Berita

Israel tahan kapal misi kemanusiaan Gaza, DAP gesa tindakan tegas kerajaan Malaysia

JOHOR BAHRU, 6 OKT: DAP mengecam keras tindakan pihak tentera Israel menangkap rombongan kapal Zaytouna-Oliva yang membawa 13 aktivis wanita termasuk seorang doktor perubatan warga Malaysia, Dr. Fauziah Mohd Hasan semalam.

Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong dan Penolong Setiausaha DAP Johor, Sheikh Omar Ali dalam satu kenyataan bersama hari ini merakamkan kekesalan dan rasa dukacita yang tidak terhingga atas kejadian tersebut.

Jelas mereka, rombongan yang ditawan itu hanya berniat untuk memberi bantuan berupa makanan serta ubat-ubatan dalam rangka misi kemanusiaan untuk rakyat Gaza.

“Kami mendesak agar respon yang tegas serta tindakan segera dapat diambil oleh kerajaan Malaysia serta dunia bagi memastikan semua tahanan dibebaskan atas nama kebebasan dan kemanusiaan.

“Kami juga menyeru agar seluruh rakyat Malaysia dan warga dunia dapat bersolidariti sedaya mungkin menerusi saluran yang sesuai serta berdoa untuk keselamatan para aktivis kemanusiaan kapal Zaytouna-Oliva,” katanya.

Kapal yang dalam misi Women’s Boat To Gaza (WBG) tersebut didakwa pihak tentera Israel sebagai kononnya menceroboh kawasan perairan mereka sekitar jam 8.58 malam tadi.

Pusat Krisis WBG dan Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) sebelum ini mengesahkan kapal Zaytouna-Oliva itu telah terputus hubungan sejak jam 8.50 malam semalam (waktu Malaysia).

Koordinat terakhir Zaytouna adalah di +31.975642, +33.640163; kurang daripada 50 batu nautika dari Gaza. Kapal dijangka akan ditunda oleh pihak tentera Israel menuju ke pelabuhan Ashdod.

Selain Dr Fauziah, aktivis-aktivis wanita lain yang terlibat adalah dilaporkan dari Tunisia, Israel, Algeria, Kanada, Turki, Amerika Syarikat, Sweden, Ireland, New Zealand dan Australia. – Roketkini.com