Rencana

Apa status elaun pelajar Matrikulasi yang tertangguh?

Semalam, 4 Oktober 2016, Bernama melaporkan kenyataan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bahawa semua 1,167 pelajar tajaannya akan menerima elaun sara hidup bagi bulan Oktober hingga Januari 2017 bermula hari ini (5 Oktober) atau selewat-lewatnya pada 11 Oktober bergantung kepada proses transaksi bank tempatan di luar negara.

Kenyataan tersebut sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada para pelajar mahupun keluarga pelajar. Walaupun terdapat kelewatan yang tidak sepatutnya berlaku, respon KPT amat dialu-alukan dan diharapkan agar kelewatan itu tidak berulang. KPT harus lebih cepat menguruskan masalah pelajar tajaannya di masa depan. Segala perbelanjaan dan pengurusan pelajar mesti diurus tadbir secara profesional sesuai dengan kementerian yang menguruskan pengajian tinggi.

Masalah pelajar tajaan KPT telah diambil tindakan sewajarnya oleh KPT tetapi bagaimana pula nasib pelajar-pelajar matrikulasi di bawah kendalian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)?

Pada 28 September 2016 yang lepas, Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) saudara Muhammad Faiz Fadzil telah mempersoalkan kenapa elaun sara hidup pelajar matrikulasi seluruh Malaysia kendalian KPM masih tertangguh pembayarannya.

Program Matrikulasi merupakan program persediaan bagi pelajar bumiputera lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melayakkan mereka mengikuti kursus peringkat ijazah dalam bidang Sains, Teknologi dan Sastera Ikhtisas di universiti awam dan swasta. Program ini dibiaya terus oleh KPM.

Setiap pelajar yang mengikuti program matrikulasi anjuran KPM akan menandatangani suatu dokumen pembiayaan bahawa KPM akan memberikan elaun sara hidup sebanyak RM1,250 bagi setiap semester pembelajaran. Bagi sesi 2016/17 yang sedang berjalan, pihak KPM hanya menjelaskan sejumlah RM500 bagi setiap pelajar yang mana RM750 masih tertunggak bagi setiap pelajar.

Walau pun saudara Muhammad Faiz telah mengeluarkan kenyataan mempersoalkan kelewatan pembayaran, tetapi sehingga hari ini elaun sara hidup sebanyak RM750 tersebut masih tertunggak. Malah tiada sebarang respon daripada KPM. Kenapa perkara sebegini masih berlaku dan dibiarkan berlaku?

Tidakkah KPM tahu bahawa di sesetengah kolej matrikulasi ada pelajar yang terpaksa berkongsi makanan malah ada yang terpaksa berkongsi mee segera demi melapik perut?

Guru-guru dan tenaga pengajar serta pengurusan sesetengah kolej matrikulasi juga dikhabarkan amat tertekan melihat nasib pelajar-pelajar di bawah pengurusan mereka yang tidak cukup wang perbelanjaan.

Ke mana perginya dana yang telah disediakan untuk pembiayaan para pelajar matrikulasi? Apa yang menyebabkan pembiayaan mereka tertangguh? Bila pembiayaan mereka akan dilangsaikan?

Kita mengharapkan para pelajar menumpukan perhatian terhadap pembelajaran untuk berjaya tetapi dalam masa yang sama KPM telah mengabaikan tanggungjawabnya.

Jika KPT telah berjaya menyelesaikan masalah pelajar tajaannya, di mana KPM? Mana Menteri Pendidikan? Adakah mereka lebih galak berpolitik daripada menunaikan tanggungjawab terhadap para pelajar? – Roketkini.com

*Penulis merupakan ahli DAP cawangan Taman Tun Dr. Ismail Kuala Lumpur