Rencana

Bagaimana kerajaan boleh jimatkan belanja

Malaysia ada 25 Kementerian dengan 69 orang Menteri dan Timbalan Menteri.

1. Kementerian Kewangan
2. Kementerian Dalam Negeri
3. Kementerian Pengangkutan
4. Kementerian Kesihatan
5. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi
6. Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan
7. Kementerian Pertahanan
8. Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri
9. Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air
10. Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani
11. Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah
12. Kementerian Luar Negeri
13. Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi
14. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
15. Kementerian Kerja Raya
16. Kementerian Sumber Manusia
17. Kementerian Wilayah Persekutuan
18. Kementerian Pendidikan Tinggi
19. Kementerian Pendidikan
20. Kementerian Belia dan Sukan
21. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan
22. Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar
23. Kementerian Komunikasi dan Multimedia
24. Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan
25. Jabatan Perdana Menteri

Ada Kementerian yang ada lebih dari satu Menteri dan lebih satu Timbalan Menteri contohnya Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Menteri Kewangan ialah Dato’ Sri Najib Tun Razak manakala Datuk Johari Abdul Ghani Menteri Kewangan II. Timbalan Menteri Kewangan ialah Senator Dato’ Lee Chee Leong dan Dato’ Othman Aziz.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri ialah Dato’ Sri Mustapa Mohamed manakala Dato’ Sri Ong Ka Chuan Menteri II. Timbalan Menteri ialah Datuk Ahmad Maslan dan Datuk Chua Tee Yong.

Ada juga Kementerian lain yang mempunyai lebih dari seorang Timbalan Menteri contohnya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang disandang oleh Datuk Hajjah Azizah Bt Datuk Seri Panglima Hj Mohd Dun dan Senator Datin Paduka Chew Mei Fun.

Kementerian Dalam Negeri juga mempunyai dua Timbalan Menteri iaitu Datuk Nur Jazlan bin Mohamed dan Tuan Nasir Anak Kujat.

Kementerian Pendidikan juga ada dua Timbalan Menteri iaitu Datuk P. Kamalanathan dan Senator Chong Sin Woon.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani turut mempunyai dua Timbalan Menteri iaitu Dato’ Sri Tajuddin Abdul Rahman dan Tuan Nogeh Anak Gumbek.

Sebenarnya mempunyai begitu banyak Kementerian dan Menteri serta Timbalan Menteri akan menyebabkan perbelanjaan yang banyak. Jumlah gaji yang akan dinyatakan selepas ini adalah berdasarkan peruntukkan Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 (Pindaan 2015).

Perdana Menteri : RM22,826.65 sebulan
Timb Perdana Menteri : RM18,168.15 sebulan
Menteri : RM14,907.20 sebulan
Timbalan Menteri: RM10,847.65 sebulan.

Ini adalah gaji pokok setiap pemegang jawatan tidak termasuk elaun-elaun tambahan yang lain.

Jumlah Menteri ialah 35 orang dan ditolak Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri maka jumlah mereka ialah 33 orang. Jumlah gaji pokok sebulan untuk 33 orang Menteri ialah RM491,937.60.

Timbalan Menteri seramai 34 orang bergaji sebanyak RM10,847.65 sebulan maka jumlah keseluruhan gaji mereka sebulan ialah RM368,820.10

Jumlah sebulan gaji bagi seluruh Ahli Jemaah Menteri ialah :

Perdana Menteri: RM 22,826.65
Timb Perdana Menteri : RM 18,168.15
Menteri : RM 491,937.60
Timbalan Menteri: RM368,820.10

JUMLAH: RM 901,752.50

Setahun bayaran gaji mereka ialah RM10,821,030.00.

Kita boleh jimatkan perbelanjaan dengan mengurangkan saiz Kementerian. Ada beberapa kementerian yang tidak perlu dan ada juga yang boleh digabungkan. Kementerian Wilayah Persekutuan tidak perlu diwujudkan kerana Malaysia hanya ada 3 Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan yang masing-masing mentadbir secara sendiri.

Tidak perlu ada Kementerian yang mana boleh menjimatkan RM25,754.85 sebulan bagi gaji Menteri dan Timbalan Menteri. Itu tidak termasuk gaji kaki tangan Kementerian Wilayah Persekutuan.

Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri tidak perlu dua orang Menteri. Sekarang Kerajaan terpaksa menanggung RM44,721.60 sebulan bagi tiga orang Menteri tidak termasuk Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan.

Perdana Menteri tidak dapat gaji Menteri Kewangan jika betul mengikut Akta yang disebutkan di atas. Jika tiga Menteri dikecilkan kepada dua orang sahaja, kita sudah jimat RM14,907.20 sebulan.

Kemudian ada enam Kementerian mempunyai dua Timbalan Menteri. Enam Timbalan Menteri semua jumlah gajinya ialah RM65,085.90 sebulan, jika kita kurangkan kepada seorang Timbalan Menteri, kita jimat RM32,542.95 sebulan.

Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Pendidikan boleh digabungkan. Ini akan lebih menjimatkan perbelanjaan. Jika kedua-dua Kementerian ini digabungkan, hanya ada satu Menteri yang akan jimat RM14,907.20 sebulan dan ditolak dua Timbalan Menteri, maka penjimatan sebanyak RM21,695.30 sebulan.

Jabatan Perdana Menteri sahaja ada sembilan orang Menteri dan empat orang Timbalan Menteri. Jumlah gaji sembilan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri ialah RM134,164.80 manakala empat Timbalan Menteri berjumlah RM43,390.60. Jika dikurangkan Menteri daripada sembilan kepada lima dan Timbalan Menteri ditiadakan maka kita akan jimat RM103,019.40 sebulan

Sebenarnya kita boleh jimatkan ratusan ribu sebulan dengan pengecilan saiz kementerian dan pengurangan bilangan penjawat jawatan Menteri dan Timbalan Menteri.

Inilah antara punca pembaziran wang negara yang kita tidak sedar atau kita sedar tetapi tak peduli.

Saya cadangkan saiz Kementerian dan penjawat jawatan menteri dan timbalan menteri dikurangkan. Jika Kerajaan di bawah UMNO tidak buat, maka Pakatan Harapan perlu ambil perhatian untuk tidak mengulangi perkara yang sama. – Roketkini.com