ Junz Wong khianati amanah rakyat, didesak letak jawatan

KUALA LUMPUR, 3 OKT: DAP Sabah mengecam sekeras-kerasnya tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Likas Junz Wong yang mengumumkan keluar parti untuk menyertai satu lagi parti baru Sabah, semalam.

Sehubungan itu, DAP Sabah menzahirkan permohonan maaf kepada seluruh pengundi di Likas yang telah memilih DAP dan berikrar untuk terus berkhidmat kepada rakyat di Likas walaupun wakil rakyatnya telah meninggalkan parti.

Menyifatkan tindakan Junz sebagai pengkhianatan terhadap amanah pengundi di Likas, Pengerusi DAP Sabah Stephen Wong Tien Fatt menggesa supaya bekas Setiausaha DAP Sabah itu meletakkan jawatan sebagai Adun kerana keputusan beliau jelas tidak menghormati kehendak pengundi yang memilih DAP dalam pilihanraya lalu.

“Kami mengecam sekeras-kerasnya politik ‘lompat katak’ oleh Adun Likas Junz Wong yang telah mengetuai sekumpulan kecil anggota parti untuk keluar dari DAP dan mahu menganggotai sebuah lagi parti tempatan.

“Kami ingin menegaskan bahawa majoriti pengudi di Likas telah memilih DAP pada pilihanraya lalu, justeru wakil rakyat yang dipilih mestilah mematuhi ikrar kepada pengundi, dan akur kepada konsep serta prinsip parti.

“Mereka mesti meletakkan jawatan sekiranya mereka meninggalkan parti atau ‘lompat’ ke parti lain kerana mereka telah mengkhianati pengundi, tidak ada sebarang keraguan lagi!” tegasnya.

Menurut Ahli Parlimen Sandakan itu, budaya ‘lompat parti’ yang diamalkan sebahagian ahli politik negeri itu merupakan amalan yang dibenci rakyat Sabah dan perlu dihapuskan demi kepentingan Sabah.

Katanya lagi pada tahun 2013, apabila Dr Hiew King Cheu meninggalkan DAP, Junz Wong telah mengeluarkan kenyataan terhadap pengkhianatan Hiew dan mendesak Hiew supaya meletakkan jawatan ADUN Luyang.

“Kini, perkara yang sama mesti dilakukan oleh Junz Wong. Beliau mesti meletakkan jawatan sebagai ADUN Likas dengan serta merta.

“Jika mereka tidak boleh memahami asas prinsip demokrasi, dan tidak menghormati kehendak pengundi, mereka tidak layak untuk berkata mereka peduli dengan negeri Sabah,” tegas beliau.

Menurutnya lagi sejarah telah menunjukkan tauladan bahawa mereka yang melompat dan sering mengabaikan kepercayaan rakyat, menggunakan pelbagai alasan dan helah demi kepentingan diri, dan akan ditolak oleh rakyat dan dilenyapkan dari sejarah.

“Ahli politik jenis ini, merendahkan konsep asas dan prinsip demokrasi, serta merupakan musuh terbesar demokrasi di negeri Sabah,” ujar beliau.

Semalam Junz bersama enam pemimpin pembangkang Sabah mengumumkan keluar parti diketuai Pengerusi PKR Sabah Datuk Lajim Ukin dan beberapa pemimpin PKR.

Selain Junz dan Lajim, pemimpin pembangkang lain yang turut lompat parti ialah Timbalan Pengerusi DAP Sabah Joan Goh Penn Nee dan Naib Pengerusi DAP Sabah George Hiew Vin Zin, Adun Moyog daripada PKR Terrance Siambun, Setiausaha PKR Sabah Datuk Majjol Mahap dan Ketua Wanita PKR Sabah Johair Matlani. -Roketkini.com