Rencana

Adakah Permata mula melangkaui bidang kuasanya seperti Jabatan Perdana Menteri?

Rakan-rakan pimpinan saya, Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong dan Pengarah Strategi Parti Amanah Negara Dr. Dzulkefly Ahmad telah menjelaskan bagaimana peruntukan untuk Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah meningkat dua kali ganda dari RM10 bilion pada 2009 ke RM20 bilion pada 2016. Pada masa sama, jangkauan bidang kuasa dan program di bawah JPM juga meningkat dengan ketara di bawah pemerintahan Najib. Hampir semua program baru dengan perbelanjaan skala besar, sama ada perumahan PR1MA atau Lebuhraya Pan-Borneo diletakkan di bawah JPM.

Kelihatannya seperti jenis jangkauan yang sama telah dilaksanakan ke atas program Permata yang juga tertakluk di bawah JPM. Bermula dengan menyediakan persekitaran pembelajaran yang sesuai kepada murid pintar cerdas berumur bawah 5 tahun, Permata kini ketara memperluas capaiannya serta bilangan program di bawah bidang kuasanya.

Sebagai contoh, dalam enam tahun, bilangan pusat penjagaan kanak-kanak Permata atau Pusat Anak Permata Negara (PAPN) telah meningkat kepada 88 pusat secara total di seluruh negeri di Malaysia.

Sebuah Kolej Permata Pintar telah ditubuhkan di UKM bagi memenuhi keperluan pelajar ‘pintar cerdas’ dari peringkat umur 9 hingga 15 tahun dengan kos sebanyak RM83 juta (RM20 juta untuk Fasa 1 dan RM63 juta untuk Fasa 2). Kem musim panas dijalankan dengan kerjasama Center for Talented Youth, John Hopkins University, bagi sesetengah kanak-kanak yang berbakat tersebut.permata

Program Permata Seni kemudiannya ditubuhkan bagi mengenalpasti kanak-kanak berbakat dalam bidang seni termasuk nyanyian, tarian dan muzik. Sejumlah RM17.5 juta telah diperuntukkan kepada program itu dari 2010 hingga 2014.

Perkasa Remaja pula ditubuhkan dengan tujuan mendekati remaja ‘berisiko’ dengan memperkenalkan mereka kepada program pencegahan berasaskan komuniti (dikenali sebagai Komuniti Perkasa) dan melalui program intervensi berasaskan kem-kuratif (dikenali sebagai Kem Perkasa).

Jumlah peruntukan keseluruhan untuk Perkasa Remaja dari 2010 hingga 2014 adalah sebanyak RM6.4 juta.

Permata Kurnia pula kemudiannya ditubuhkan sebagai satu usaha mendekati kanak-kanak autistik melalui pusat autisme termasuk penyelidikan dan latihan. Sebuah pusat autisme bernilai RM10 juta telah dibina melalui usaha Permata Kurnia pada 2014.

Permata Insan adalah sebuah lagi inisiatif untuk mengenalpasti pelajar pintar cerdas di dalam bidang pengajian Al-Quran dan Islam, serta dilaksanakan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan tujuan memperkasakan pelajar-pelajar tersebut untuk menjadi tokoh-tokoh Islam masa depan.

Sejumlah RM24 juta telah diperuntukkan kepada Permata Insan, termasuk RM18 juta untuk pembinaan bangunan baru di USIM.

Akhirnya, sebuah hospital pakar kanak-kanak yang juga dipanggil sebagai Hospital Kanak-Kanak Permata sedang dalam pembinaan. Kos projek itu adalah sebanyak RM600 juta yang dibiayai melalui bina-pajak-selenggara-pindah (BLMT) model Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI). Menurut laman web Permata, hospital itu diilhamkan oleh penaungnya, selepas beliau melawat hospital kanak-kanak di seluruh dunia. Hospital itu dijangka siap pada 2017.

Secara keseluruhannya, sebanyak RM518 juta telah diperuntukkan kepada Permata untuk menjalankan program-programnya, di mana RM190 juta telah digunakan untuk perbelanjaan pembangunan menerusi pembinaan pelbagai pusat manakala RM328 juta dibelanjakan untuk perbelanjaan operasi, yang mana majoriti daripadanya digunakan untuk membayar gaji guru-guru di pusat pembelajaran awal kanak-kanak Permata Negara dan pekerja di pelbagai cabang Permata di bawah JPM.

Walaupun usaha ini bukanlah usaha yang buruk, terdapat beberapa soalan yang mesti dibangkitkan:

(i) Mengapa kementerian atau jabatan lain tidak meneraju mana-mana usaha ini, sebagai contoh Kementerian Kesihatan untuk Hospital Kanak-Kanak dan Kementerian Pendidikan untuk mengenalpasti dan melatih kanak-kanak pintar cerdas tetapi membiarkan Permata yang melaksanakannya?

(ii) Sejauh manakah program-program Permata ini dapat mencapai matlamatnya?

(iii) Apakah yang boleh menyekat Permata dari menjangkau ke bidang-bidang lain melibatkan golongan remaja dan kanak-kanak?

Demi kepentingan kelestarian masa depan, bukankah program-program ini perlu diletakkan di bawah kementerian sedia ada dan/atau agensi kerajaan serta jabatan yang berkaitan? Tanpa apa-apa proses semak dan imbang, Permata boleh berkembang dalam cara yang sama seperti apa yang berlaku kepada JPM dalam tempoh 8 tahun lalu di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Najib Razak. – Roketkini.com

*Dr. Ong Kian Ming merupakan Ahli Parlimen Serdang merangkap Penolong Setiausaha DAP Kuala Lumpur